Perbicaraan Ketua Pembangkang Pritam Singh akan bermula di Mahkamah Negara pada 14 Oktober.
Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP) itu dijangka mempertikai dua tuduhan berhubung dakwaan berbohong kepada sebuah jawatankuasa Parlimen yang bersidang pada November 2021 untuk meneliti kontroversi pembohongan melibatkan bekas ahli parlimen partinya, Cik Raeesah Khan.
Jawatankuasa itu mendapati Cik Raeesah menyalahguna hak istimewa parlimen dan mengusulkan agar mantan Anggota Parlimen GRC Sengkang itu didenda $35,000.
Jawatankuasa itu turut mengusulkan untuk merujuk Pritam dan naib pengerusi WP, Encik Faisal Manap kepada pihak pendakwa raya dengan kemungkinan dikenakan tuduhan jenayah.
Menurut jawatankuasa itu, ini kerana Pritam tidak jujur semasa memberi keterangannya selepas mengangkat sumpah, manakala Encik Faisal pula enggan menjawab soalan yang relevan yang diajukan kepadanya.
Encik Faisal pula tidak menghadapi sebarang tuduhan namun diberi nasihat oleh polis untuk membiasakan dirinya dengan kelakuan yang dijangkakan daripada Anggota Parlimen.
Ini merupakan kali pertama individu didakwa di bawah Seksyen 31(q) Akta Parlimen (Hak Istimewa, Kekebalan dan Kuasa), atau PPIPA, sejak kemerdekaan negara ini.
Di bawah undang-undang itu, adalah menjadi satu kesalahan untuk berbohong semasa menjawab soalan yang dikemukakan oleh Parlimen atau jawatankuasanya.
Jika sabit kesalahan, Pritam boleh dikenakan denda hingga $7,000 atau dipenjara hingga tiga tahun, atau kedua-duanya.
Pada Disember 2021, Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen (COP) bersidang berhubung dakwaan Cik Raeesah pada 3 Ogos 2021 bahawa beliau telah menemani seorang mangsa serangan seksual ke balai polis, di mana mangsa diperlakukan secara tidak sensitif.
Beliau mengulangi dakwaan itu di Parlimen pada 4 Oktober 2021.
Ini kemudian didapati tidak benar, dengan Cik Raeesah mengaku beliau berbohong kepada Parlimen dan mengundur diri daripada WP dan sebagai Anggota Parlimen pada November 2021.
Beliau kemudian berkata dirinya sendiri yang telah mengalami serangan seksual dan mendengar tentang pengalaman mangsa itu semasa satu sesi kumpulan sokongan yang dihadirinya
Pritam didakwa berbohong kepada jawatankuasa Parlimen itu bahawa selepas satu pertemuan melibatkan dirinya, Cik Raeesah dan dua pemimpin WP yang lain - Cik Sylvia Lim dan Encik Faisal - dia mahu Cik Raeesah memperjelas di Parlimen kenyataan tidak benar yang dinyatakannya pada 3 Ogos 2021.
Ketua WP itu juga didakwa memberi keterangan palsu bahawa semasa bertemu dengan Cik Raeesah pada 3 Oktober 2021, dia telah memintanya untuk memberitahu perkara yang sebenar sekiranya isu itu ditimbulkan di Parlimen pada 4 Oktober 2021.
Jurucakap Pejabat Peguam Negara (AGC) sebelum ini berkata mereka akan mengusulkan denda bagi setiap tuduhan yang dihadapi Pritam jika dia didapati bersalah.
Menurutnya, ini adalah berdasarkan bukti yang ada dan selepas mengambil kira keadaan ini secara keseluruhan.
Menurut Perlembagaan Negara, Anggota Parlimen yang sedang berkhidmat akan kehilangan kerusinya jika beliau dipenjara selama sekurang-kurangnya setahun atau didenda sekurang-kurangnya $10,000.
Perbicaraan kes Pritam ditetapkan untuk berlangsung selama 16 hari hingga 13 November.
Pritam diwakili peguam Encik Andre Jumabhoy dan Encik Aristotle Emmanuel Eng Zhen Yang.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg