Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Desmond: Persepsi terhadap kejayaan di sekolah perlu ubah

Tumpuan akan diberi pupuk kemahiran hidup dalam kalangan pelajar melangkaui markah peperiksaan
Sep 25, 2025 | 9:26 PM
pendidikan, Singapura, desmond lee, kemahiran hidup
Singapura harus berwaspada tentang ‘jurang peluang’ dalam sistem pendidikan antara keluarga berkemampuan dengan yang berpendapatan rendah. - Foto ST

Singapura harus berwaspada terhadap ‘jurang peluang’ dalam sistem pendidikan, kata Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee.

Memberi perincian, Encik Lee berkata ia berlaku apabila keluarga lebih berkemampuan boleh memberikan anak-anak mereka kelebihan untuk berjaya di sekolah, sementara kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah pula menghadapi kesulitan untuk bersaing dengan mereka.

Sekiranya jurang itu tidak segera dirapatkan, ia akan menjadi lebih besar dan lebih sukar untuk ditangani, ujarnya.

Beliau berkata keluarga yang lebih berkemampuan dapat menerapkan lebih banyak kegiatan berunsur intelektual kepada anak-anak mereka untuk meraih kelebihan di sekolah.

Ini berbanding keluarga berpendapatan rendah yang kurang mampu mendapatkan sumber sedemikian dan perlu menempuhi laluan lebih sukar, tambahnya.

Tanpa memberikan perincian lanjut, Encik Lee, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Integrasi Khidmat Sosial itu berkata:

“Kami akan mempertingkatkan sumber untuk sekolah dan memperdalam kerjasama dengan ibu bapa dan masyarakat bagi menyokong murid-murid daripada keluarga berpendapatan rendah dengan lebih baik.”

Encik Lee berkata demikian semasa bercakap dalam perbahasan Amanat Presiden di Parlimen pada 25 September.

Menurut beliau, pemerintah akan mengkaji kaedah atau langkah untuk mengelakkan kepentingan keterlaluan diletakkan pada satu-satu peperiksaan.

Menukil Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) sebagai contoh, Encik Lee berkata murid tidak seharusnya melihat peperiksaan sebagai penentu kehidupan mereka.

Sebaliknya, tumpuan perlu diberikan kepada aspek yang lebih penting dalam pengalaman kanak-kanak di sekolah seperti membangunkan kemahiran hidup, membina hubungan sesama manusia serta menerapkan perwatakan dan nilai yang baik.

“Dalam dunia pekerjaan, kita tahu gred pendidikan seseorang barangkali dapat membuka jalan bagi sesebuah pekerjaan, tetapi perwatakan anda sebagai seorang insan menentukan prestasi anda,” kata Encik Lee.

Murid-murid juga akan diberi peluang untuk berinteraksi dengan rakan sebaya daripada latar belakang berbeza sejak kecil, agar mereka dapat belajar bersama dan mengelakkan perpecahan berdasarkan bangsa dan agama, tambah beliau.

Encik Lee akur perubahan itu bukanlah mudah dicapai, tetapi ia perlu dilakukan sungguhpun ia memerlukan rombakan semula pendekatan Singapura terhadap peperiksaan, kurikulum, pembelajaran dan cara Singapura mengatur sistem pendidikannya.

Sehubungan itu, beliau berkata masyarakat di sini masih belum berganjak sepenuhnya daripada tanggapan bahawa pendidikan adalah satu perlumbaan berdaya saing.

Menurutnya, melengkapkan rakyat Singapura yang lebih muda dengan ilmu pengetahuan sahaja, tidak mencukupi dalam dunia kini yang pesat berubah.

Sebaliknya, adalah penting bagi kanak-kanak kekal tangkas dan berdaya tahan, berfikiran secara kritikal dan menyemai semangat belajar secara berterusan.

Ia di samping memperkasa rakyat Singapura dengan nilai empati dan dapat memimpin dengan baik.

Sungguhpun demikian, Encik Lee berkata Singapura telah membuat sedikit peralihan daripada konsep meritokrasi yang mengikat pencapaian dengan gred atau kelayakan ijazah.

Semakin ramai dalam kalangan masyarakat Singapura kini mengakui kejayaan sebenarnya wujud dalam pelbagai rupa dan jenis, katanya, sambil menambah proses itu tidak boleh berlaku dalam sekelip mata.

Sebaliknya, ia memerlukan usaha yang mengambil masa beberapa tahun, termasuk memberi ruang kepada pelajar belajar dan berkembang mengikut rentak mereka.

“Sedang kita menghadapi cabaran baru dan lebih rumit pada masa hadapan seperti kecerdasan buatan (AI) dan ketidaksamaan sosial, kita mesti mempertingkatkan usaha untuk membebaskan diri daripada konsep pendidikan sebagai ‘perlumbaan berdaya saing’ dan memberi peluang kepada pelajar mengembangkan bakat dan minat mereka, tanpa mengira titik permulaan mereka,” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg