Pekerjaan sambilan itu kedengaran mudah dan lumayan.
Segala yang perlu dilakukan Cik Jaslin Sim sebagai “penilai hotel” hanya membuat beberapa klik di platform penilaian untuk memperolehi AS$30 ($40) bagi setiap penilaian.
Selepas diberhentikan kerja pada awal 2024, karyawan teknologi berusia 31 tahun itu menghabiskan masa setahun mencari pekerjaan baru. Beliau membuat lebih 100 permohonan tetapi tidak mendapat sembarang tawaran kerja.
Cik Sim, yang belum berumah tangga, memerlukan kerja sambilan untuk menyara diri dan ibu bapanya, yang kedua-duanya berusia dalam lingkungan 60-an tahun, sementara beliau terus mencari pekerjaan tetap.
Ketika melayari laman pekerjaan Monster Jobs pada waktu malam pada Julai 2024, iklan “penilai hotel” menarik perhatiannya.
Semakan pantas di portal Penguasa Pengawalan Perakaunan dan Korporat (Acra) mengesahkan syarikat itu berdaftar di Singapura, lalu Cik Sim menghantar resumenya.
“Pekerjaannya mudah dan bayarannya baik, memang itulah yang saya cari,” kata Cik Sim. Pekerjaan itu juga boleh dilakukan dari rumah.
Beberapa hari kemudian, Cik Sim dihubungi melalui WhatsApp oleh “Ashlyn”, yang menggunakan nombor tempatan. “Ashlyn” mendakwa dia adalah wakil syarikat.
Apa yang menyusul ialah deretan mesej selama 30 minit. “Ashlyn” menerangkan tugas pekerjaan itu dan menghantar tangkap layar langkah demi langkah cara menggunakan platform penilaian tersebut.
“Saya rasa pelik proses temu duga dan orientasi dibuat secara santai melalui mesej,” kata Cik Sim.
Namun, beliau tetap mengikuti arahan. Di sinilah syarat pelik muncul: Bayaran akan dibuat dalam mata wang kripto. Untuk menerimanya pula, Cik Sim perlu membuka dompet kripto.
Cik Sim teragak-agak. “Saya mahu bayaran tunai. Saya tidak selesa dengan kripto.”
Apabila beliau menyatakan demikian, “Ashlyn” mula membanjirinya dengan mesej selama beberapa jam, mengetepikan kebimbangannya dan mendesak beliau supaya meneruskan proses orientasi.
Cik Sim berasa tidak sedap hati: “Kalau betul pekerjaan ini bagus, kenapa dia paksa-paksa saya?”
Beliau membuat carian “scam, atau penipuan, pekerjaan penilai hotel” dalam talian. Cik Sim menemui kiriman di forum daripada netizen yang berkongsi pengalaman serupa dan memberi amaran kepada orang ramai.
Ketika itulah beliau mengesyaki bahawa penipu mungkin menyamar sebagai syarikat sah untuk menjalankan penipuan. Cik Sim kemudian menyekat “Ashlyn” di WhatsApp.
Penipuan pekerjaan adalah antara lima jenis penipuan yang mengakibatkan jumlah kerugian tertinggi dalam separuh pertama 2025, menurut laporan pertengahan tahun mengenai penipuan dan jenayah siber oleh polis.
Penipuan pekerjaan menyebabkan kerugian sebanyak $59 juta dalam tempoh tersebut kepada mangsa di Singapura.
Penolong Pengarah Pejabat Pendidikan Awam Penipuan polis, Superintenden Polis Matthew Choo, berkata mangsa penipuan pekerjaan mudah terpedaya oleh tawaran pulangan tinggi bagi pekerjaan mudah dan tidak memerlukan usaha besar.
Pekerjaan itu boleh dilakukan dari rumah atau di mana-mana menggunakan telefon, membolehkan individu mencari pendapatan sampingan sambil mengekalkan pekerjaan tetap, kata Superintenden Choo.
Tugas awal selalunya kelihatan “ringkas dan tidak berisiko”, katanya. Akibatnya, mangsa mungkin mengabaikan tanda amaran seperti perlu membuat bayaran pendahuluan bagi mendapatkan pekerjaan, atau perlu menggunakan wang sendiri, akaun bank atau kelayakan butiran Singpass bagi menyelesaikan tugasan.
Mangsa juga mungkin menerima bayaran kecil pada peringkat awal, yang membuatkan mereka percaya pekerjaan itu sah, kata beliau.
Bilakah mangsa sedar mereka ditipu?
“Mangsa gagal menerima pulangan yang dijanjikan, dan selalunya, penipu tidak lagi dapat dihubungi,” ujar Superintenden Choo.
Beliau menambah bahawa penipu mungkin menggunakan mata wang kripto kerana “jejaknya terhad” dan transaksi kripto tidak boleh dipulangkan. Ini menjadikan pemulihan aset “hampir mustahil”.
Cik Sim, yang tidak menyedari taktik sedemikian, percaya bahawa beliau mungkin menjadi mangsa jika tidak kerana rasa ragu-ragunya terhadap mata wang kripto.
Beliau sekarang telah mendapat pekerjaan tetap di sebuah agensi pemerintah.
Memberi peringatan tegas, beliau berkata: “Jika imbangan antara usaha dan ganjaran nampak pelik, sesuatu memang tak kena. Hakikatnya, tiada wang yang mudah diperoleh.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg