Seramai 30 peserta daripada pelbagai organisasi hadir untuk Dialog Masyarakat Berita Harian (BH) pada 31 Julai di bangunan SPH Media di Toa Payoh North.
Dialog tersebut turut dibarisi anggota panel terdiri daripada Menteri di Pejabat Perdana Menteri yang juga Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman; Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam; dan, Anggota Parlimen (AP) GRC Ang Mo Kio, Cik Nadia Samdin.
Koresponden BH, Cik Siti Aisyah Nordin, mengendalikan perbincangan dialog tersebut sebagai moderator.
Dialog berlangsung dari 6 petang hingga 9 malam itu merupakan antara siri dialog anjuran BH bagi memberi peluang kepada para peserta untuk berkongsi pandangan, idea dan maklum balas berkenaan dasar-dasar tertentu pemerintah.
Ia juga peluang bagi anggota panel mendengar dan menerangkan dasar-dasar serta pendekatan yang telah diambil bagi isu-isu yang diutarakan.
Sebelum sesi dialog bersama kedua-dua menteri dan AP, para peserta telah melibatkan diri dalam perbincangan kumpulan fokus yang mengetengahkan isu berkenaan aktivisme, kesedaran sivik serta cara memupuk bakat belia demi masa depan bersama.
Mereka turut diberi peluang untuk berkongsi rumusan perbincangan dan saranan mereka kepada para anggota panel.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg