David Neo: Usia bukan faktor dapat sokongan sukan pemerintah
David Neo: Usia bukan faktor dapat sokongan sukan pemerintah
Rangka kerja Kecemerlangan dalam Sukan (spex) tawar sokongan menyeluruh rentasi pelbagai peringkat perjalanan atlet
Sokongan pemerintah untuk atlet Singapura, seperti Institut Sukan Berprestasi Tinggi di bawah Sport Singapore, tidak terhad oleh usia atau tempoh masa.
Yang lebih utama, atlet perlu memenuhi kriteria prestasi semasa dan potensi, jelas Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Negara Kanan (Pendidikan), Encik David Neo.
Beliau menambah, rangka kerja Kecemerlangan dalam Sukan (spex) menawarkan sokongan menyeluruh merentasi pelbagai peringkat perjalanan atlet.
Ini termasuk atlet yang lambat berkembang atau yang beralih cabang sukan.
Encik Neo memberi jaminan, pemerintah akan terus bekerjasama erat dengan rakan kongsi, terutamanya Persatuan Sukan Nasional (NSA), untuk mewujudkan pelbagai laluan pembangunan.
Ini bertujuan mengambil kira perbezaan dalam perkembangan atlet dan ciri-ciri unik setiap sukan, lantas menyokong atlet dengan lebih berkesan.
Beliau berkata demikian di Parlimen pada 4 Februari sebagai jawapan kepada soalan Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Profesor Madya Kenneth Goh.
Profesor Madya Goh bertanya bagaimana Program Potensi spex (spexPotential) mengambil kira sukan yang atletnya mencapai kemuncak prestasi pada usia lebih lewat.
Beliau juga mempersoalkan tempoh sokongan sebelum atlet mencapai tahap perwakilan senior.
Beliau turut ingin tahu bagaimana kementerian memastikan atlet sedemikian tidak terjejas oleh penanda aras kemajuan pada peringkat awal.
Menjelaskan, Encik Neo berkata:
“Rangkaian program spex – spexScholarship, spexPotential dan spexCarding – membolehkan kami menyesuaikan tahap sokongan sepanjang pelbagai peringkat kerjaya sukan atlet.
“Ini bermakna atlet akan terus disokong sepanjang perjalanan sukan mereka, walaupun trajektori prestasi mereka berubah-ubah atas pelbagai sebab.”

