Para guru mungkin akan melihat perubahan pada beban kerja mereka, dengan lebih banyak masa boleh diperuntukkan untuk mengajar dan berinteraksi dengan murid.

Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee, berkata pada 16 September bahawa Kementerian Pendidikan (MOE) sedang meneroka langkah membenarkan guru memberi tumpuan kepada dua daripada tiga tanggungjawab utama luar bilik darjah.

Pada masa ini, ramai guru menyumbang dalam tiga bidang – tugas guru tingkatan, kegiatan kokurikulum (CCA) dan kerja jawatankuasa.

MOE akan mengkaji keberkesanan perubahan itu melalui enam sekolah rintis – Sekolah Rendah St. Anthony Canossian; Sekolah Rendah Woodgrove; Sekolah Rendah Zhangde; Sekolah Menengah Commonwealth; Sekolah Menengah Deyi; dan Sekolah Menengah Jurongville – sebelum mempertimbangkan pelaksanaan yang lebih luas.

Cadangan itu merupakan sebahagian daripada projek rintis yang lebih besar untuk memperkukuh perkembangan murid serta memberi guru lebih banyak masa dan ruang untuk mengajar, bermula dengan enam sekolah pada Januari 2027, kata Encik Lee.

“Namun, ramai guru memberitahu kami bahawa peralihan berterusan antara pelbagai tanggungjawab bukan sahaja memerlukan masa, malah turut menuntut tumpuan mental.

“Oleh itu, kami akan mengkaji kemungkinan membolehkan guru memberi tumpuan kepada dua daripada tiga bidang ini, dengan mengambil kira keperluan sekolah serta kekuatan dan minat setiap guru.

“Dengan mengurangkan keperluan untuk beralih antara pelbagai tanggungjawab, guru dapat menumpukan lebih banyak tenaga dan perhatian kepada amalan pengajaran yang lebih berkesan di bilik darjah serta interaksi yang lebih bermakna dengan murid,” kata Encik Lee semasa berucap di Seminar Pelan Kerja Sekolah (WPS), yang diadakan di Singapore Expo.

Dalam pada itu, bagi mempermudah kerja harian guru, MOE akan meluaskan penggunaan wadah dalam talian, Teacher Workspace, ke semua sekolah MOE menjelang 2027, setelah merintisnya di 20 sekolah.

Antaranya ialah Sekolah Rendah Lianhua, yang menggunakan Teacher Workspace sejak awal 2026.

Menurut pengetuanya, Cik Pamela Kiew, guru di sekolahnya hanya perlu menggunakan satu wadah, berbanding empat hingga enam wadah sebelum ini untuk memantau kemajuan murid secara nyata.

“Jika saya ingin melihat kehadiran pelajar, saya perlu pergi ke wadah tertentu, jika saya ingin melihat keputusan, saya perlu pergi ke tempat lain dan jika saya ingin tahu tentang latar belakang murid dari segi keadaan di rumah dan sebagainya, saya ke tempat lain, jadi terdapat terlalu banyak aplikasi berbeza.

“Dengan Teacher Workspace, apabila segala-galanya disatukan ke dalam satu ruang, ia lebih mudah bagi guru untuk mendapatkan maklumat.

“Kita boleh berbuat jauh lebih banyak untuk kanak-kanak tanpa membuatkan guru-guru mengalami keletihan melampau,” kata Cik Kiew.

Projek rintis mulai 2027 itu akan meneroka usaha mengubah suai ruang sekolah sedia ada bagi menyokong pelbagai kaedah pembelajaran, termasuk penggunaan perabot mudah dialih dan ruang untuk kegiatan seluruh kelas dan kumpulan kecil.

Sekolah Menengah Deyi, misalnya, akan melancarkan satu ruang fleksibel pada 2027 yang akan membolehkan beberapa kegiatan berbeza dijalankan secara serentak di dalam bilik darjah yang sama di bawah bimbingan guru.

Ia termasuk pembelajaran di meja dan kerusi seperti biasa, pembelajaran menggunakan ‘gogal’ realiti alam maya dan menggunakan papan putih pintar dalam ruang fleksibel itu bagi mata pelajaran kemanusiaan dan sains.