Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sokongan akan dipertingkat bantu keluarga kurang mampu miliki rumah, raih pendidikan, pekerjaan

Desmond: Perbaharui cara tangani isu sosial rumit, ubah sistem pendidikan untuk persediaan S’pura hadapi cabaran masa depan
Sep 25, 2025 | 8:57 PM
Parlimen, Desmond Lee, Sokong keluarga kurang mampu miliki rumah, raih pendidikan, pekerjaan
Pemerintah akan menyediakan lebih banyak sokongan menyeluruh untuk mempertingkat kehidupan keluarga berpendapatan rendah. - Foto fail

Pemerintah akan menyediakan sokongan lebih menyeluruh untuk membantu keluarga berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri, mendidik anak-anak dan mendapatkan pekerjaan yang memenuhi keperluan mereka.

Ini sebahagian pendekatan yang diperbaharui untuk menangani isu sosial yang rumit dan mengubah keseluruhan sistem pendidikan, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Penyepaduan Perkhidmatan Sosial, Encik Desmond Lee.

Menurut beliau, program seperti ComLink+ antara contoh pendekatan baru ini, yang kian menjadi tonggak penting kompak sosial yang diperbaharui di bawah usaha Melakar Hala Tuju Singapura.

Dimulakan pada 2019, ComLink+ menyokong keluarga berpendapatan rendah yang mempunyai anak dan tinggal di flat sewa awam supaya mereka boleh menjadi lebih stabil, berdikari dan mempertingkat kehidupan masing-masing. Ia kini menyokong sekitar 10,000 keluarga sedemikian.

Encik Lee berkata ComLink+ yang dikendalikan oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), “kaedah unik Singapura” untuk membantu keluarga.

“Kami berhasrat untuk menyediakan bantuan sebegini kepada lebih ramai keluarga,” kata Encik Lee di Parlimen pada 25 September.

Merujuk kepada satu lagi program sokongan, KidSTART, Encik Lee berkata program sokongan tersebut dan ComLink+ mencerminkan bagaimana negara ini akan menangani isu-isu sosial sukar seperti ketidaksamaan dan stratifikasi, atau pengasingan dalam sosial mengikut kedudukan, pendidikan dan pemilikan harta.

Jika dibenarkan berlarutan, isu-isu sedemikian boleh memecah-belahkan masyarakat, kata Encik Lee lagi.

KidSTART, antara lain, menyokong keluarga berpendapatan rendah dalam penjagaan awal kanak-kanak termasuk dalam pendidikan dan memupuk hubungan kekeluargaan.

Menurut Encik Lee, pada tahun-tahun awal, pemerintah memberikan bantuan untuk memenuhi keperluan asas rakyat kerana tumpuan adalah pada pertumbuhan ekonomi dan kewujudan negara ini.

Namun keadaan telah berubah dan pemerintah, masyarakat, relawan dan rakan kongsi korporat tidak boleh bertindak sendiri, tetapi bekerjasama sebagai rakan kongsi rapat, ujar beliau lagi.

“Demi masa depan yang sedang kini dibina, kita harus sebagaimana yang dikatakan Perdana Menteri semalam, terus... memastikan peluang terbuka untuk semua,” kata Encik Lee, menyertai perbahasan mengenai Amanat Presiden di Parlimen pada 25 September.

Bercakap di Parlimen pada 24 September, Encik Wong telah menggesa supaya usaha dipertingkat untuk memperbaiki dan meningkatkan mobiliti sosial dan merealisasikan potensi penuh warga Singapura.

Memberi beberapa contoh, Encik Lee, yang juga Menteri Pendidikan, berkata ini termasuk sokongan kanak-kanak pada tahap pendidikan berbeza, selain menambah jumlah kanak-kanak yang menghadiri prasekolah dan memastikan persekitaran rumah yang sihat.

“Selain dasar dan program, kami juga sedang tumpukan bagaimana kami boleh lakukan inisiatif atau sokongan sosial dengan lebih baik.

“Ini amat penting dalam usaha kami membantu keluarga berpendapatan rendah menempuhi cabaran rumit dan (mereka) berusaha untuk keluar daripada situasi yang dihadapi.”

Sehubungan itu, Encik Lee berkata ada keperluan membangunkan struktur, dasar, prosedur operasi standard (SOP) dan sistem data yang baru bagi tujuan penyepaduan merentasi badan-badan pemerintah dan bukan pemerintah.

Namun, melebihi peningkatan struktur itu, pendekatan baru ini juga perlu dibina bersandar kepercayaan yang Encik Lee akur tidak mudah dan akan memakan masa untuk dibina.

“Apabila isu sosial menjadi semakin rumit dan saling terkait, semua pihak perlu terlibat sama. Tiada individu atau organisasi, termasuk pemerintah, mempunyai semua jalan penyelesaian.

“Dalam masyarakat ‘Kita Dahulu’, kita harus bersatu untuk mendukung setiap warga. Apabila kita membantu orang lain berkembang maju, kita menjadi lebih kuat,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Encik Lee juga berhujah mengenai peri penting mengubah sistem pendidikan supaya generasi akan datang boleh menghadapi cabaran di hari muka.

Menurut beliau, adalah kurang memadai untuk mempersiap rakyat Singapura lebih muda dengan pengetahuan semata-mata dalam dunia yang berubah.

Turut penting adalah warga Singapura yang boleh berfikir secara kritikal dan mendakap pembelajaran sepanjang hayat, selain menerapkan nilai-nilai murni seperti empati di jiwa mereka.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg