Di sebalik hiruk-pikuk pengunjung bazar yang berpusu-pusu membeli juadah berbuka puasa atau keperluan Hari Raya, tersorok sepasukan individu yang jarang sekali mendapat perhatian.
Mereka bukan peniaga yang mencari rezeki dalam Ramadan atau pelanggan yang tidak sabar mencuba makanan baru.
Sebaliknya, mereka adalah Anggota Kerahan Perkhidmatan Negara Polis (PNSmen) yang bertanggungjawab memastikan keselamatan dan ketenteraman di Bazar Ramadan Geylang Serai.
Istilah PNSmen merujuk kepada pegawai polis yang sudah menamatkan dua tahun Perkhidmatan Negara (NS) tetapi masih menjalani ‘reservist’ atau kerahan.
Pada 2025 menandakan ulang tahun ke-25 pengerahan PNSmen di bazar ikonik itu, satu operasi tahunan sejak 2001.
Ia telah berkembang daripada sekadar kawalan fizikal kepada pendekatan lebih strategik yang menggabungkan teknologi dan perancangan rapi.
Antara pegawai polis yang lama terlibat dalam pengerahan itu adalah Timbalan Superintenden (DSP) (NS) Abidin Asmadi, mantan perancang utama dan pegawai yang bertanggungjawab ke atas keseluruhan operasi PNSmen Bazar Ramadan Geylang Serai.
Dalam satu wawancara bersama Berita Harian (BH), DSP (NS) Abidin, 38 tahun, berkata beliau sering mengunjungi bazar itu sebagai seorang kanak-kanak.
“Sekarang, saya seorang bapa dua orang anak perempuan kecil. Adalah tanggungjawab saya sebagai seorang pegawai polis, sebagai penduduk Melayu/Islam, dan sebagai seorang bapa, untuk memastikan semua orang selamat ketika di bazar,” ujarnya.
DSP (NS) Abidin kali pertama terlibat dalam penugasan itu pada 2010 sebagai Ketua Pasukan dan kemudian dilantik menjadi Pegawai Memerintah operasi itu.
Walaupun sudah menamatkan tempoh kerahan, beliau memutuskan untuk melanjutkan perkhidmatannya di sana, dan kini menjadi mentor kepada pegawai baru.
Menurutnya, kawasan operasi bazar telah berubah sepanjang bertahun-tahun ini disebabkan penambahbaikan Geylang Serai.
“Saya sudah melihat banyak perubahan di kawasan ini, banyak bangunan sudah tiada lagi… Dahulu terdapat hotel berdekatan sini, tetapi ia kini digantikan dengan pusat beli-belah Kinex.
“Justeru, ia penting untuk kami meronda dan membiasakan diri dengan susun atur baru supaya kami boleh bertindak balas dengan cepat (susulan kejadian) dan memastikan keselamatan awam dengan lebih berkesan,” jelasnya.
Selain perubahan pada landskap fizikal kawasan itu, cara PNSmen melaksanakan tugas di bazar juga berkembang seiring dengan kemajuan teknologi.
Selain rondaan fizikal, operasi keselamatan ditambah baik oleh sistem pemantauan berteknologi, termasuk kamera litar tertutup (CCTV), sensor untuk menganggar berapa orang yang ada di bazar, serta kamera kecil dipasang di pakaian seragam pegawai.
“Teknologi telah bantu kami jadi lebih cekap dari segi produktiviti.
“Pada 2023, terdapat kes kehilangan orang berkeperluan khas. Pegawai kami memantau rakaman CCTV dan berjaya mengesan orang itu.
“Pegawai rondaan dengan segera mencari orang itu sementara pegawai di pusat pengarahan terus memantau kamera,” kongsi DSP (NS) Abidin.
Meskipun berniat untuk mengundurkan diri daripada pasukan PNSmen Bazar Ramadan Geylang Serai, beliau kekal meneruskan perkhidmatannya atas sokongan isteri dan keakraban yang sudah lama dijalin antara rakan sepasukannya.
Berkongsi tentang kenangan yang beliau tidak dapat lupakan, DSP (NS) Abidin berkata:
“Ayah saya meninggal dunia semasa saya bertugas pada 2010. Walaupun saya pegawai baru, rakan sepasukan saya melawat keluarga saya di rumah dan di kubur arwah ayah…
“Ini menyedarkan saya bahawa walaupun saya kehilangan seorang ayah, saya dapat ‘keluarga’ baru.
“Persahabatan itu kekal sehingga hari ini, daripada saya bujang, berkahwin dan kini mempunyai anak. Pegawai-pegawai ini kekal bersama saya selama bertahun-tahun untuk penugasan di bazar.”
Kini, selepas sekitar 15 tahun bertugas di bazar, DSP (NS) Abidin semakin bersedia untuk menyerahkan baton kepada penggantinya, DSP (NS) Mohamed Haiqal Mohamed Suhaimi, perancang utama dan komander darat bagi penugasan PNSmen bagi 2025.
Menurut DSP (NS) Haiqal, 33 tahun, pasukannya mula meronda bazar seawal 5 petang dan mengambil tahu tentang gerai makanan yang mengadakan promosi atau makanan baru kerana mereka lebih cenderung menarik lebih ramai pelanggan.
Tambahnya, sebahagian daripada perancangan operasi tertumpu kepada memahami demografi pengunjung dan jenis gerai yang mungkin didirikan di bazar.
“Sebagai contoh, kami akan buat kajian mengenai pesta selebriti di Singapore Expo, kerana kami boleh jangkakan jenis makanan yang akan dibawa masuk ke bazar, dan jenis pelanggan yang akan beli makanan itu.
“Trend makanan bazar telah beralih daripada makanan tradisional kepada makanan fusion, bermakna pengunjung lebih kepada generasi muda. Jadi, kami perlu menyesuaikan diri untuk mendekati mereka,” jelas DSP (NS) Haiqal.
Antara pegawai yang meronda bazar ialah
SGT(3) Jan Jacob Chiong Wen Jie, yang baru tiga tahun menyertai pasukan itu.
Sekitar 130 pegawai dibahagikan kepada kumpulan kecil bagi meronda kawasan yang ditetapkan di bazar untuk mengesan dan menghalang jenayah, katanya.
“Kami sedar ia kini musim perayaan, dan kami mahu dilihat sebagai mudah didekati, sambil mengekalkan tahap kesedaran yang tinggi supaya boleh bertindak balas dengan segera sekiranya berlaku apa-apa.
Menurutnya, antara kes yang terjadi di bazar termasuk telefon dan dompet yang sesekali hilang, atau pertengkaran yang kadangkala boleh bertambah buruk jika polis tidak meredakan ketegangan.
“Selain itu, bazar biasanya merupakan tempat yang menyeronokkan dan meriah di mana orang ramai pergi untuk membeli-belah dan menjamu selera trend makanan terkini.
“Saya bangga yang usaha kami membantu mengekalkan suasana meriah ini, dan kami adalah sebahagian daripada sebab perayaan di sini dapat berjalan dengan lancar,” kata SGT(3) Jan Jacob.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg