Dewan hargai AP Muslim kekal bersemangat jalankan tugas meski puasa
Dewan hargai AP Muslim kekal bersemangat jalankan tugas meski puasa
Speaker Parlimen, Encik Seah Kian Peng, memuji dedikasi Anggota Parlimen (AP) Islam yang bersemangat menjalankan tugas meskipun dalam keadaan berpuasa. Pujian itu disampaikan dalam ucapan penutup perbahasan Belanjawan dan Jawatankuasa Perbekalan (COS) pada 6 Mac.
Encik Seah menyatakan bahawa inilah kali pertama keseluruhan perbahasan Belanjawan dan COS berlangsung sepanjang bulan Ramadan.
“Saya berterima kasih kepada rakan-rakan Muslim kami yang terpaksa bekerja keras sepanjang tempoh ini di mana setiap hari berakhir jauh selepas waktu berbuka puasa,” katanya, disambut tepukan daripada Dewan.
Beliau turut memberi contoh bagaimana Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, yang hanya sempat meneguk air untuk membatalkan puasanya sebelum meneruskan tugas.
“Malam semalam (5 Mac), Menteri Masagos ketika berbuka puasa, meneguk air dan segera menyampaikan ucapannya. Kami menghormati semua rakan sekerja Muslim kami atas komitmen mereka terhadap tugas awam mereka,” ujar Encik Seah.

