Berita Harian/Minggu (BH/BM) telah mengambil langkah besar untuk mendekati generasi muda melalui pelbagai inisiatif strategik dan inovatif pada 2024.
Fokus utama BH/BM adalah untuk menarik perhatian audiens berusia 15-34 tahun, mencipta kandungan yang menarik, serta membina komuniti yang dinamik dan relevan.
Satu saluran OMGxBH telah ditubuhkan di platform media sosial, khas untuk audiens muda pada Disember 2023.
Dilancarkan pada 30 Ogos oleh Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad, OMGxBH adalah platform berita dan infohiburan yang kini telah berjaya meraih lebih 42,000 pengikut, jauh melebihi sasaran awal 16,500 untuk 2024.
Untuk terus menarik perhatian dan mendekati golongan muda, OMGxBH memperkenalkan Siri Jauhari, satu siri ceramah yang menampilkan pemenang Anugerah Jauhari berkongsi rahsia kejayaan mereka.
Siri yang disokong unit maklum balas pemerintah, Reach, mengandungi enam sesi dan telah memberi inspirasi kepada lebih 400 audiens muda untuk terus mengejar impian mereka, sambil mengetengahkan isu-isu yang relevan dalam kehidupan mereka.
Melalui wadah seperti TikTok, Instagram dan YouTube, OMGxBH menyediakan berita terkini serta kandungan gaya hidup yang lebih ‘cool’ dan dekat di hati generasi muda.
Beberapa video dan hantaran akaun media sosial OMGxBH juga telah mencapai angka yang tinggi.
Sebagai contoh, hantaran berkaitan kerja menterjemah Gen Z telah meraih lebih 1.3 juta tontonan.
Hantaran OMGambar bertajuk ‘Aku Melayu’ juga meraih hampir 300 pengikut dan telah dikongsi lebih 500 kali.
Video bersama mantan Presiden Halimah Yacob telah meraih setengah juta tontonan dan menambah 800 pengikut baru.
“OMGxBH bertujuan bukan sekadar jenama media sosial bahkan sebagai sebuah komuniti dengan suara hati anak muda didengari dan minat mereka ditonjolkan,’’ kata Editor Audiens dan Perkembangan BH, Cik Norhaiza Hashim.
Matlamat berterusan OMGxBH adalah untuk mewujudkan ruang yang membolehkan anak muda Melayu berhubung, melibatkan diri dan berkembang, tambahnya.
Selain itu, OMGxBH juga menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak untuk memperluas jangkauan dan membina hubungan yang lebih erat dengan komuniti muda.
Antara pencapaian tahun ini adalah di Festival Belia M³ di Wisma Geylang Serai dan di Aspire Connect anjuran Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) dengan OMGxBH menjadi rakan media rasmi.
OMGxBH juga telah meningkatkan usaha mereka untuk mendekati golongan muda melalui sesi interaktif bersama institusi pendidikan tinggi seperti Politeknik Republic (RP), Institut Teknologi Singapura (SIT), Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) dan Persatuan Bahasa Melayu di Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Universiti Teknologi Nanyang (NTU).
Selain itu, OMGxBH juga telah menganjurkan Bengkel Penciptaan Kandungan di ITE Central yang bertujuan mengasah bakat muda dalam bidang media dan kreatif.
Melalui usaha gigih dan inisiatif yang relevan, BH/BM akan terus berusaha untuk menjadi saluran maklumat utama bagi generasi muda di Singapura.
Dengan komitmen kepada inovasi, BH/BM berharap dapat mengukuhkan lagi kehadiran di wadah digital dan membina komuniti yang kukuh untuk jangka masa panjang.
Pada 2025, BH/BM akan terus mendekati anak muda dalam memupuk generasi audiens hadapan BH/BM.
“
“OMGxBH bertujuan bukan sekadar jenama media sosial bahkan sebagai sebuah komuniti dengan suara hati anak muda didengari dan minat mereka ditonjolkan.’’Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg