Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dedikasi bekas pemain bola sepak S’pura, D. Tokijan dikenang rakan sepasukan, FAS

Bekas pemain sayap kiri terkenal dengan larian laju, sumbang tenaga sebagai jurulatih selepas bersara
Dec 23, 2025 | 7:07 PM
D. Tokijan, meninggal dunia, Darimosuvito Tokijan, bola sepak negara
Bekas pemain bola sepak Singapura, Darimosuvito Tokijan, atau lebih dikenali sebagai D. Tokijan (kanan) beraksi ketika menentang pasukan Sarawak pada 1989. - Foto fail

Tenang tutur katanya, namun tegas dalam mendidik.

Demikian keperibadian bekas pemain bola sepak negara, Allahyarham Darimosuvito Tokijan yang diingati Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) dan rakan-rakan seperjuangan yang pernah beraksi di sampingnya.

Justeru pemergian Allahyarham pada 23 Disember begitu terasa bagi mereka yang pernah disantuninya.

Dalam satu hantaran Facebook pada 23 Disember, FAS melahirkan rasa dukacita yang mendalam atas pemergian D. Tokijan.

“Sebagai pemain sayap kiri yang prolifik, D. Tokijan mewakili Singapura dari 1983 hingga 1992, termasuk menyertai Piala Asia 1984.

“Sepanjang tempoh tersebut, beliau tampil dalam 23 perlawanan antarabangsa dan menjaringkan 11 gol.

“Antara detik yang kekal dalam ingatan ialah jaringan jarak jauhnya ketika menentang Kelantan dalam saingan Piala Malaysia 1991, yang membantu Singapura mencatat kemenangan besar 7-0.

“Selepas bersara sebagai pemain, beliau terus menyumbang kepada pembangunan bola sepak tempatan sebagai jurulatih pasukan belia dan simpanan,” tambah FAS.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Pusara Aman pada sekitar 11 pagi setelah beliau meninggal dunia akibat komplikasi kesihatan di Hospital Besar Ng Teng Fong (NTFGH).

Berita Harian (BH) difahamkan Allahyarham menghidap barah, namun anak sulungnya, Encik Muhammad Ridzuan Tokijan, enggan mendedahkan jenis barah yang dihidapi Allahyarham semasa hayatnya.

Lebih dikenali sebagai D. Tokijan, bekas pemain sayap kiri bola sepak Singapura pada era 1980-an dan 1990-an itu sinonim dengan larian pantas di sayap kiri padang serta sepakan kaki kiri yang berbisa.

Ketika ditemui Berita Harian (BH) selepas pengebumian itu, bekas penjaga gawang skuad Singa, Abdul Malek Mohammad, berkata Allahyarham terkenal dengan sikapnya sebagai pemain yang tenang, rendah hati dan tidak kenal erti penat.

Malek pernah menjadi rakan seperjuangannya apabila mereka sama-sama menyarung jersi skuad negara dalam beberapa pertandingan antarabangsa, termasuk Sukan SEA di Kuala Lumpur, Malaysia pada 1989.

‘Beliau seorang pemain yang sentiasa kelihatan tenang, namun sangat handal di atas padang.

“Jika anda temuramah rakan kami yang lain, pasti mereka akan katakan Allahyarham seorang yang berbudi bahasa dan baik orangnya,” kata Malek ketika ditemui bersama seorang lagi bekas pemain negara, E. Manimohan di Pusara Aman.

Sifat ini turut dihargai oleh para pemain muda yang baru menyertai pasukan negara pada waktu itu.

Malah, ramai daripada bekas rakan sepasukan itu juga menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang mudah didekati dan disenangi oleh ramai.

Ini termasuk, bekas pemain tengah Singapura, Mohammed Rafi Ali, yang juga menyifatkan Allahyarham sebagai seorang pemain berbakat besar dengan keistimewaan tersendiri di atas padang.

Menurutnya, beliau mendapat tahu tentang keadaan kesihatan Allahyarham hanya beberapa bulan selepas kali terakhir kededuanya bertemu.

“Setiap pemain memiliki kelebihan masing-masing dan saling melengkapi antara satu sama lain.

“Itulah yang istimewa tentang para pemain negara termasuk Allahyarham, semasa berada di atas padang,” katanya yang menambah Allahyarham mampu membuat hantaran lintang yang deras menggunakan kaki kirinya.

Selain itu, Rafi juga berpeluang bekerjasama dengan Allahyarham dalam Akademi Bola Sepak ActiveSG  (AFA), yang dianggapnya satu pengalaman yang merapatkan hubungan mereka semasa di luar padang.

Justeru, berita mengenai kesihatan Allahyarham dianggapnya sesuatu yang mengejutkan memandangkan komitmen Allahyarham dalam kegiatan bola sepak sebelum itu.

Apatah lagi, dengan gelaran ‘Mr Cool’, suara Allahyarham sering menceriakan suasana apabila beliau mengajak para pemain muda lain duduk makan bersama.

“Beliau seorang yang tenang dan mudah didekati. Sentiasa cool’, tetapi pada masa yang sama sangat prihatin terhadap pemain muda,” katanya.

Perwatakan beliau pernah menjadi suri teladan bagi pemain muda lain, tambah Rafi.

Seorang lagi bekas rakan sepasukan, Kadir Yahaya, menyifatkan Allahyarham Tokijan sebagai seorang pemain yang berdedikasi tinggi sejak usia muda.

Semasa kededua mereka beraksi bersama menyertai pasukan Geylang International (GIFC), Kadir melihat Allahyarham sebagai individu yang pendiam, namun komited sepenuhnya terhadap latihan dan tanggungjawabnya sebagai pemain.

“Beliau jenis yang senyap dan tak banyak bercakap, namun gigih semasa latihan,” kata beliau.

“Antara detik yang kekal dalam ingatan ialah jaringan jarak jauhnya ketika menentang Kelantan dalam saingan Piala Malaysia 1991, yang membantu Singapura mencatat kemenangan besar 7-0. Selepas bersara sebagai pemain, beliau terus menyumbang kepada pembangunan bola sepak tempatan sebagai jurulatih pasukan belia dan simpanan.”
Kenyataan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS).
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg