Ketua Pembangkang dan Ketua Parti Pekerja (WP), Encik Pritam Singh, telah gagal dalam percubaannya untuk membawa perbicaraan kesnya ke Mahkamah Tinggi, selepas beliau cuba membandingkan kesnya dengan mantan Menteri Pengangkutan S. Iswaran.
Pada 9 September, Hakim Hoo Sheau Peng menolak permohonan Encik Pritam agar kesnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi, dengan mengatakan bahawa Encik Pritam gagal membuktikan bahawa pemindahan kesnya adalah wajar untuk tujuan keadilan.
Encik Pritam, 48 tahun, hadapi dua pertuduhan berbohong kepada Jawatankuasa Parlimen yang bersidang pada November 2021 untuk meneliti kontroversi pembohongan yang melibatkan bekas ahli parlimen partinya Raeesah Khan.
Perbicaraan 16 hari di Mahkamah Negara itu dijadualkan berlangsung antara 14 Oktober dengan 13 November.
Perbicaraan itu dijadualkan dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Hakim Daerah Luke Tan.
Pada 26 Ogos, peguam Encik Pritam, Encik Andre Jumabhoy, berhujah di hadapan Hakim Hoo bahawa adalah “wajar untuk tujuan keadilan” kes anak guamnya didengar oleh Hakim Mahkamah Tinggi, lapor The Straits Times.
Encik Jumabhoy memetik kes Iswaran, yang perbicaraannya dipindahkan untuk didengar di Mahkamah Tinggi selepas pihak pendakwaan memohon untuk berbuat demikian atas alasan kepentingan awam.
Dalam responsnya, Timbalan Peguam Negara Ang Cheng Hock berkata tidak ada perbandingan antara kedua-dua kes, yang melibatkan fakta dan kesalahan berbeza.
Beliau berkata satu-satunya isu dalam kes Encik Pritam ialah sama ada pihak pendakwaan boleh membuktikan tanpa keraguan munasabah bahawa beliau telah berbohong semasa memberi jawapan kepada jawatankuasa itu.
Iswaran, 62 tahun, hadapi sejumlah 35 pertuduhan berhubung urusannya dengan taikun hotel dan hartanah, Encik Ong Beng Seng; dan pengarah urusan Lum Chang Holdings yang disenaraikan di papan utama, Encik David Lum.
Dua daripada pertuduhan itu adalah kerana rasuah melibatkan kira-kira $166,000, 32 pertuduhan lagi adalah untuk dapatkan barangan bernilai lebih $237,000 sebagai penjawat awam, manakala satu kerana menghalang perjalanan keadilan.
Encik Jumabhoy berkata pertimbangan utama pihak pendakwaan dalam mengadakan perbicaraan Mahkamah Tinggi dalam kes Iswaran ialah bekas menteri itu didakwa di bawah peruntukan yang terpakai kepada kumpulan individu tertentu, dan oleh itu keputusan dalam kes tersebut akan memberi kesan kepada orang lain.
Beliau berhujah bahawa dalam nada yang sama, Akta Parlimen (Keistimewaan, Kekebalan dan Kuasa) melangkaui Encik Pritam, dan terpakai kepada sekumpulan orang tertentu, iaitu Ahli Parlimen.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg