Menimba ilmu bukanlah suatu perlumbaan dan tiada satu laluan yang tetap untuk mengecap kejayaan.
Demikian dinyatakan oleh Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee, yang turut menambah bahawa sistem pendidikan Singapura sedang berkembang untuk mencerminkan perkara ini.
“Terokai kekuatan anda dan laluinya mengikut jalan anda sendiri,” kata Encik Lee dalam ucapan beliau semasa majlis penutup, Seminar Prauniversiti 2025, yang diadakan di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) pada 5 Jun.
Berucap kepada 552 pelajar, Encik Lee menggalakkan mereka supaya kembali ke asas apabila berhadapan dengan dunia yang sedang berubah, dibentuk oleh perkembangan kecerdasan buatan (AI) dan persekitaran luar yang tidak menentu akibat tarif perdagangan.
Salah satu cara untuk mengharungi dunia baru ini adalah dengan kembali kepada asas – menggunakan lima deria sebagai peta dan hati sebagai kompas moral, kata Encik Lee.
“Biarkan hati anda yang membimbing anda,” katanya.
“Menjalin hubungan dan sentiasa menjaga satu sama lain, termasuk mereka yang kurang bernasib baik.”
Beliau menggalakkan pelajar agar melihat dunia dengan pandangan segar, sentiasa bertanya, mempunyai rasa ingin tahu serta peka terhadap perkembangan sejagat.
“Ambil tindakan, beranilah mencuba perkara baru dan hadapi kegagalan.
“Dengarlah pendapat orang lain untuk membaiki idea anda dan nikmati perjalanan itu,” tambah Encik Lee.
Majlis penutup pada 5 Jun itu menandakan berakhirnya seminar selama empat hari yang dihadiri oleh pelajar dari 30 institusi prauniversiti.
Ia termasuk maktab rendah, politeknik dan sekolah khas.
Acara bertemakan ‘Re-imagination’ itu dianjurkan bersama Kementerian Pendidikan (MOE) dan Maktab Rendah Junior Tampines Meridian.
Pelajar diberi tugas menghasilkan penyelesaian inovatif bagi cabaran masa depan Singapura.
Mereka menyertai bengkel, perbincangan panel dan sesi pembelajaran dari Mac hingga Mei, termasuk program kediaman di asrama NTU dari 2 hingga 5 Jun.
Ia adalah edisi ke-56 seminar yang dijalankan setiap tahun.
Projek-projek pelajar, yang bertujuan menangani jurang dalam masyarakat seperti kebolehcapaian individu kurang upaya dalam sistem pengangkutan awam, dibentangkan kepada Encik Lee semasa majlis penutup.
“Apabila kita membayangkan semula Singapura di tengah-tengah ketidaktentuan, kita bukan bermula dari kosong,” kata beliau.
“Kita meneruskan pemikiran yang telah membawa kita dari tanah berlumpur ke bandar sejagat, walaupun masa depan tidak dijamin.
“Tugas kita sekarang adalah untuk menggunakan imaginasi dan keteguhan yang sama bagi menyelesaikan isu generasi kita dan seterusnya.”
Dua pelajar berkata perkara utama yang mereka pelajari daripada seminar itu adalah kepentingan keterangkuman dan perwakilan yang sama rata dalam masa depan Singapura.
Pelajar Maktab Rendah Nanyang (NYJC), Liew Yan Hon, 17 tahun, seiring dengan pandangan Encik Lee, mencipta satu projek mengenai peluang pekerjaan bagi golongan muda dengan kecacatan intelektual ringan.
Pengalamannya di Rainbow Centre dan Project Dignity mengukuhkan semangatnya untuk membantu golongan terpinggir.
Beliau berharap dapat meneroka kerja sukarela dan berkata bahawa beliau mahu masa depan Singapura yang terangkum, agar semua pihak dapat maju bersama.
Pelajar Sekolah Menengah River Valley, Cheng Yok Yong, 17 tahun, terkesan dengan analogi Encik Lee tentang dipandu lima deria dan hati dan berharap ia dapat membawanya menceburi kerjaya sebagai penggubal dasar.
Seminar itu mengajarnya bahawa sesuatu dasar itu perlu memberi kesan kepada rakyat dan baginya, persahabatan yang terjalin dalam seminar tersebut menjadi kenangan paling berharga.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg