Perkhidmatan MRT antara stesen Tanah Merah dan Tampines akan digantung pada 7-10 Disember bagi membolehkan kerja penyambungan landasan Laluan Timur-Barat (EWL) ke Depoh Bersepadu East Coast (ECID).
Ini bermakna stesen Simei juga akan ditutup pada tempoh itu, kata satu kenyataan bersama Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan SMRT pada 5 November.
Menurut LTA, ia penggantungan besar pertama bagi kerja pembaikan ECID, yang dijangka siap pada 2026, dan dijangka disusuli penggantungan lain pada masa depan.
Purata 100,000 penumpang dianggarkan terjejas setiap hari, terutama penduduk di Simei, semasa penggantungan perkhidmatan itu.
Menurut LTA, ia perlu demi menjaga keselamatan pekerja dan memastikan kerja pembaikan dijalankan dengan berkesan.
Untuk memudahkan penumpang sepanjang tempoh itu, LTA akan menyediakan perkhidmatan bas serta kereta api ulang-alik.
Bas ulang-alik (Shuttle 7) akan bergerak dari Tanah Merah ke Simei dan ke Tampines, dan sebaliknya, dengan kekerapan setiap tiga hingga lima minit. Ia akan menggunakan sekitar 55 bas dua tingkat.
Tambang perkhidmatan bas ulang-alik itu akan mengikuti struktur tambang kereta api. LTA akan juga menyediakan perhentian berbumbung sementara bagi keselesaan penumpang.
Sebagai tambahan, tiga kereta api ulang-alik akan disediakan – antara stesen Tampines dan Pasir Ris setiap lima minit; stesen Tanah Merah dan Expo setiap lapan minit; dan stesen Expo dan Changi Airport setiap 11 minit.
Pada 7 dan 8 Disember, perkhidmatan kereta api di EWL akan berhenti di stesen Tanah Merah, sebelum bertukar arah ke kawasan barat.
Pada 9 dan 10 Disember, perkhidmatan kereta api di EWL akan bergilir-gilir berhenti di stesen Tanah Merah atau stesen Paya Lebar sebelum bertukar arah, bergantung pada waktu sibuk.
Ini untuk mengurangkan kesesakan pada tempoh tersebut.
LTA menggalak penumpang terjejas mempertimbangkan laluan alternatif, seperti Laluan Downtown (DTL), bagi waktu perjalanan lebih singkat.
Penumpang boleh bertukar dari EWL ke DTL di stesen Tampines dan Expo sebelum meneruskan perjalanan mereka.
LTA juga merancang meningkatkan kekerapan kereta api di DTL pada tempoh terjejas, dengan tambahan empat perjalanan setiap jam.
Perkembangan bagi laluan alternatif ini akan disediakan di wadah yang pelbagai.
Maklumat penutupan akan dikongsi melalui pelbagai wadah, termasuk media sosial, laman web LTA, serta poster di perhentian bas dan stesen MRT.
Penumpang disarankan merancang perjalanan awal, antara 20 hingga 30 minit, atau menggunakan aplikasi MyTransport.SG.
Perkembangan mengenai pembaikan ECID
LTA dan SMRT berkata penyambungan landasan EWL ke ECID memerlukan pekerja mengalihkan kira-kira 80 meter trek sedia ada, tukul landasan yang menyokong landasan kereta api di tempatnya, dan rel ketiga yang membekalkan kuasa kepada kereta api.
Ia akan digantikan dengan trek, tukul landasan dan rel ketiga yang baru, yang bergerak menuju ke depoh tersebut.
Memandangkan kawasan itu agak sempit, kerja ini hanya boleh dilakukan apabila kereta api tidak beroperasi, untuk menjamin keselamatan pekerja.
Tambahan pula, kereta api tidak dibenarkan beroperasi di sepanjang stesen Tanah Merah dan Tampines kerana ia zon keselamatan dengan kuasa perlu dimatikan sepenuhnya bagi membolehkan pengalihan selamat rel ketiga.
Sekitar 97 peratus kerja struktur depoh tersebut sudah siap, kata LTA.
Pemasangan landasan kereta api, perkhidmatan elektrik, mekanikal serta sistem sedang dijalankan.
Apabila siap, depoh itu akan menempatkan 220 kereta api dari DTL, Laluan Thomson-East Coast (TEL) dan EWL, serta depoh bas yang boleh memuatkan sekitar 760 bas.
Oleh itu, kerja pembaikan perlu dijalankan di landasan di Upper Changi Road di sebelah landasan EWL, untuk membolehkan kereta api bergerak dari EWL ke depoh baru.
Perkhidmatan pengangkutan awam alternatif
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg