“Isu Gaza begitu sensitif. Mengapa perlu adakan dialog terbuka sebegini?”
Demikian reaksi awal ramai individu apabila menerima undangan ke sesi dialog kami.
Semasa menyediakan liputan khas multimedia, Gaza Dari Lensa Kita, timbul kesedaran bahawa cabaran terbesar bukanlah dalam menghasilkan liputan tersebut – tetapi usaha mendapatkan peserta yang sanggup menyertai dialog tersebut.
Dialog anjuran bersama Lianhe Zaobao dan Berita Harian ini menyaksikan hampir separuh daripada peserta yang dihubungi menolak undangan tersebut.
Ada yang cukup prihatin terhadap isu Gaza dan berpendapat ia wajar dibincangkan secara lebih meluas di Singapura, namun mereka tetap keberatan untuk menyuarakan pandangan secara terbuka di platform media.
Keraguan itu menyerlahkan betapa sukarnya membincangkan isu-isu sensitif dalam masyarakat majmuk dan berbilang agama.
Ia menimbulkan persoalan penting: Apakah wujud ruang yang benar-benar selamat untuk perbincangan sebegini – ruang bebas tanpa kekangan dan mengurangkan risiko salah faham dalam membincangkan isu Gaza?
Mengapa pula perbincangan sebegini perlu diadakan di Singapura?
Persoalan-persoalan berikut ditanya ramai peserta yang diundang, dan ia juga persoalan yang diambil kira dengan teliti oleh pasukan kami pada setiap peringkat – daripada perancangan awal, pelaksanaan, hinggalah ke hasil akhir.
Dialog ini sebenarnya bukan semata-mata mengenai keadaan di Gaza; ia menjadi cerminan kepada realiti masyarakat kita yang berbilang kaum dan agama.
Lebih daripada sekadar menyediakan wadah untuk pelbagai suara yang kedengaran merentas latar belakang, pasukan yang menerbitkan projek ini juga ingin menyentuh persoalan lebih mendalam – dalam sebuah masyarakat yang matang dan pelbagai seperti kita, mengapa masih wujud topik yang sukar dibincangkan secara terbuka?
Jika kita terus mengelak daripada perbincangan sebegini, mampukah kita benar-benar memahami perspektif dan keprihatinan satu sama lain?
Selepas usaha gigih pasukan kami, akhirnya sekumpulan enam individu dan pakar akademik dengan pelbagai latar belakang menerima undangan ke studio.
Bagi kebanyakan mereka, inilah kali pertama mereka bertemu, dan suasana pada mulanya agak janggal apabila perbincangan mengenai Gaza dimulakan di hadapan kamera.
Apabila ditanya sama ada orang Islam lebih prihatin terhadap isu tersebut, seorang peserta, pengasas syarikat kewangan Providend, Encik Christopher Tan, 55 tahun, menyampaikan pandangannya dengan perlahan dan berhati-hati, seolah-olah mahu mengelak daripada sebarang kesilapan.
Ketika beliau masih menjawab, peserta di sebelahnya, Profesor Madya (Sains Politik) dari Sekolah Sains Kemasyarakatan NTU, Dr Walid Jumblatt Abdullah, berkerut dahi, seolah merenungkan apa yang dikatakan.
Akhirnya beliau memberikan respons, meminta penjelasan lanjut sambil mengemukakan pandangan berbeza.
Detik awal perbezaan pandangan itu ternyata menjadi titik perubahan dialog.
Suasana menjadi tegang, namun pertukaran pandangan secara jujur itu memecahkan kejanggalan, meleraikan ketegangan dan membuka ruang kepada dialog yang lebih terbuka.
Peserta mula berasa lebih selesa, berinteraksi secara semula jadi tanpa banyak bimbingan daripada moderator, malah saling bertanya dan menjawab antara satu sama lain.
Apabila ada yang bersetuju dengan pandangan yang lain, ada yang secara spontan menepuk lengan rakan di sebelah, seperti teman lama.
Perbualan itu menjadi peringatan bermakna: Sering kali, perbincangan yang paling tidak selesa itulah yang paling penting untuk membina kepercayaan dan persahabatan.
Dalam sebuah masyarakat berbilang kaum dan agama yang harmoni, kita bukan sahaja perlu mencari titik persamaan, malah harus berani mendengar dan mengakui perbezaan.
Dialog yang terbuka dan jujur adalah langkah pertama.
Hanya dengan benar-benar memahami dan menghormati perspektif masing-masing, kita dapat membina masyarakat yang lebih utuh, padu dan berdaya tahan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg