USTAZ KHALIL ROSLI
Segala puji bagi Allah, kita diberi kesempatan lagi untuk bertemu dengan bulan yang mulia di antara bulan-bulan haram, iaitu bulan Zulhijah.
Bulan ini sinonim dengan dua amalan besar yang diamalkan oleh masyarakat kita, ibadah haji dan ibadah korban. Dalam Islam, ibadah haji merupakan salah satu rukun agama yang perlu kita tunaikan bagi sesiapa yang mampu.
Namun demikian, dengan keadaan undang-undang pemerintah dan perkembangan jumlah umat Islam di seluruh dunia, tuntutan menjejakkan kaki ke tanah suci Makkah amat sukar.
Ini kerana, untuk mengawal jumlah kemasukan jemaah haji yang datang dari seluruh pelosok dunia untuk melaksanakan rukun kelima ini, hanya 900 kuota haji sahaja yang diberikan kepada jemaah di Singapura. Oleh itu, ramai antara kita yang masih menunggu giliran untuk dipilih ke tanah suci tersebut.
Bagi yang belum berkesempatan menunaikannya, agama kita telah memberikan panduan kepada kita bagaimana mengejar pahala-pahala besar selain menunaikan haji.
Baginda Nabi saw bersabda: “Tiada hari-hari yang amalan soleh paling disukai oleh Allah untuk dilakukan melainkan hari-hari ini.” Baginda memasukkan: 10 hari terawal Zulhijah (hadis riwayat Al-Bukhari).
Kita digalakkan memperbanyakkan amal kebaikan pada bulan ini, lebih-lebih lagi pada 10 hari pertama Zulhijah. Antara amalan yang boleh kita laksanakan ialah memperbanyakkan zikir, berpuasa, dan melakukan ibadah korban.
Supaya tidak mensia-siakan peluang yang ada ini, Masjid Darul Aman pada setiap tahun mengadakan program khas sempena bulan Zulhijah, dengan kebiasaan kita menyediakan kursus khas bertemakan pengorbanan dalam Islam menerusi kuliah harian.
Pada tahun 2024 ini, buat julung kalinya kami membuat sedikit perbezaan dan penambahan bagi program kami. Kami akan mengadakan Kursus Pensyariatan Ibadah Haji pada 16 Jun ini, hari Ahad, 2 petang sehingga 3.30 petang.
Kursus yang akan dijalankan ini bagi memberikan peluang kepada masyarakat Islam kita mengetahui tentang pengajaran di sebalik ibadah haji, yang merangkumi sejarah pensyariatan ibadah haji dan juga memahami tatacara proses ibadah haji atau yang dikenali sebagai manasik haji.
Ini merupakan satu peluang baik bagi mereka yang belum berkesempatan menunaikan ibadah haji untuk memahami secara ringkas dan umum tentang pensyariatan ibadah tersebut daripada permulaan sehingga selesai.
Tujuan kursus ini adalah untuk menarik minat dan memberikan ilmu pengetahuan lanjut tentang ibadah tersebut agar memudahkan pada masa akan datang apabila diterima untuk menunaikan ibadah haji.
Dengan erti kata lain, peserta akan lebih yakin dalam persiapan menunaikan haji kerana telah mendapat pengetahuan asas penting dalam ibadah tersebut. Kami yakin dengan kursus ini, peserta akan meraih banyak manfaat dan dapat mendidik ahli keluarga yang lain.
Selain kursus ini, kami daripada Jabatan Pengajian Islam Masjid Darul Aman juga menyediakan program Tahlil Jamak, Iftar, dan juga Takbir Raya pada malam hari tersebut.
Bagi sesiapa yang ingin menghantarkan nama-nama arwah, anda boleh menghubungi kami di talian 6744-5544 atau layari laman Facebook kami untuk maklumat lanjut.
Kami menjemput anda semua memeriahkan malam Hari Raya Aidiladha dengan hadiri di Masjid Darul Aman untuk berbuka puasa dan melaungkan takbir bersama-sama. Sedikit istimewa pada kali ini, kami akan menyediakan hidangan kambing golek khas untuk jemaah nikmati selepas solat isyak. Ayuh, kita mengisi ruang kosong kita pada hari tersebut dengan mengimarahkan masjid ini.
Penulis merupakan Pegawai Kanan Jabatan Pembelajaran Islam di Masjid Darul Aman.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg