Bagi kebanyakan Anggota Perkhidmatan Negara Sepenuh Masa (NSF), tugasan harian mereka jarang sekali melibatkan kerja secara langsung di landasan pesawat.
Namun bagi NSF Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF), Sarjan Ketiga (3SG) Low Zhixiang Geoffrey, detasmennya selama enam bulan di Idaho, Amerika Syarikat, bersama Kru Landasan Pesawat F-15SG Detasmen Peace Carvin V, membawanya terus ke lapangan, menempuh suasana kerja yang jauh lebih mencabar.
Memeriksa pesawat pejuang sebelum dan selepas setiap penerbangan merupakan tugasnya di sana – satu tugas yang menuntut ketelitian dan tumpuan penuh.
Ia merupakan satu peluang yang jarang dinikmati seorang NSF dan sangat berbeza daripada pengalaman Perkhidmatan Negara (NS) di Singapura.
Hanya dua anggota dipilih bagi detasmen tersebut untuk memikul tanggungjawab di negara asing sambil berganding bahu dengan kontraktor Amerika (syarikat swasta yang menyediakan khidmat kepada pihak tentera) di lapangan.
“Apabila saya menerima mesej yang bertanya jika ada di antara kami yang mahu menjadi sukarelawan, saya terus merebut peluang itu.
“Berada di Amerika Syarikat selama enam bulan memang ‘cool’ dan bukan satu peluang yang ramai NSF terima,” kongsi beliau dengan media yang melawat Pangkalan Tentera Udara Mountain Home (MHAFB).
Pemuda yang berusia 21 tahun itu merupakan anak kedua empat beradik.
Beliau mempunyai dua abang dan seorang adik perempuan.
Kedua-dua abangnya pernah menjalani NS bersama Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), seorang sebagai penjaga stor dan seorang lagi sebagai pengawal.
“Daripada kami bertiga, saya rasa saya dapat detasmen paling ‘cool’,” selorohnya.
Bagi 3SG Geoffrey Low, detasmen tersebut adalah pengalaman pertamanya bertugas di luar negara.
“Sebelum saya datang sini, ramai senior berkongsi pengalaman mereka.
“Secara umumnya, ia positif. Pada hujung minggu, terdapat banyak kegiatan yang boleh saya buat di Amerika,” katanya.
Hujung minggunya diluang dengan kegiatan mendaki dan membeli-belah. Namun pada hari bekerja, ia tidak sesantai itu.
3SG Geoffrey Low kadangkala bekerja hingga 11 jam sehari.
“Kami merupakan satu unit penyelenggaraan hujung, jadi semua orang pulang pada masa yang sama. Ini bermakna kami perlu menunggu sehingga semua tugasan selesai.
“Namun bagi saya, ia bukan perkara yang negatif kerana ia mengeratkan hubungan dan membina ikatan dengan cabang lain,” jelasnya.
3SG Geoffrey Low bertanggungjawab memeriksa segalanya, daripada rekahan kecil, lampu yang rosak, suis yang tidak berfungsi hinggalah kain buruk yang tertinggal yang boleh menjadi objek asing berbahaya apabila ditiup angin.
“Keadaan angin di sini jauh lebih kuat. Jadi kain buruk, misalnya, mesti diletakkan bawah benda berat sebab ia boleh menjadi kerosakan objek asing (FOD),” jelasnya, merujuk kepada kerosakan yang boleh membawa risiko serius bagi pesawat.
Meskipun tugasannya agak mencabar, pengalaman itu tetap manis buat 3SG Geoffrey Low yang berpeluang rasai semangat setiakawan bersama rakan sekerja dari Amerika.
“Kami bekerja dengan orang Amerika lebih banyak daripada yang saya sangkakan. Mereka memang lebih peramah, jadi suasana kerja lebih ceria,” katanya sambil tersenyum.
Bergandingan di landasan, kontraktor sering bertindak sebagai pembantu, menjadi pengawal kebakaran semasa enjin dihidupkan atau membantu dalam pemeriksaan.
Apabila detasmen enam bulannya tamat pada Januari 2026 kelak, 3SG Geoffrey Low akan kembali ke Singapura untuk menyelesaikan baki perkhidmatannya sebelum melanjutkan pelajaran ke universiti.
Beliau berhasrat menceburi bidang kejuruteraan mekanikal dan seterusnya menyumbang dalam tenaga mampan.
Dengan bekalan ilmu dan pengalaman daripada detasmen tersebut, beliau berkata:
“Mula-mula memang susah, tapi saya rasa ia menjadikan saya lebih berdikari dan matang sejak berada di sini.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg