Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dedikasi pegawai penjara selama 24 tahun diiktiraf

Usaha perkukuh hubungan pegawai, banduan bawa kepada Anugerah Hari Kebangsaan Menteri Ehwal Dalam Negeri
Aug 1, 2025 | 8:23 PM
Mohamad Faizal Abdul Razak, sps, hta
Atas dedikasi dan komitmennya dalam mendekati banduan dan mengutamakan pembelajaran sepanjang hayat, Encik Mohamad Faizal Abdul Razak, terpilih sebagai antara 105 penerima Anugerah Hari Kebangsaan Menteri Ehwal Dalam Negeri bagi pegawai Home Team semasa Majlis Memperingati Hari Kebangsaan di Akademi Home Team (HTA) pada 1 Ogos.  - Foto BH oleh KHALID BABA

Selama 24 tahun berkhidmat dengan Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS), Encik Mohamad Faizal Abdul Razak, 47 tahun, menyaksikan bagaimana pendekatan para pegawai dengan banduan semakin berkembang.

Pendekatan yang dahulunya lebih bersifat penguatkuasaan kini semakin menitikberatkan aspek kemanusiaan, khususnya dari segi kemahiran komunikasi dan kepekaan terhadap emosi dan kesejahteraan banduan.

Selain menyokong proses pemulihan dan penyesuaian semula dalam kalangan masyarakat, usaha itu juga penting untuk mewujudkan hubungan yang lebih rapat dan saling percaya antara pegawai dengan banduan.

“Satu perkara yang saya pelajari setelah berkhidmat selama 24 tahun adalah pentingnya menjalin hubungan dengan banduan.

“Apabila kita benar-benar ikhlas membantu dan banduan nampak usaha itu, barulah timbul rasa saling hormat dan secara semula jadi, proses pemulihan banduan boleh bermula.

“Dengan secara tidak langsung, ia dapat membantu banduan menyesuaikan diri apabila dibebaskan dan bersepadu semula dengan masyarakat,” kata beliau, yang kini merupakan Pegawai Pemulihan Dua di SPS.

Atas dedikasi dan komitmennya, Encik Faizal terpilih sebagai antara penerima anugerah Menteri Ehwal Dalam Negeri semasa Majlis Memperingati Hari Kebangsaan di Akademi Home Team (HTA) pada 1 Ogos.

Lima anugerah diberikan semasa acara itu, termasuk Anugerah Hari Kebangsaan Menteri Ehwal Dalam Negeri bagi Individu kepada 105 pegawai Home Team yang diterima Encik Faizal.

Anugerah tersebut diberikan kepada pegawai Home Team yang menyerlah menerusi kecekapan dan kebolehan cemerlang dalam bidang tugas masing-masing.

Empat anugerah lain adalah Anugerah Hari Kebangsaan Menteri Ehwal Dalam Negeri bagi Semangat Awam, Sukarelawan Home Team, Rakan Home Team dan Pasukan.

Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, yang hadir selaku tetamu terhormat, dalam ucapannya berkata kepercayaan terhadap pegawai Home Team diperkukuh setiap hari menerusi dedikasi dan profesionalisme mereka.

Menurutnya, Kajian Persepsi Awam oleh Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada 2024 mendapati sembilan daripada 10 penduduk Singapura percaya kepada Home Team.

“Kejayaan ini disokong dan mesti terus disokong menerusi pendekatan tekal – tegas, adil dan memberi tumpuan pada apa yang baik buat orang awam.

“Dan orang awam faham serta menyokongnya,” kata beliau.

Tetamu terhormat lain yang hadir termasuk Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Encik Edwin Tong; Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim; Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri merangkap Ehwal Luar), Cik Sim Ann; dan Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Dalam Negeri), Encik Goh Pei Ming.

Dalam pada itu, Encik Faizal melahirkan penghargaan atas pengiktirafan yang diberikan kepadanya, sambil menyifatkannya sebagai satu dorongan untuk terus berkhidmat.

“Nikmat datang dalam pelbagai bentuk, dan walaupun usia saya semakin lanjut, sumbangan saya, walau sekecil mana pun, tetap diiktiraf,” kata Encik Faizal.

Lantas, beliau berharap agar para pegawai muda di SPS akan terus memupuk semangat ingin belajar dan sentiasa mengutamakan pendekatan yang berasaskan empati dalam menjalankan tugas mereka.

“Jika kita benar-benar ingin membantu banduan berubah, kita sendiri perlu bersedia untuk mengubah cara kita berfikir dan berinteraksi.

“Pemulihan tidak boleh berlaku tanpa kepercayaan, dan kepercayaan hanya datang apabila kita ikhlas,” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg