Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih ramai warga emas didera di S’pura pada 2024

Dec 10, 2025 | 10:00 AM
isu penderaan, MSF, warga emas 
Sebanyak 359 kes penderaan warga emas dengan risiko keselamatan rendah atau sederhana (Tahap 1) dilaporkan pada 2024. - Foto fail

Lebih ramai warga emas di Singapura didapati mengalami penderaan yang berisiko rendah atau sederhana pada 2024, lapor Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

Sebanyak 359 kes sedemikian, yang juga digelar kes baru Tahap 1, telah dilaporkan pada 2024 berbanding 297 kes pada 2023.

Demikian menurut Laporan Trend Keganasan Rumah Tangga MSF yang dikeluarkan pada 10 Disember.

“Peningkatan ini sebahagiannya boleh dikaitkan dengan masyarakat yang semakin berusia, di samping kesedaran yang lebih tinggi tentang penderaan yang melibatkan warga emas,” kata MSF.

Kes Tahap 1, antara lain, melibatkan keluarga yang menghadapi tahap tekanan penjagaan yang tinggi, yang boleh memberi kesan buruk kepada warga emas dan pengabaian warga emas yang membawa kepada kemerosotan kesihatan.

Penderaan warga emas merujuk kepada sebarang tindakan atau kegagalan untuk bertindak yang membahayakan keselamatan atau kesejahteraan golongan yang berusia 65 tahun dan ke atas.

Penderaan juga sering dilakukan oleh anggota keluarga atau penjaga yang dipercayai mangsa-pemandiri, jelas MSF.

Selain itu, laporan yang sama mendedahkan terdapat kemerosotan dalam bilangan kes penderaan warga emas yang juga orang dewasa rentan, yang berisiko tinggi atau Tahap 2 – sebanyak 38 kes baru pada 2024, berbanding 42 kes pada 2023.

Kemerosotan tersebut mungkin didorong oleh usaha agensi masyarakat dan penjaga warga emas dan kesihatan yang bekerjasama dengan orang dewasa rentan dan keluarga mereka untuk menangani punca penderaan atau pengabaian, tambah MSF.

Daripada 38 kes baru yang dilaporkan pada 2024, sebanyak 17 daripadanya merupakan kes pengabaian; 14 ialah kes penderaan fizikal; empat ialah kes penderaan emosi dan psikologi; manakala tiga lagi ialah kes penderaan seksual.

Kes pengabaian yang membentuk sebahagian besar daripada kes penderaan Tahap 2 berlaku apabila penjaga tidak mampu memenuhi keperluan orang dewasa yang rentan seperti pengawasan, kebersihan diri dan keperluan ke tandas, yang boleh menjejas kesejahteraan fizikal dan/atau mental mereka. 

“Ini termasuk tidak membersihkan mereka apabila mereka mengotori diri, atau meninggalkan mereka yang menghidap demensia di rumah selama berjam-jam tanpa pengawasan,” kongsi MSF ketika dihubungi Berita Harian (BH). 

Mereka yang mengalami penderaan emosi dan psikologi pula boleh mengalami keyakinan diri yang rendah, kemurungan, trauma dan keresahan.

“Sesetengah daripada mereka juga mungkin mempunyai pemikiran untuk membunuh diri, berasa terasing, tidak berdaya atau keliru, serta hidup dalam keadaan ketakutan,” ujar MSF.

MSF turut menjelaskan sebahagian warga emas berusia 65 tahun dan ke atas boleh dianggap sebagai orang dewasa yang rentan di bawah Akta Dewasa Rentan.

Golongan tersebut ditakrifkan dalam akta itu sebagai seseorang yang berumur 18 tahun dan ke atas, dan disebabkan oleh kelemahan mental atau fizikal, kecacatan atau ketidakupayaan, tidak berupaya melindungi diri daripada penderaan, pengabaian atau pengabaian diri.

Selain warga emas, orang dewasa yang rentan juga merangkumi golongan bukan warga emas yang berusia dari 18 hingga 64 tahun, dengan kecacatan atau ketidakupayaan yang menghalang mereka daripada melindungi diri mereka sendiri.

Dalam pada itu, dengan jumlah orang dewasa rentan yang dijangka meningkat pada masa hadapan disebabkan oleh penduduk Singapura yang menua, pemerintah sedang berusaha memastikan perlindungan undang-undang dan perkhidmatan sosial kekal relevan serta mencukupi untuk kumpulan tersebut.

“Peningkatan dalam jumlah kes melibatkan orang dewasa yang rentan dijangka berlaku selaras dengan penuaan penduduk kita.

“MSF akan terus memantau trend ini dengan teliti sebagai sebahagian daripada semakan berkala bagi melindungi warga emas dengan lebih baik,” kata MSF.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg