Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dera pasangan: Mengapa mangsa diam diri bertahun sebelum dapatkan bantuan?

Pakar: Kebergantungan kewangan, bimbang tindakan jejas hidup anak-anak antara punca mangsa dera pilih tanggung derita sendiri
Jan 6, 2026 | 2:23 PM
masalah sosial, Mangsa dera pasangan, Warga emas, pilih berdiam diri
Ramai mangsa penderaan pasangan hanya mendapatkan bantuan semasa berlakunya kejadian serius atau hampir membawa maut, saat krisis yang melibatkan anak, atau apabila tidak lagi dapat menahan tekanan emosi.  - Foto ISTOCKPHOTO

Kebergantungan kewangan serta kebimbangan sebarang tindakan akan menjejas kehidupan dua anaknya, memaksa Cik Aisha (bukan nama sebenar) berdiam diri menanggung derita didera suami selama bertahun lama.

Pada awalnya, penderaan yang dialami Cik Aisha tidak ketara – suaminya akan memantau telefon bimbitnya, mengawal komunikasi Cik Aisha dan mengherdiknya atas perkara kecil.

Lama-kelamaan, tingkah laku suaminya memuncak.

Suaminya itu kerap menjerit, mengugut dan mendera Cik Aisha secara fizikal.

Cik Aisha masih menaruh harapan suaminya akan berubah, dan beliau sendiri berasa malu untuk mengadu nasib.

Namun, segalanya berubah apabila suaminya menolaknya, menyebabkan Cik Aisha terjatuh semasa mendukung anak bongsu.

Bimbang atas keselamatan anak-anaknya, Cik Aisha mencekalkan diri untuk mengadu nasib kepada seorang teman, yang kemudian memujuknya agar membuat laporan polis.

Cik Aisha dirujuk kepada sebuah pusat pakar keganasan keluarga dan beliau diberi perlindungan sementara dan sokongan seperti mendapatkan Perintah Perlindungan Peribadi (PPO).

Kisahnya menggambarkan perjalanan yang lazim dilalui mangsa penderaan pasangan.

Mereka akan berdiam diri selama bertahun-tahun sebelum mendapatkan bantuan, kata Pengarah Pusat Casa Raudha, Cik Zaharah Ariff.

“Tiada tempoh masa yang tetap, tetapi mangsa sering menanggung penderaan selama beberapa bulan hingga bertahun-tahun sebelum membuat laporan.

“Ramai hanya mendapatkan bantuan semasa berlakunya insiden serius atau hampir membawa maut, saat krisis yang melibatkan anak, atau apabila tidak lagi dapat menahan tekanan emosi.

“Sesetengah juga tampil untuk mendapatkan bantuan apabila anak mereka semakin membesar dan telah memperoleh kekuatan emosi serta dorongan daripada anak untuk melaporkan penderaan tersebut,” kongsi Cik Zaharah.

Bilangan kes penderaan pasangan dilaporkan meningkat 6 peratus daripada 2,008 kes pada 2023 kepada 2,136 kes pada 2024.

Demikian menurut Laporan Trend Keganasan Rumah Tangga Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) pada 10 Disember.

Menjelaskan lanjut, Pengarah Pusat Trans Family Services, Cik Suriana Mohd Shah, berkata terdapat salah faham bahawa mangsa penderaan boleh memilih untuk meninggalkan hubungan tersebut dengan mudah.

Justeru, apabila membantu mangsa sedemikian, adalah penting untuk mengambil kira keadaan emosi dan kesediaan mereka.

“Adalah perlu untuk menyesuaikan diri dengan mangsa dan memberi tumpuan kepada mewujudkan persekitaran agar mereka berasa selamat dan disokong.

“Ia mungkin mengambil masa yang agak lama untuk mangsa berasa benar-benar bersedia untuk mengubah kehidupan mereka,” ujar Cik Suriana.

Beliau akur dalam proses membantu mangsa, adalah normal bagi mangsa untuk bergelut di antara rasa bersedia untuk memulakan hidup baru, dengan memilih untuk kembali kepada cara lama mengatasi tekanan.

Di samping itu, laporan MSF turut menunjukkan kes baru penderaan warga emas meningkat daripada 297 kes pada 2023 kepada 359 kes pada 2024.

Antara lain, punca penderaan warga emas termasuk tekanan penjaga dan sejarah hubungan yang tegang, kongsi Cik Suriana.

Selain itu, penggunaan keganasan yang mungkin lumrah dalam sesebuah keluarga sebagai cara menyelesaikan perselisihan atau konflik, juga boleh menyumbang kepada sebab mengapa warga emas mengalami penderaan.

Pendera biasanya merupakan individu yang berada dalam kedudukan yang dipercayai dan dikenali oleh warga emas tersebut, jelas Cik Suriana.

Kebanyakan pendera juga merupakan anak kandung, anak tiri, pasangan, atau saudara-mara mangsa.

Penderaan warga emas boleh berlaku dalam pelbagai bentuk.

Ia termasuk serangan fizikal, penderaan emosi/psikologi yang berpanjangan, pengabaian keperluan asas seperti makanan dan pakaian, penafian rawatan perubatan yang diperlukan, sekatan terhadap pergerakan warga emas, atau penderaan seksual.

“Bagi ramai, keputusan untuk berdiam diri berpunca daripada ikatan emosi dan takut terasing (daripada keluarga).

“Mereka sering memilih untuk menanggung penderaan dan terus tinggal bersama keluarga berbanding berada dalam keadaan selamat tetapi terpisah daripada anak mereka,” ujar Cik Suriana.

Justeru, apabila membantu warga emas yang didera, adalah penting untuk mendengar dan memahami perspektif, keinginan serta kebimbangan mereka.

Ini di samping bekerjasama dengan anggota keluarga dan melibatkan mereka dalam penyediaan serta pelaksanaan pelan keselamatan bagi memastikan keselamatan warga emas dan menggalakkan pematuhan berterusan terhadap pelan keselamatan itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg