Kekuatan masyarakat yang sebenar-benarnya terletak dalam semangat ‘kita’ bukan ‘kami’, kata aktivis Parti Tindakan Rakyat (PAP), Encik Ahmad Firdaus Daud.
Ini bermakna masyarakat menerima kepelbagaian tanpa mengira latar belakang sesiapa, dan bukan mempunyai pemikiran yang membezakan diri sendiri dengan orang lain.
Ini mentelah lagi sedang masyarakat Melayu/Islam bergelut dengan kebimbangan takut disalah faham, disalahgambarkan, atau ditinggalkan, suatu yang bukan perkara baru.
Encik Firdaus, seorang peguam teknologi berusia 42 tahun, berkata demikian ketika berucap pada majlis Anugerah dan Persidangan PAP pada 9 November.
Beliau salah seorang daripada empat aktivis yang menyampaikan ucapan di majlis yang diadakan di Singapore Expo itu.
Tiga aktivis lain yang berucap ialah peguam, Encik Ramesh Selvaraj, 46 tahun; penolong pengarah NTUC Freelancer (inisiatif gerakan pekerja untuk mewakili pekerja bebas), Encik Andy Ang, 40 tahun; dan usahawan, Cik Ong Jing Jing, 43 tahun.
Dalam ucapannya lagi, Encik Firdaus, yang berkhidmat sebagai Naib Pengerusi cawangan PAP di Punggol North, berkata:
“Ada juga antara kita yang marah apabila mendengar pihak luar menggambarkan orang Islam sebagai masyarakat yang harus ditakuti atau dipandang dengan syak wasangka.
“Gambaran seperti itu tidak membentuk kisah masyarakat kita di Singapura.”
Bapa dua anak itu akur bahawa hakikatnya, masyarakat Melayu/Islam perlu berusaha lebih dalam masyarakat majmuk di Singapura.
Namun, beliau berkata ini bukan beban, sebaliknya amanah untuk menunjukkan bahawa masyarakat Melayu/Islam adalah masyarakat yang dihormati.
Merujuk kepada kejadian yang berlaku di Masjid Al-Istiqamah baru-baru ini, apabila sampul surat mengandungi seketul daging khinzir dan nota bertulis ‘halal BaBi chop’ dihantar ke masjid itu, Encik Firdaus meluahkan kebanggaan bahawa masyarakat Melayu/Islam bertindak balas dengan “penuh kesabaran, penuh kematangan”.
Seiring itu, Encik Firdaus akur semangat ‘kita’ bukan bererti perbezaan tidak dihiraukan.
Sebaliknya, masyarakat perlu saling menerima sepenuhnya, terutama perbezaan dalam identiti keagamaan.
Walaupun Singapura menegakkan nilai kesaksamaan tidak kira bangsa atau agama, Encik Firdaus menyatakan masyarakat sering kali elak berbincang tentang agama dalam ruang awam kerana tahu betapa sensitif topik itu.
Memberi contoh, beliau berkata awal minggu ini sahaja, masyarakat diingatkan tentang kejadian Islamofobia, anti-Yahudi, serta detik ketika ketegangan antara agama perlu ditangani dengan penuh berhati-hati.
“Kita tidak boleh membutakan diri terhadap bahaya ini apabila agama menjadi sebahagian daripada perbualan awam.
“Namun, kerana bahaya inilah, kita mesti mencari perpaduan yang lebih mendalam untuk memperkukuh kedudukan kita dalam tempoh tidak menentu ini.
“Apa yang harus kita tolak ialah mereka yang menggunakan identiti atau kepercayaan demi kepentingan politik, untuk mengapi-apikan perpecahan, untuk menguasai, atau menafikan kemanusiaan orang lain,” ujarnya.
Encik Firdaus berharap masyarakat mengatasi naluri berpihak kepada puak sendiri atau ‘tribal instinct’, dan sebaliknya menegakkan semangat kekitaan, sejajar dengan lagu kebangsaan Singapura yang dinyanyikan dengan lirik “Mari Kita” dan bukan “Mari Kami”.
“Saya harap masyarakat kita akan terus berpegang teguh kepada semangat ‘kita’ ini, demi memastikan kita terus berdikari, dihormati dan berjaya sebagai masyarakat yang maju,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg