Bahang suasana Lebaran kembali lagi apabila hiasan lampu Hari Raya sepanjang 2.6 kilometer dinyalakan bagi mewarnai seluruh kejiranan Geylang Serai pada 25 Februari.
Penyalaan lampu Hari Raya itu dirasmikan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, dalam kemeriahan di ambang Ramadan.
Selama 45 hari, dari 25 Februari hingga 10 April, jalan raya sepanjang Changi Road, Geylang Road dan Sims Avenue akan bermandikan cahaya berkerdipan setiap malam, menerusi hiasan lampu dengan lambang tradisional seperti kompang, tanjak, sanggul emas, ketupat, rumah kampung dan bulan sabit.
Berucap pada majlis pelancaran di Wisma Geylang Serai (WGS), Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, Encik Mohd Fahmi Aliman, berkata penyalaan lampu hiasan 2025 adalah sebahagian daripada kempen Ramadan dan Hari Raya yang lebih luas.
“Pada tahun ini, reka bentuk hiasan menggabungkan juadah Raya seperti kuih berbentuk bunga, yang melambangkan perpaduan, keharmonian dan semangat bersatu, di samping menyelitkan unsur tradisi seperti ketupat, rumah kampung dan bulan sabit.
“Saya harap masyarakat kita dapat menghargai usaha daripada pemimpin akar umbi yang telah bertungkus lumus bekerjasama untuk menyajikan yang terbaik untuk semua.
“Dengan menitikberatkan unsur-unsur kemelayuan yang terpateri dalam reka bentuk dan dipaparkan pada hiasan lampu kali ini,” kata Encik Fahmi.
Bertemakan #RayaBersama, Encik Fahmi berkata kempen tersebut diadakan bagi meraikan semangat perpaduan dan menghubungkan tradisi budaya dengan identiti nasional, yang merangkumi semangat Singapura untuk maju bersama dan meraikan sebagai satu masyarakat.
Acara tersebut turut dihadiri Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad; Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman; dan Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Lebih 1,000 pengunjung membanjiri kawasan Persada Budaya WGS bagi menyaksikan pelancaran penuh gemilang itu, yang turut dilengkapi dengan kehadiran kesemua Anggota Parlimen (AP) GRC Marine Parade serta beberapa AP dan penasihat akar umbi Melayu/Islam.
Dalam pada itu, Bazar Raya Geylang Serai yang menawarkan sekitar 500 gerai pula akan beroperasi selama 33 hari, dari 26 Februari hingga 30 Mac.
Ia akan dibuka setiap hari, dari 10 pagi hingga 11.59 malam, dan akan dilanjutkan hingga 6 pagi pada 31 Mac bagi memberikan lebih banyak masa untuk pengunjung membuat persiapan terakhir menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Menurut WGS, antara keunikan bazar tahun ini termasuk pentas “360 darjah” yang menawarkan pengalaman dan persembahan “lebih mengasyikkan”.
Bazar tersebut turut menyediakan empat zon makanan dan minuman (F&B), yang akan membantu menguruskan aliran pengunjung dengan lebih berkesan sambil memberi mereka peluang untuk meneroka kawasan lain.
Dr Faishal, yang juga Penasihat Utama WGS, berkata Bazar Raya Geylang Serai bukan sahaja menyediakan suasana menjamu selera yang unik, malah ia juga merupakan wadah di mana tradisi Ramadan bertembung dengan persiapan Raya kontemporari.
“Ia merupakan hab yang meriah di mana persahabatan, baik lama mahupun baru, berkembang di tengah-tengah latar belakang pemberian (bingkisan) yang murah hati, hidangan bersama dan perbualan yang ikhlas.
“Dari pemberian yang melimpah-ruah kepada mengadakan jamuan bersama, #RayaBersama merangkumi komitmen kita untuk meraikan sebagai satu masyarakat,” kata Dr Faishal.
Semasa acara tersebut, Encik Wong turut meletakkan lukisan pertama di Mural Masyarakat SG60, yang dihasilkan pelukis tempatan, Salihin Jaafar, 35 tahun, yang lebih dikenali sebagai Fish Jaafar.
Reka bentuk mural itu menampilkan motif bunga yang diilhamkan daripada batik, berlatarbelakangkan pemandangan kampung dan padang serai, serta aktiviti kebudayaan Melayu seperti silat, tarian, dikir barat dan muzik.
Reka bentuk itu juga menggambarkan evolusi Geylang Serai selama 60 tahun yang lalu dengan unsur sejarah seperti blok lama Geylang Serai, Tanjong Katong Complex, Joo Chiat Complex dan Gerbang Ikonik.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg