Speaker puji perpaduan Dewan, perbahasan idea demi kepentingan rakyat
Speaker puji perpaduan Dewan, perbahasan idea demi kepentingan rakyat
Parlimen berfungsi cemerlang apabila Anggota Parlimen (AP) membawa hujah bernas, didorong niat baik, serta berkongsi pelbagai pengalaman dan latar belakang mereka untuk berunding dan berbahas.
Mereka juga perlu kekal terbuka, mendengar tanpa prasangka, dan berusaha mengemukakan penyelesaian demi rakyat Singapura.
Demikian ingatan Speaker Parlimen, Encik Seah Kian Peng, dalam ucapan penutup perbahasan Belanjawan dan Jawatankuasa Perbekalan (COS) pada 6 Mac.
Encik Seah menambah, sepanjang perbahasan dua minggu itu, AP daripada kedua-dua belah pihak telah menunjukkan bahawa perbezaan pendapat mereka bukan sekadar bersifat kepartian, tetapi lebih tertumpu pada pertukaran idea.
“Maksud sebenar perdebatan bukanlah bila kita bersetuju, tetapi bagaimana dan mengapa kita tidak bersetuju.
“Ini bukan sekadar ketidaksetujuan antara parti, tetapi ketidaksetujuan tentang idea, yang telah kita lihat dalam parti yang sama, serta merentasi barisan parti.
“Ini bagi saya, ialah tanda kepentingan dan kesahihan persetujuan yang telah dicapai oleh Dewan, dan undang-undang yang dibuat, serta kepercayaan yang wujud antara satu sama lain,” ujar Encik Seah.
Beliau menambah, dalam dunia yang semakin bergolak hari ini, Singapura mesti bersiap siaga menghadapi ketidaktentuan dan ketidakpastian.
“Akan ada lebih banyak perdebatan, lebih banyak rang undang-undang untuk diluluskan dan lebih banyak cabaran di hadapan.
“Sebagai anggota Parlimen ke-15 ini, walau apa pun ribut yang melanda di laut atau di langit, marilah kita terus menumpukan perhatian kepada warga Singapura.
“Kita mesti memastikan dunia tidak ragu-ragu tentang komitmen kita untuk melakukan yang terbaik bagi Singapura.
“Hanya dengan itu, kita dapat menjamin masa depan kita bersama dalam dunia yang telah berubah,” katanya.
Beliau turut memuji perpaduan yang ditunjukkan di Parlimen.
“Terdapat sokongan sebulat suara daripada kedua-dua belah Dewan bagi Belanjawan 2026.
“Di kebanyakan negara, perkara ini jarang berlaku.
“Perpaduan kita meletakkan kita di tempat yang baik untuk menghadapi masa depan yang sangat mencabar,” katanya.
Dalam ucapannya juga, Encik Seah mendedahkan bahawa jumlah waktu perbahasan Belanjawan dan COS kali ini adalah 12 peratus lebih panjang, berbanding pada 2025.
Beliau mengingatkan bahawa sepanjang perbahasan COS, AP hanya mempunyai satu hari sahaja waktu rehat rasmi.
Pada hari-hari lain, perbahasan berterusan tanpa henti dari 10 pagi sehingga sekitar 8 malam.
“Saya melakukan ini kerana saya mahu seramai mungkin AP mendapatkan penjelasan mereka sebelum masa guillotine (masa pada mana perbahasan COS sesebuah kementerian mesti ditamatkan),” jelasnya.

