Bagi meningkatkan sokongan terhadap bekas pesalah supaya mereka dapat kembali kepada masyarakat, kakitangan akan dipindahkan merentas organisasi untuk berkongsi kepakaran.
Selain itu, sektor sokongan jagaan lanjut akan memperluas rangkaian rakan kongsinya, kata Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua (Ehwal Dalam Negeri), Encik Edwin Tong, pada 24 Julai.
Langkah itu, bersama penilaian keperluan dan pengurangan pertindihan program, adalah sebahagian daripada usaha baru untuk memperbaiki penjagaan bekas pesalah dalam tempoh lima tahun akan datang.
Rangka kerja baru untuk Rangkaian Tindakan Masyarakat bagi Pemulihan Bekas Pesalah (Care Network) – yang terdiri daripada agensi yang menyokong usaha itu – akan memberi garis panduan dalam usaha sektor itu mengurangkan lagi kadar kebentanan dalam kalangan bekas pesalah.
Kebentanan merujuk kepada kecenderungan bekas pesalah untuk kembali melakukan jenayah selepas dibebaskan.
Kadar kebentanan dua tahun di Singapura – iaitu peratusan bekas banduan yang melakukan jenayah semula dalam tempoh dua tahun selepas dibebaskan – telah turun daripada 40.1 peratus bagi kohort 2000 kepada 21.3 peratus bagi kohort 2022, menjadikannya antara yang terendah di dunia.
Bagi kadar lima tahun pula, kohort 2019 mencatat kadar 36.6 peratus, ia merupakan tahun ketiga berturut-turut kadar itu kekal di bawah paras 40 peratus, lapor The Straits Times (ST).
Penurunan itu sebahagiannya hasil usaha bersama Care Network, kata Encik Tong, semasa Sidang Puncak Care Network dan Simposium Amalan dan Penyelidikan Pemulihan yang berlangsung pada 24 Julai di Parkroyal Collection Marina Bay.
Care Network ditubuhkan pada 2000 bagi menggalak kerjasama antara rakan kongsi yang menyediakan sokongan jagaan lanjut serta perkhidmatan lain kepada banduan, bekas pesalah dan keluarga mereka.
Sebelum ini, agensi terlibat bekerja secara bersendirian dan kebanyakan kerja mereka tidak diselaraskan, kata Encik Tong.
Kini, rangkaian tersebut mempunyai 10 anggota teras dan lebih 170 rakan kongsi masyarakat.
Ini termasuk Reben Kuning Singapura, Persatuan Penjagaan Lanjut Singapura (Saca) dan Persatuan Khidmat Masyarakat Life.
Encik Tong berkata Singapura sering dilihat sebagai negara yang mempunyai undang-undang tegas dan sistem yang ketat, namun ia juga turut memberi penekanan besar terhadap usaha jagaan lanjut, penyepaduan dalam masyarakat dan pemulihan bekas pesalah.
Care Network, yang akan menyambut ulang tahunnya ke-25 pada 2025, berhasrat memperkenalkan lebih banyak program bimbingan rentas sektor, dengan membolehkan pegawai Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) dan kakitangan rakan masyarakat ‘dipinjamkan’ ke pertubuhan lain untuk berkongsi pengetahuan serta amalan terbaik.
Sebuah jawatankuasa pemandu juga akan meneliti cara terbaik mengoptimumkan sumber dan menilai sama ada sesetengah daya usaha perlu diubah hala tujuannya bagi memenuhi keperluan penerima manfaat dengan lebih berkesan.
Kerjasama baru juga akan diperkukuh bagi meluaskan sokongan dan peluang bagi bekas pesalah.
Sebagai contoh, pada 2024, Industrial and Services Co-operative Society Limited, telah bekerjasama dengan Institut Akauntan Bertauliah Singapura (Isca) untuk menganjurkan bengkel celik kewangan bagi bekas pesalah dan keluarga mereka.
Dalam ucapannya, Encik Tong berkata rangkaian itu telah mempertingkat latihan untuk para sukarelawan, dengan 40 kursus kini ditawarkan dalam bidang seperti kerja keluarga, pengurusan ketagihan dan amalan pemulihan.
Rangkaian itu kini mempunyai lebih 4,000 sukarelawan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg