Topik diikuti
Pergi ke BHkuDemi anak, penghuni penjara cabar diri dalam pertandingan memasak
Demi anak, penghuni penjara cabar diri dalam pertandingan memasak
Sejak kecil, Cik Juraida, yang hanya boleh dikenali dengan nama pertamanya, sudah biasa membantu ibunya berniaga makanan di beberapa pusat penjaja.
Melihat pelanggan kembali berulang kali untuk menikmati masakan ibunya meninggalkan kesan mendalam pada dirinya dan menyemai minatnya sendiri terhadap dunia masakan.
Kini, penghuni penjara berusia 37 tahun itu berpeluang menguji kemahiran memasaknya menerusi pertandingan masakan Reben Kuning (YRCS) 2026.
Dalam cabaran berkumpulan yang berlangsung di Kompleks Penjara pada 19 Ogos, Cik Juraida bersama dua lagi penghuni penjara, Cik Huynh Thi Chan, 38 tahun, dan Cik Alia, 37 tahun, dalam kumpulannya perlu menyediakan hidangan tiga sajian berdasarkan bahan-bahan yang mewakili empat profil rasa, iaitu manis, masam, pahit dan umami.
Mereka merupakan antara sembilan peserta yang mara ke peringkat tersebut selepas melalui pusingan saringan individu, “Sizzling Heats”, pada 8 Julai, yang disertai 24 peserta.
Sembilan peserta itu dibahagikan kepada tiga kumpulan, masing-masing terdiri daripada tiga orang, untuk bersaing dalam cabaran “Battle of the Flavours”.
Setiap kumpulan perlu menggunakan bahan rahsia yang mewakili tiga profil rasa, iaitu kurma kering (manis), limau nipis segar (masam) dan peria (pahit). Bahan keempat, ikan bilis kering yang mewakili rasa umami, pula dipilih oleh salah seorang juri cef.
Dengan bahan-bahan tersebut, setiap kumpulan perlu menyediakan hidangan tiga sajian dalam masa 90 minit.
Bagi Cik Juraida, penyertaan dalam pertandingan itu bukan sekadar peluang untuk mengetengahkan kemahiran memasak, malah menjadi ruang untuk mencabar dirinya sendiri.
Beliau tidak pernah menyertai sebarang pertandingan sebelum ini dan mengakui mudah berasa gementar.
“Motivasi saya adalah anak saya. Satu lagi, saya mahu mencabar diri saya sebab ini sesuatu yang sangat baharu bagi saya. Saya tidak pernah menyertai pertandingan. Saya mahu tahu bagaimana rasanya,” katanya kepada Berita Harian (BH).
YRCS tahun ini dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Cef Singapura dan buat julung-julung kalinya mengambil inspirasi daripada siri Netflix, Culinary Class Wars.
Bertemakan “Flavours of Life”, pertandingan ini menggalakkan peserta menggunakan pengalaman peribadi sebagai inspirasi dalam menghasilkan hidangan mereka.
Buat pertama kalinya juga, YRCS dipersembahkan dalam bentuk siri realiti yang merakam perjalanan para peserta mengharungi pelbagai cabaran memasak. Siri tersebut dikendalikan oleh usahawan tempatan, pencipta kandungan serta pengasas Nothing But Cheeseburger, Encik Tommy Wong.
Ditayangkan menerusi saluran media sosial Reben Kuning Singapura, siri itu turut mengetengahkan kisah peribadi peserta, sokongan orang tersayang serta harapan mereka untuk masa depan.
Bagi Cik Juraida, cabaran memasak bukan satu-satunya perkara yang perlu dihadapinya.
Namun, pada peringkat akhir pertandingan ini, beliau perlu bersaing dengan rakan-rakan yang sebelum itu bekerjasama dengannya dalam satu kumpulan, yang ditayangkan pada 19 Oktober.
Beliau mengakui berasa bercampur baur apabila terpaksa mencabar rakan-rakannya sendiri.
“Sejujurnya, saya ada perasaan bercampur baur. Saya rasa gembira dan saya pun rasa sedih juga. Sedih sebab selepas ini kita tidak bekerjasama lagi sebagai rakan sepasukan, tetapi kita pula perlu mencabar satu sama lain,” katanya.
Namun, di sebalik keinginannya mencabar diri, Cik Juraida berharap penyertaannya dapat membuat anak perempuannya yang berusia 17 tahun kagum dengan kebolehan ibunya.
Selepas keluar dari penjara, antara perkara pertama yang ingin dilakukannya ialah memasak untuk anak perempuannya, kongsinya. Hidangan pilihannya ialah tom yam makanan laut, makanan kegemaran anaknya.
Dalam pertandingan itu, gelaran juara YRCS 2026 akhirnya dimenangi Cik Thi Chan, yang berjaya memikat hati para juri dan penonton menerusi hidangan nasi goreng makanan laut hasil air tangannya sendiri.
Menurut Cik Thi Chan, hidangan itu mengingatkannya tentang pentingnya mengeratkan hubungan kekeluargaan.
Mengulas kemenangannya, beliau berkata: “Saya berasa amat bersyukur dan menaruh harapan besar kerana berjaya memenangi pertandingan ini. Sekiranya terdapat peluang pada masa hadapan untuk saya terus mengembangkan kemahiran memasak, saya akan berusaha sebaik mungkin.”
Di sebalik pertandingan itu, YRCS 2026 turut mencerminkan usaha lebih luas Projek Reben Kuning (YRP) dalam memupuk masyarakat yang lebih inklusif, dengan menyokong usaha banduan dan bekas pesalah untuk kembali ke pangkuan masyarakat.
Dengan mengetengahkan kemahiran, perkembangan diri dan aspirasi para peserta, acara itu bertujuan meningkatkan pemahaman masyarakat tentang potensi mereka serta menggalakkan masyarakat memainkan peranan aktif dalam memberi peluang kedua.
Melalui sokongan keluarga, rakan kerjasama industri dan masyarakat luas, YRCS 2026 mengukuhkan lagi slogan YRP, “We Are Each Other’s Second Chances” (Kita merupakan peluang kedua antara satu sama lain).
Daripada membantu ibunya berniaga makanan ketika kecil kepada menguji kebolehan memasaknya dalam pertandingan, Cik Juraida terus memupuk minat yang telah lama berakar dalam dirinya, dengan harapan suatu hari nanti dapat merealisasikan impian memiliki kedai makanan sendiri.