Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dek tertarik pada tisu tandas comel, tertipu hingga lesap $700

Jan 7, 2026 | 12:06 PM
Sebanyak 3,237 kes penipuan e-dagang dilaporkan pada separuh pertama  2025, menjadikannya antara lima jenis penipuan yang paling banyak berlaku dari segi jumlah kes pada separuh pertama 2025.
Sebanyak 3,237 kes penipuan e-dagang dilaporkan pada separuh pertama 2025, menjadikannya antara lima jenis penipuan yang paling banyak berlaku dari segi jumlah kes pada separuh pertama 2025. - Foto ISTOCKPHOTO

Encik Kamal, yang berusia dalam lingkungan 60-an tahun, mengambil masa sekitar dua minggu untuk menyedari bahawa butiran kad kreditnya telah disalah guna oleh penipu.

Beliau tertarik kepada satu iklan tisu tandas dalam talian pada akhir Oktober 2024. Encik Kamal, yang enggan mendedahkan nama sebenarnya atas alasan privasi, tidak dapat mengingati apakah iklan tersebut muncul di laman Facebook atau Instagram.

Yang menarik perhatiannya ialah pembungkusan bercorak beruang pada setiap gulung tisu tandas itu, yang dibungkus secara individu. Satu pek dijual pada harga $9. Beliau tidak ingat berapa gulung terdapat dalam setiap pek.

Encik Kamal berasa reka bentuk comel itu akan menceriakan dua cucu perempuannya, yang berusia bawah lima tahun, apabila mereka berkunjung setiap minggu ke flat HDB beliau di Choa Chu Kang.

Encik Kamal mengklik iklan tersebut. Ia kelihatan sah dan tawaran harganya juga munasabah, kata beliau.

“Satu tetingkap pop-up muncul dan saya diminta mengisi secara automatik maklumat peribadi (termasuk alamat) serta butiran pembayaran,” katanya.

Ciri autofill pada telefon bijak mengisikan secara automatik maklumat yang tersimpan ke dalam ruangan yang perlu dipenuhi. Encik Kamal hanya perlu memasukkan nilai pengesahan pada kad kredit, iaitu kod keselamatan yang tercetak di belakang kad kreditnya, sebelum melengkapkan transaksi tersebut.

Namun, tisu tandas yang dibeli beliau itu tidak sampai di rumahnya.

Kira-kira dua minggu kemudian, seorang yang mengaku sebagai pegawai bank menelefonnya untuk bertanya sama ada beliau ada membuat pembelian di Australia. Si pemanggil itu memberi amaran bahawa butiran kad kreditnya mungkin telah terjejas dan bertanya sama ada beliau mahu membatalkannya.

Tidak pasti sama ada panggilan tersebut merupakan satu lagi percubaan penipuan, Encik Kamal menjawab bahawa beliau akan menghubungi bank itu sebelum menamatkan panggilan terrsebut. Pada esoknya, beliau mencari talian hotline bank itu melalui laman web rasmi dan menghubunginya.

Bank itu mengesahkan empat transaksi telah dibuat menggunakan kad kreditnya sehari sebelumnya, dengan jumlah keseluruhan melebihi A$843 ($723). Pembelian tersebut melibatkan barangan elektronik dari sebuah gedung serbaneka di Australia.

Apabila menyemak mesej teksnya, Encik Kamal menyedari bahawa butiran kad kreditnya telah ditambah ke dalam satu akaun Google Pay yang tidak dikenali pada 27 Oktober 2024 – hari beliau mengklik iklan tersebut.

Encik Kamal telah membatalkan kad kredit itu dan membuat laporan polis. Siasatan masih dijalankan.

Penolong Pengarah Jabatan Operasi Pejabat Pendidikan Awam Penipuan, Superintenden Polis Rosie Ann McIntyre, menjelaskan bahawa mengesan dana yang dicuri adalah mencabar bagi semua jenis penipuan.

