Benarkah ini berlaku?
Itulah yang dirasakan Encik Tan Chuan Jin apabila melihat kesan dahsyat akibat gegaran gempa bumi dan tsunami yang menimpa Aceh.
Encik Tan, yang ketika itu komander pasukan sokongan bantuan kemanusiaan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan berpangkat Kolonel, berkata sejurus tiba di Aceh serta Meulaboh, beliau dan pasukannya hanya melihat kemusnahan dan korban nyawa, sejauh mata memandang.
“Setibanya kami di kawasan yang terjejas, kami dapat menghidu bau mayat yang busuk dan pada masa itu anda terfikir yang anda memasuki sebuah zon yang mengalami banyak kerosakan,” ujarnya dalam wawancara khas dengan Berita Harian sempena memperingati dua dekad bencana tsunami.
“Terdetik dalam fikiran saya, benarkah ini berlaku? Ini tidak realistik.”
Namun, beliau dan pasukan yang dipimpinnya tidak mempunyai masa untuk melayan perasaan.
Mereka mempunyai tugas penting untuk dilaksanakan.
“Kami mula melakar rancangan sambil memikirkan bagaimana cara terbaik untuk kami berkhidmat menghulurkan bantuan,” ujarnya.
Encik Tan, 55 tahun, menceritakan beliau sedang bersama anak perempuannya di kolam renang pada 26 Disember 2004, apabila terdengar beberapa ibu bapa lain bercerita tentang ‘gelombang besar’ di Indonesia.
Beliau sendiri tidak tahu apakah yang berlaku sehingga lewat malam apabila beliau menonton siaran berita yang menyiarkan tragedi tersebut di televisyen.
“Perkara pertama yang terlintas di fikiran saya adalah ia merupakan bencana pada skala amat besar, yang mungkin memerlukan Singapura untuk tampil dan melakukan sesuatu untuk jiran kita,” katanya.
Menurutnya, ketika itu, beliau telah dikerah untuk memimpin pasukan bantuan kemanusiaan SAF namun pihaknya tidak mempunyai banyak akses ke Aceh memandangkan ia merupakan zon tertutup menyusuli perang saudara yang melanda kawasan tersebut ketika itu.
“Setiap hari kami cuba mendapatkan maklumat mengenai apakah yang berlaku, malah selama beberapa hari saya tidak pasti ke mana arah saya. Sehinggakan pada hari keberangkatan, masih banyak tanda tanya.
“Semasa merancang selama beberapa hari ketika itu, apakah yang patut dilakukan masih belum jelas.
“Kami hanya perlu masuk (ke Aceh), cuba mendapatkan maklumat mengenai apakah yang berlaku dan melakarkan rancangan.
“Saya ingat kami hanya memuatkan kapal dengan peralatan dan keupayaan yang kami fikir penting untuk dibawa sahaja,” katanya lagi, yang juga mantan Speaker Parlimen.
Encik Tan yang kini penasihat dan konsultan dalam sektor privet, sosial dan kepimpinan, akur bahawa kesan bencana tsunami memang teruk ketika itu dengan banyak bangunan musnah.
Namun pada masa yang sama, kagum apabila melihat sebuah masjid yang dibina atas konkrit sahaja yang kekal berdiri.
Beliau kemudian bertemu dengan seorang jeneral di Aceh dan selepas berbincang, Encik Tan berpendapat pihaknya akan memberi tumpuan kepada Meulaboh memandangkan kawasan tersebut agak terpencil.
“Sejurus tiba di Meulaboh saya bertemu dengan ramai orang dan pada masa yang sama, saya terlihat banyak bendera kecil Indonesia yang tertanam di kawasan di mana banyak mayat ditemui.
“Bayangkan anda memasuki sebuah kawasan di mana semua bangunannya hancur dan apa yang anda lihat adalah bendera kecil berkibar, kerana mayat-mayat itu belum sempat dialihkan. Sudah pasti perasaan pada ketika itu agak terjejas,” tambahnya.
Di sebalik kesukaran dan cabaran yang dialami, beliau dapat lihat semangat pasukannya melakukan yang terdaya mungkin untuk membantu penduduk di Meulaboh – sebuah kawasan sekitar 240 kilometer dari Banda Aceh.
Namun pada masa yang sama, mereka prihatin dan menghargai pentingnya bekerjasama dengan rakan-rakan di Indonesia.
“Saya fikir kami semua sedar bahawa apabila masuk ke sana, kami tidak membuat keputusan sendiri atau mampu untuk melakukan semuanya sendiri.
“Kami sentiasa bekerjasama dengan rakan kami di Indonesia (Tentera Nasional Indonesia, TNI), bertanya mereka apakah yang diperlukan dan paling penting sekali, bagaimana kami dapat menambah nilai kepada kerja-kerja yang dilakukan.
“Indonesia memang sebuah negara besar, tapi apabila berhadapan bencana sebegini besar, bukan mudah untuk mana-mana negara menguruskannya.
“Maka, saya fikir adalah tanggungjawab kami (sebagai jiran) untuk membantu,” ujar Encik Tan.
Ditanya pandangannya tentang penduduk Aceh, Encik Tan akur bahawa kekuatan dan keazaman yang wujud dalam diri penduduk di sana ketika itu boleh dikaitkan dengan bangunan masjid Baiturrahman yang kekal berdiri ketika itu.
“Saya fikir kebanyakannya berdasarkan keyakinan dan kepercayaan mereka terhadap Islam.
“Kadangkala apabila terfikir, bahagian masjid yang kekal berdiri itu saya rasa ia memberi mereka ketenangan dan kekuatan untuk berdaya bingkas dan meneruskan kehidupan.
“Sebabnya dalam banyak perkara kita tidak dapat kawal segalanya.
“Ini semua ketentuan Tuhan, bagaimana semuanya berlaku. Itulah pegangan mereka,” tambah Encik Tan.
“
“Perkara pertama yang terlintas di fikiran saya adalah ia merupakan bencana pada skala yang amat besar yang mungkin memerlukan Singapura untuk tampil dan lakukan sesuatu untuk jiran kita.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg