Topik diikuti
Pergi ke BHkuDesmond Lee: Hayati semangat gotong-royong demi masyarakat
Empat penerima Anugerah Jauhari BH contoh teladan tabur bakti kepada masyarakat selain berjaya dalam bidang masing-masing
Desmond Lee: Hayati semangat gotong-royong demi masyarakat
Meskipun pemerintah akan terus menyokong semua rakyat Singapura untuk melalui cabaran genting dalam kehidupan, rakyat di sini – terutama mereka yang telah mencapai kejayaan dalam kehidupan – boleh memainkan peranan untuk sama-sama menyumbang kepada masyarakat.
Dengan berbuat demikian, ia dapat mewujudkan satu kitaran positif yang memperkukuh masyarakat, sekali gus melakar kejayaan berterusan untuk negara ini, kata Menteri Pendidikan yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Integrasi Khidmat Sosial, Encik Desmond Lee.
Merujuk kepada empat penerima anugerah semasa berucap di majlis tahunan Anugerah Jauhari Berita Harian (BH) di Four Seasons Hotel pada 6 November, beliau berkata penerima anugerah sedemikian bukan sahaja contoh teladan kepada masyarakat Melayu/Islam, malah bagi semua di Singapura.
Ini memandangkan di sebalik kejayaan yang diraih dalam bidang masing-masing, mereka turut menabur bakti demi membantu individu lain, ujarnya.
Encik Lee berkata: “Sumbangan sebegini amat penting bagi kejayaan berterusan Singapura, oleh kerana kita kini berdepan dengan pelbagai cabaran besar.
“Ini termasuk persekitaran geopolitik yang sukar, perubahan teknologi yang pesat, masyarakat yang semakin menua dan cabaran yang kian meningkat dalam mengekalkan mobiliti sosial, seiring dengan kematangan masyarakat dan ekonomi kita.”
Beliau hadir di majis itu selaku tetamu terhormat, di samping Pengarah Urusan SPH Media, Encik Kuek Yu Chuang; Ketua Editor Kumpulan Media Inggeris/Melayu/Tamil SPH Media, Encik Wong Wei Kong, dan Editor BH, Encik Nazry Mokhtar.
Majlis tersebut menyaksikan anugerah terulung bagi edisi kali ini iaitu Anugerah Jauhari BH 2026, disandang oleh srikandi angkat berat Singapura, Farhanna Farid.
Anugerah Jauhari Harapan BH disandang oleh pemilik Cheekies Enterprise, Encik Nabill Shukry Johari, manakala Cik Siti Nurhumaira Azman dan Cik Elizabeth Neo Ying Ying menerima Anugerah Perkasa BH-Maybank yang diberikan buat julung-julung kalinya.
Berkenaan sokongan berterusan pemerintah dalam membantu rakyat Singapura, Encik Lee memberi contoh inisiatif SkillsFuture bagi membantu pekerja meningkatkan kemahiran.
Ini di samping program Age Well SG atau Sihat Menua SG yang membantu warga emas menua dengan sejahtera dalam kalangan masyarakat, dan peluang pendidikan yang tersedia bagi setiap golongan.
Namun, beliau akur pemerintah tidak dapat melakukan ini secara sendiri kerana rakyat Singapura yang telah mengecapi kejayaan sendiri digesa menyumbang kembali dalam cara masing-masing kerana “tiada sumbangan dianggap kecil”.
Antara contoh yang beliau tampilkan termasuk menerajui inisiatif dalam masyarakat, selaras dengan usaha nasional ComLink+ untuk meningkatkan taraf hidup keluarga berpendapatan rendah atau menjadi sukarelawan sebagai Duta Generasi Emas untuk mendampingi dan membantu warga emas.
“Inilah semangat gotong-royong yang saya harap kita semua dapat hayati.
“Dengan berbuat demikian, kita dapat membantu mereka yang memerlukan sokongan tambahan; menjadikan masyarakat kita lebih berdaya tahan dalam menghadapi perubahan dan meletakkan asas bagi perpaduan dan kemakmuran Singapura untuk generasi akan datang,” ujar Encik Lee.
Anugerah Jauhari BH 2026 dianjurkan oleh BH dengan sokongan Maybank Singapura selaku penaja utama.
Anugerah ini turut mendapat sokongan Persatuan Bank di Singapura (ABS) sebagai penaja bersama, manakala AMP Singapura dan Dana Amanah Tabung Amal Aidifitri (TAA) bertindak sebagai rakan masyarakat.