“Penipu biasanya memindahkan wang dengan pantas melalui pelbagai akaun bank, menghantarnya ke luar negara, menggunakan ejen, atau ‘keldai wang’, atau menukarkannya kepada mata wang kripto bagi mengaburkan jejak transaksi,” tambah beliau.

Klik dan terpedaya

Penipuan e-dagang merupakan antara lima jenis penipuan yang paling banyak berlaku dari segi jumlah kes pada separuh pertama 2025, dengan 3,237 kes dilaporkan, menurut statistik polis.

Dalam penipuan e-dagang, mangsa biasanya tertarik pada tawaran menarik di pasaran dalam talian atau platform media sosial. Namun, selepas bayaran dibuat, barang atau perkhidmatan yang dijanjikan tidak dihantar.

Dalam sesetengah kes, mangsa merupakan penjual yang tidak menerima bayaran selepas menghantar barang atau menyediakan perkhidmatan kepada penipu yang menyamar sebagai pembeli. Penipu juga ada kalanya memberi tangkapan layar palsu sebagai “bukti pembayaran”.

Penipu sering menggunakan tawaran menarik untuk mencetuskan emosi seperti teruja atau bimbang terlepas peluang (fear of missing out, atau Fomo) bagi mendorong tindakan segera, kata Superintenden McIntyre.

Kes penipuan beli-belah melalui siaran langsung (live-stream shopping) juga meningkat pada 2025. Dari Januari hingga Oktober 2025, kerugian sebanyak $1.3 juta direkodkan merangkumi 144 kes – meningkat lebih 50 peratus berbanding $840,000 daripada 96 kes dalam tempoh sama pada 2024.

Musim penipuan beli-belah

Dengan sambutan Tahun Baru Cina dan Ramadan semakin hampir, Superintenden McIntyre memberi amaran mengenai peningkatan risiko penipuan e-dagang.

Dalam tempoh ini, pengguna cenderung membuat lebih banyak pembelian dalam jangka masa pendek.

Banyaknya kerja dalam tempoh ini – seperti membeli pakaian baru, mengesahkan tempahan katering dan menempah penghantaran – boleh menyebabkan “keletihan membuat keputusan”, yang boleh menjejas keupayaan individu meneliti setiap transaksi dengan teliti, ujar beliau.

Penipu mengambil kesempatan daripada keadaan tergesa-gesa ini serta rutin budaya semasa musim perayaan.

Kes melibatkan katering dan barang makanan lazimnya meningkat menjelang perayaan utama, apabila perhimpunan keluarga besar dan persiapan saat akhir mewujudkan permintaan tinggi serta tekanan masa, kata Superintenden McIntyre.

Penipu juga mungkin mengambil kesempatan daripada jangkaan penghantaran barang dengan menggunakan cubaan pancingan data, atau phishing, kata beliau. Melalui kaedah ini, mangsa diperdaya untuk mendedahkan maklumat peribadi atau butir akaun bank dan kad kredit.

Penipu juga menghantar pesanan teks atau e-mel palsu, mendakwa bayaran tambahan diperlukan atau kononnya percubaan menghantar barang gagal.

Menyangka bahawa mereka hanya perlu membayar jumlah kecil, mangsa akan memasukkan butiran pembayaran, sebelum menyedari transaksi tidak sah telah berlaku dalam akaun mereka, tambah Superintenden McIntyre.

Setahun selepas kejadian tersebut, Encik Kamal masih membeli-belah dalam talian, tetapi kini secara lebih berhati-hati dan selamat.

“Saya mungkin membeli baju Melayu dalam talian pada musim perayaan ini,” katanya.

Kini, beliau memilih platform yang menyediakan kemudahan bayaran tunai semasa penghantaran atau pilihan pembayaran selamat, seperti Shopee, serta membaca ulasan pembeli dengan teliti sebelum mengklik “pay” (bayar).

Lindungi diri anda dan kongsi panduan antipenipuan terkini bersama keluarga dan rakan-rakan.
Lindungi diri anda dan kongsi panduan antipenipuan terkini bersama keluarga dan rakan-rakan. - Adaptasi Grafik Berita Minggu
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg