Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Iftar MKAC buka ruang fahami nilai puasa dari sudut agama berbeza

Seramai 70 hadirin refleksi diri tentang proses perkasa disiplin ketika tahan lapar dahaga
Mar 7, 2025 | 5:01 PM
(Depan, dari kiri) Encik Michael Ang, dari Gereja Latter Day Saints; Ustaz Haroun Akhtar, duta MKAC; Venerable Dr K Gunaratana, Penasihat Agama Buddha Persatuan Buddha Mahakaruna; Encik Ameerali Abdeali, Presiden MKAC; Sister Theresa Seow, yang mewakili Gereja Katolik; serta (belakang, dari kiri) Encik Sneh Gupta, wakil agama Hindu; Encik Hormuz Avari, Presiden Pertubuhan Parsi Zoroastrian; Encik Lee Zhi Wang, Presiden Taoist Mission; dan Encik K. Elango, Presiden Perhimpunan Kerohanian Baha’i Singapura.
(Depan, dari kiri) Encik Michael Ang, dari Gereja Latter Day Saints; Ustaz Haroun Akhtar, duta MKAC; Venerable Dr K Gunaratana, Penasihat Agama Buddha Persatuan Buddha Mahakaruna; Encik Ameerali Abdeali, Presiden MKAC; Sister Theresa Seow, yang mewakili Gereja Katolik; serta (belakang, dari kiri) Encik Sneh Gupta, wakil agama Hindu; Encik Hormuz Avari, Presiden Pertubuhan Parsi Zoroastrian; Encik Lee Zhi Wang, Presiden Taoist Mission; dan Encik K. Elango, Presiden Perhimpunan Kerohanian Baha’i Singapura. - Foto MKAC

Dalam usaha berterusan memupuk keharmonian antara masyarakat berbilang agama, Persatuan Bertindak Ginjal Bagi Masyarakat Islam (MKAC), sekali lagi menganjurkan acara berbuka puasa sempena Ramadan.

Acara itu turut melibatkan agama berbeza.

Ia berlangsung di ibu pejabat MKAC di Telok Kurau pada 4 Mac dengan dihadiri 70 tetamu, termasuk wakil daripada beberapa pertubuhan agama di Singapura.

Mereka berkongsi kepentingan amalan berpuasa dan nilai yang menyatukan masyarakat daripada agama berbeza.

Antara yang hadir termasuk Naib Presiden Pertubuhan Antara Agama, Encik Noor Mohd Marican; Presiden Persatuan India Singapura, Encik Tamil Marren; Penasihat Persatuan Mahakaruna Buddhist Society, Encik Bhante Gunaratana; dan Sister Theresa Seow, yang mewakili Gereja Katolik.

Kehadiran masyarakat beragama Buddha, Kristian, Hindu, Taoisme, fahaman Yahudi, Zoroastrianisme, Baha’i dan Sikh, menampakkan semangat saling menghormati dan memahami.

Ia sesuatu yang menjadi tonggak inisiatif silang agama MKAC sejak pelancaran siri program, ‘Kepercayaan dan Rasa Hormat Silang Agama’, atau singkatannya, ‘Iftar’, pada 2006.

Menurut Presiden MKAC, Encik Ameerali Abdeali, matlamat acara itu adalah untuk menyatukan individu daripada agama dan latar belakang berbeza, lantas membolehkan mereka berkongsi kepentingan berpuasa, sambil berpeluang untuk berbuka bersama. 

Sewaktu sesi perkongsian silang agama yang dikendalikan Encik Noor, selaku moderator, hadirin diajak memikirkan tentang kepentingan keharmonian agama dan nilai yang dikongsi serta dapat menyatukan masyarakat bersama.

“Walaupun kita di Singapura datang daripada latar belakang yang berbeza, kita semua mempunyai persamaan daripada pelbagai aspek.

“Tradisi dan kepercayaan kita mungkin tidak sama, tetapi sistem nilai asas bagi setiap agama sebenarnya sama sahaja.

“Program ‘Iftar’ adalah salah satu cara baik untuk membawa ramai orang daripada pelbagai agama untuk berbuka puasa bersama-sama dan membina persahabatan yang utuh,” ujar Encik Ameerali. 

Melalui acara tersebut, orang ramai dapat mempelajari kepentingan mengeratkan hubungan antara satu sama lain, tidak kira agama ataupun kaum, terutama dalam negara yang semakin rencam masyarakatnya. 

Menurutnya lagi, mengambil tahu tentang amalan agama lain bukan sahaja memberi seseorang pemahaman yang lebih mendalam, bahkan juga dapat mencetus rasa hormat terhadap agama lain. 

Bagi Encik Tamil, beliau telah mengambil langkah khusus untuk mengelakkan diri daripada makan dan minum pada hari tersebut, agar dapat seiring sejalan merasakan apa yang dilalui umat Islam. 

Beliau akur terasa amat letih dan lapar pada hari itu, dan hanya menantikan waktu berbuka puasa. 

Oleh itu, beliau rasa amat kagum terhadap orang Islam yang boleh berpuasa sepanjang bulan. 

Salah seorang hadirin, Encik Sudha Thiagarajan, berkata: “Perkara yang membuat acara ini lebih bermakna adalah kehadiran mereka yang bukan Islam dan wakil daripada pelbagai pertubuhan agama di Singapura.” 

Pengerusi Baha’i Spiritual Assembly, Encik K. Elango, pula berkongsi bahawa pengikut fahaman Baha’i juga berpuasa selama 19 hari, serentak dengan tempoh umat Islam berpuasa pada 2025.

Sister Seow pula bercerita tentang penganut agama Kristian yang berpuasa dalam upacara agama yang dipanggil ‘Lent’ (bagi mereka memperingati peristiwa Nabi Isa berpuasa di padang pasir), lantas menekankan bagaimana kepercayaan berbeza mengamalkan puasa sebagai satu cara memperkukuh disiplin kerohanian dan proses refleksi diri.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg