Perbicaraan ketua pembangkang dan Ketua Parti Pekerja (WP), Encik Pritam Singh dijadualkan pada Oktober dan November, menurut rekod mahkamah pada 31 Mei.
Encik Pritam, 47 tahun, pada 19 Mac didakwa atas dua pertuduhan berbohong kepada jawatankuasa Parlimen yang bersidang pada November 2021, untuk meneliti kontroversi pembohongan yang melibatkan bekas Anggota Parlimen partinya, Cik Raeesah Khan.
Jawatankuasa itu memanggil Encik Pritam sebagai saksi, dan kemudian berkata beliau tidak jujur dalam keterangannya.
Perbicaraan kes Encik Pritam ditetapkan untuk bermula pada 14 Oktober dan akan berlangsung selama 16 hari hingga 13 November.
Perbicaraan akan diketuai oleh Timbalan Ketua Hakim Daerah Luke Tan.
The Straits Times telah menghubungi peguam Encik Pritam, Encik Andre Jumabhoy, untuk maklumat lanjut.
Pada 1 November 2021, Cik Raeesah mengaku berbohong di Parlimen pada sidang terdahulu, mengenai butiran kes serangan seksual yang didakwanya disalah urus polis.
Cik Raeesah meletak jawatan pada 30 November 2021.
Jawatankuasa Parlimen mengesyorkan untuk merujuk Encik Pritam dan naib pengerusi WP, Encik Faisal Manap kepada pendakwa raya, untuk siasatan lanjut dengan tujuan untuk mempertimbangkan prosiding jenayah, yang kemudiannya disahkan oleh Parlimen.
Encik Pritam didakwa memberikan jawapan palsu kepada soalan jawatankuasa pada 10 dan 15 Disember 2021.
Pada satu ketika, beliau didakwa berkata bahawa selepas pertemuan pada 8 Ogos 2021, antara beliau, Cik Raeesah dan pemimpin WP, Cik Sylvia Lim dan Encik Faisal, Encik Pritam mahu Cik Raeesah menjelaskan di Parlimen bahawa apa yang beliau katakan pada 3 Ogos, tentang menemani mangsa rogol di balai polis, adalah tidak benar.
Dalam dua kesempatan lain, Encik Pritam didakwa berkata semasa pertemuan dengan Cik Raeesah pada 3 Oktober 2021, beliau telah meminta Cik Raeesah supaya berterus terang tentang keadaannya, jika isu itu dibangkitkan di Dewan pada 4 Oktober.
Dalam satu kenyataan bersama pada 19 Mac, Pejabat Peguam Negara (AGC) dan polis berkata pihak pendakwaan memutuskan untuk tidak mendakwa Encik Faisal atas keengganannya menjawab soalan berkaitan yang telah dikemukakan kepadanya oleh jawatankuasa itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg