Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Desmond: PAP perlu bawa mandat rakyat dengan rendah hati, tujuan

Komitmen PAP perkukuh kepercayaan rakyat hadapi cabaran masa depan
Nov 9, 2025 | 3:39 PM
desmond lee, pap
Menteri Pendidikan yang juga Pengerusi Parti Tindakan Rakyat (PAP), Encik Desmond Lee, berucap sewaktu majlis Anugerah dan Persidangan PAP 2025 di Singapore Expo pada 9 November. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Parti Tindakan Rakyat (PAP) perlu terus bekerjasama dengan warga Singapura untuk mengharungi perubahan dan ketidaktentuan, serta memperkukuh kepercayaan yang telah dibina selama beberapa generasi, kata Menteri Pendidikan yang juga Pengerusi PAP, Encik Desmond Lee, pada 9 November.

Usaha parti tersebut pada 2024 untuk menyuntik pembaharuan supaya dapat mendekati masyarakat dengan lebih luas, berhubung dengan lebih berkesan dan menyusun parti dengan lebih kukuh, bukanlah dibuat sekali sahaja.

Sebaliknya, ia menunjukkan komitmen jangka panjang untuk memperkukuh cara parti tersebut mendengar, berkhidmat dan berhubung dengan warga Singapura, tambahnya.

Berucap pada majlis Anugerah dan Persidangan PAP 2025, Encik Lee berkata warga Singapura telah memberikan kepercayaan dan keyakinan mereka semasa pilihan raya umum (GE) pada Mei lalu.

PAP telah meningkatkan peratusan undi nasionalnya daripada 61.24 peratus pada 2020 kepada 65.57 peratus dalam GE2025, menentang trend sebelum ini, ketika peratusan undi biasanya berkurangan selepas perdana menteri baru mengambil alih.

“(Rakyat Singapura) mahukan perpaduan, kemajuan dan kestabilan. Kepercayaan ini adalah sesuatu yang perlu kami hargai dan lindungi dengan penuh hati-hati.

“Setiap generasi menilai kami – bukan sahaja berdasarkan masa lalu atau janji yang kami buat – bahkan melalui cara kami bertindak, cara kami mendengar dan cara kami menjaga warga Singapura.

“Maka tanggungjawab kami jelas: untuk membawa mandat ini dengan rendah hati dan tujuan, serta memastikan Singapura kekal luar biasa dalam dunia yang semakin berpecah belah,” katanya.

Dunia kini sedang berubah pantas dengan ketegangan geopolitik yang semakin memuncak, ekonomi global yang semakin berpecah, serta perubahan iklim yang semakin teruk, ujar Encik Lee dalam ucapan awam pertamanya sebagai pengerusi PAP sejak beliau dilantik pada Mei.

Teknologi juga sedang membentuk semula cara orang hidup dan bekerja, manakala masyarakat sedang berubah dengan penduduk memiliki pelbagai aspirasi.

Ini lantas membentuk kehidupan rakyat Singapura dan boleh menguji perpaduan serta daya tahan negara, tambah beliau.

Encik Lee berkata tugas PAP sebagai sebuah parti dan pemerintah adalah jelas, berpandukan agenda Melakar Hala Tuju Singapura yang diterajui kepimpinan generasi keempatnya.

Ini termasuk memperkukuh kompak sosial negara bandar ini agar memberi lebih jaminan dan peluang lebih baik buat setiap rakyat Singapura sepanjang hayat, serta membina ekonomi dinamik yang kekal berdaya saing sambil menaikkan taraf setiap pekerja.

Beliau menambah PAP juga mesti memupuk masyarakat yang lebih prihatin dan bersatu, dengan kejayaan dikongsi bersama dan tiada seorang pun ketinggalan.

“Perjalanan di hadapan tidak akan mudah, namun kita boleh yakin bahawa hari-hari terbaik kita akan menanti, jika kita terus maju sebagai satu parti dan satu rakyat,” katanya.

“(Rakyat Singapura) mahukan perpaduan, kemajuan dan kestabilan. Kepercayaan ini adalah sesuatu yang perlu kami hargai dan lindungi dengan penuh hati-hati. Setiap generasi menilai kami – bukan sahaja berdasarkan masa lalu atau janji yang kami buat – bahkan melalui cara kami bertindak, cara kami mendengar dan cara kami menjaga warga Singapura. Maka tanggungjawab kami jelas: untuk membawa mandat ini dengan rendah hati dan tujuan, serta memastikan Singapura kekal luar biasa dalam dunia yang semakin berpecah belah.”
Menteri Pendidikan yang juga Pengerusi Parti Tindakan Rakyat (PAP), Encik Desmond Lee.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg