Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dera anak hingga maut: Bapa tidak layak dirotan, jel ditambah

Jul 9, 2024 | 7:59 PM
Lelaki berkenaan mengaku bersalah pada 30 April 2024 terhadap pertuduhan yang dikurangkan kepada menyebabkan kematian; empat pertuduhan mendera kanak-kanak; dan satu tuduhan menghapuskan bukti.
Lelaki berkenaan mengaku bersalah pada 30 April 2024 terhadap pertuduhan yang dikurangkan kepada menyebabkan kematian; empat pertuduhan mendera kanak-kanak; dan satu tuduhan menghapuskan bukti. - Foto ST

Seorang lelaki yang dijatuhi hukuman penjara 34½ tahun dan 12 sebatan pada April kerana mendera dua anaknya, sehingga menyebabkan kematian anak perempuannya yang berusia lima tahun, perlu menjalani hukuman penjara enam bulan lagi sebagai ganti sebatan.

Lelaki 44 tahun itu disahkan secara perubatan pada 13 Mei sebagai tidak layak dirotan, kerana penyakit cakram degeneratif dan pemampatan cakram, kata pendakwa kepada Mahkamah Tinggi pada 9 Julai.

Timbalan Pendakwa Raya Norine Tan memohon hukuman penjara tambahan enam bulan dikenakan, dengan alasan terdapat keperluan menggantikan hukuman rotan yang ditiadakan.

Di bawah undang-undang, mahkamah boleh mengenakan hukuman penjara tambahan sehingga setahun dalam situasi hukuman sebat tidak boleh dijalankan.

Hakim Aedit Abdullah bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa enam bulan perlu ditambah, untuk mencerminkan hukuman balas yang keras dan penolakan terhadap perbuatan kejam itu.

Pesalah itu tidak boleh dinamakan bagi melindungi identiti anak lelakinya, yang turut didera, tetapi dapat diselamatkan.

Hakim Aedit, bagaimanapun, telah membenarkan nama pertama anak perempuan itu – Ayeesha – diterbitkan supaya masyarakat mengingatinya.

Kedua-dua mangsa merupakan anak kepada lelaki berkenaan daripada perkahwinannya sebelum ini.

Dia berkahwin dengan isteri keduanya pada 2015. Mereka mempunyai tiga anak bersama.

Lelaki itu mula menganiaya Ayeesha dan adiknya, yang berusia setahun lebih muda, pada 2015.

Kanak-kanak itu tidak diberi makan secukupnya sehinggakan makan najis mereka sendiri dan isi tilam kerana kelaparan.

Menjelang akhir 2015, lelaki itu dan isterinya mula memukul Ayeesha, yang ketika itu berusia tiga tahun, dan adiknya, yang baru berusia dua tahun.

Dari Februari hingga Oktober 2016, pasangan itu mengurung kededua mangsa di ‘sudut nakal’, yang dikepung dengan rak buku dan almari pakaian.

Mereka hanya dibenarkan keluar untuk makan dan mandi.

Bermula Oktober 2016, kededua mangsa dikurung berbogel di dalam tandas.

Pada malam 10 Ogos 2017, selepas isterinya mengadu kepadanya tentang Ayeesha, lelaki itu menampar muka budak itu sebanyak 15 hingga 20 kali.

Sekitar 3 pagi pada 11 Ogos 2017, isterinya sekali lagi mengadu mengenai anak-anaknya. Dia kemudian menumbuk belakang kanak-kanak itu, menendang dan menghentak Ayeesha, dan menampar mukanya.

Petang itu, isteri lelaki itu menyedari bahawa Ayeesha tidak sedar.

Dia kemudian membawa anak lelakinya dan Ayeesha dalam kereta sorong bayi ke Hospital Besar Singapura (SGH).

Dia kemudian berbohong kepada kakitangan hospital bahawa anak itu tidak responsif pada pagi itu.

Selepas Ayeesha disahkan meninggal dunia oleh doktor, lelaki tersebut berbohong kepada polis bahawa kanak-kanak itu terjatuh di taman permainan lalu kepalanya terhantuk pada gelongsor.

Hanya apabila dia ditunjukkan rakaman kamera pengawasan polis yang bercanggah dengan ceritanya barulah dia mengaku berbohong.

Dia asalnya dituduh membunuh, dan dibicarakan pada Julai 2023.

Pada 30 April 2024, dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikurangkan kepada menyebabkan kematian, empat pertuduhan mendera kanak-kanak dan satu tuduhan menghapuskan bukti.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg