Daya usaha Ramadan: MKAC bantu pesakit ginjal dan keluarga
Daya usaha Ramadan: MKAC bantu pesakit ginjal dan keluarga
Ramadan bulan penuh keberkatan untuk memperbanyak ihsan, bermuhasabah diri dan membantu golongan memerlukan.
Duta Persatuan Bertindak Ginjal Bagi Masyarakat Islam (MKAC), Ustaz Haron Hassan Akhtar, berkata:
“Ramadan bulan kasih sayang, refleksi dan memberi. Semangat inilah yang menjadi teras misi MKAC dalam berkhidmat kepada pesakit ginjal dengan penuh empati, keprihatinan dan kasih sayang.
“Bagi pesakit ginjal, Ramadan sering kali hadir bersama cabaran yang amat berat. Keperluan dialisis sepanjang hayat, kos rawatan yang tinggi serta tekanan emosi menguji harapan mereka untuk menjalani kehidupan yang bermaruah dan sejahtera.”
Beliau menambah:
“Sejak beberapa dekad lalu, MKAC sentiasa berdiri teguh bersama pesakit ini dengan menyediakan bantuan kewangan kritikal, sokongan dialisis, penjagaan perubatan serta khidmat psikososial. Di sebalik setiap angka statistik, terdapat kisah manusia, seorang ibu atau bapa, warga emas, dan keluarga yang sedang berjuang sedaya upaya.”
“Rasulullah saw mengajarkan bahawa amalan yang paling dicintai Allah ialah amalan yang membawa kelegaan kepada orang lain. Sumbangan yang dihulurkan dalam bulan Ramadan dilipatgandakan ganjarannya dan memberi kesan yang nyata serta segera kepada mereka yang memerlukan,” jelasnya.
Sempena Ramadan 2026 ini, MKAC akan melaksanakan beberapa daya usaha khas. Salah satunya majlis iftar/buka puasa dan pengagihan bantuan kewangan. Majlis ini menggabungkan sesi pengagihan bantuan kewangan bulanan dengan majlis berbuka puasa secara berjemaah untuk benefisiari.
Selain itu, persatuan ini juga menyediakan Kotak Ihsan Ramadan MKAC. Ia pemberian barangan kering dan keperluan asas yang dihantar ke rumah benefisiari. Daya usaha ini dapat membantu mereka sepanjang Ramadan serta menyambut Syawal dengan lebih tenang.
MKAC turut mengadakan majlis ‘Iftar Muhibah Antara Agama MKAC’. Majlis ini inklusif; di mana MKAC menghimpunkan masyarakat daripada pelbagai latar belakang agama demi memupuk persefahaman dan keharmonian.
Satu lagi daya usaha MKAC dalam Ramadan ini ialah Kempen Pendidikan dan Kerjasama Masyarakat. Kempen ini adalah kerjasama dengan institusi pendidikan dan badan seperti Madrasah Aljunied Al-Islamiah, Nanyang Girls High School, Global Indian International School, masjid-masjid serta pertubuhan Melayu/Islam lain dalam meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan buah pinggang dan nilai kemanusiaan.
Perkhidmatan dan tumpuan MKAC berjalan secara berterusan. Sepanjang tahun, MKAC menyediakan bantuan kewangan secara langsung. Ia merupakan bantuan segera untuk perbelanjaan perubatan dan kos sara hidup yang mendesak yang dialami golongan pesakit.
MKAC turut mengadakan ziarah ke rumah benefisiari sebagai tanda sokongan moral dan semangat kebersamaan.
Selain itu, MKAC turut menganjurkan kelas pembangunan diri dan pendidikan bagi memperkasa pesakit serta ahli keluarga mereka.
SEKILAS:
Sumbangan boleh disalurkan melalui:
1. PayNow/Paylah ke UEN No T04SS0068D.
2. Pemindahan bank.
3. Cek atas nama ‘Muslim Kidney Action Association’ dan dihantar ke alamat 122 Telok Kurau Road, Singapura 423806.
4. Bagi derma wang tunai, kunjungi pejabat MKAC.
* Untuk pengetahuan atau pertanyaan, layari: www.mkac.sg; hubungi talian 9179-3625; e-mel kepada info@mkac.sg; Instagram: @mkac_sg

