Kerja struktur dan seni bina di depoh kereta api dan bas terbesar Singapura hampir 98 peratus siap, manakala kerja seperti pemasangan paip, khidmat elektrik dan sistem lain telah siap 83 peratus.
Depoh Bersepadu East Coast (ECID) di Changi dijangka dibuka pada 2026, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).
Asalnya dijadual dibuka pada 2024, pembukaan depoh itu ditangguhkan ke 2025, dan kemudian pada 2026, dek gangguan Covid-19.
Kerja pembinaan yang tinggal termasuk pemasangan rel, kerja jalan raya, serta pemasangan tembok dan pagar, lapor The Straits Times (ST).
LTA membuat kenyataan tersebut semasa lawatan media ke tapak kerja seluas 36 hektar itu pada 27 November, menjelang pemberhentian perkhidmatan kereta api antara stesen MRT Tanah Merah dengan Tampines dari 7 hingga 10 Disember untuk memberi laluan pada kerja penyambungan rel dari Laluan MRT Timur-Barat (EWL) ke ECID.
Pembinaan depoh empat-dalam-satu itu bermula pada 2016. Apabila siap pada 2026 kelak, ia akan menempatkan tiga depoh kereta api dan sebuah depoh bas.
LTA berkata ia merancang melakukan dua lagi pelarasan perkhidmatan dalam dua tahun akan datang – yang akan melibatkan segmen berbeza di Laluan MRT Timur-Barat (EWL) bagi memudahkan pembinaan depoh tersebut.
Tarikh dan butiran lanjut mengenai bagaimana perkhidmatan kereta api akan terjejas bakal diumumkan LTA kelak.
LTA turut menekankan kaedah pembinaan inovatif di ECID, termasuk penggunaan sistem ‘Mega Mats’, untuk menyokong mesin berat di tanah yang tidak stabil, serta menggantikan dek keluli tradisional yang lebih memakan masa.
Depoh itu juga menggabungkan ciri mesra alam yang mengurangkan pelepasan karbon, seperti bumbung hijau seluas 47,000 meter persegi, panel solar yang mampu menghasilkan 6.2 megawatt tenaga, dan elemen reka bentuk yang memanfaatkan pengudaraan dan cahaya semula jadi.
Depoh kereta api bertingkat itu akan berkhidmat untuk tiga laluan MRT dan dapat menampung sekitar 220 kereta api secara keseluruhan.
Depoh Laluan Downtown (DTL) akan berada di aras bawah tanah, Depoh Laluan Thomson-East Coast (TEL) akan berada di tingkat satu, manakala Depoh Laluan Timur-Barat (EWL) di tingkat atas.
Walaupun berkongsi tapak kemudahan, setiap depoh beroperasi secara berasingan.
Depoh EWL akan memulakan operasi terlebih dahulu, dengan anggaran 700 pekerja. Apabila depoh EWL mula beroperasi, Depoh Changi akan ditutup dan tapak tersebut akan dikembalikan kepada pemerintah.
Buat masa ini, kereta api DTL menggunakan Depoh Gali Batu di Woodlands, manakala kereta api TEL berhenti di Depoh Mandai.
Syarikat kereta api SMRT mengendalikan EWL dan TEL, dan rakan pengendali SBS Transit mengendalikan DTL.
Depoh bas akan dibina bersebelahan kompleks depoh kereta api itu dalam tapak yang sama.
Aras bawahnya bakal menempatkan bengkel penyelenggaraan, manakala aras atas akan menyediakan tempat meletak kenderaan bagi sekitar 500 bas, kurang daripada 760 yang diumumkan sebelum ini.
Reka bentuk depoh bas bertingkat itu turut termasuk ruang untuk kemudahan bas elektrik, dilengkapi dengan 240 pengecas.
Penggabungan depoh tersebut menjimatkan 44 hektar tanah, sekitar $2 bilion, dan mengurangkan kos pembinaan sekitar 40 peratus, kata LTA.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg