Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Didorong semangat mahu berbakti, bekas jururawat kini pakar perubatan tentera, Adikung Kehormat

May 27, 2024 | 8:00 PM
Bekas jururawat di Hospital Ng Teng Fong yang kini pakar perubatan tentera dari Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), ME4 Nur Fadilah Jubir, adalah antara 103 Adikung Kehormat (HADC) yang dilantik semasa Upacara Pelantikan dan Majlis Makan Malam ADC di Istana pada 27 Mei.
Bekas jururawat di Hospital Ng Teng Fong yang kini pakar perubatan tentera dari Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), ME4 Nur Fadilah Jubir, adalah antara 103 Adikung Kehormat (HADC) yang dilantik semasa Upacara Pelantikan dan Majlis Makan Malam ADC di Istana pada 27 Mei. - Foto ST

Sedang beliau berkhidmat sebagai seorang jururawat kecemasan dan ruang bedah di Hospital Besar Ng Teng Fong, Pakar Tentera 4 (ME4), Nur Fadilah Jubir, sentiasa mempunyai keinginan mempertahankan negara tercinta.

Justeru pada 2015, lulusan kejururawatan daripada Universiti Nasional Singapura (NUS) itu memutuskan menyertai Kor Relawan Angkatan Bersenjata Singapura (SAFVC) agar dapat menggunakan kepakaran perubatannya sambil berkhidmat untuk negara dan memahami apa yang dilalui oleh tentera Singapura.

Berbekal semangatnya mahu berbakti, ME4 Fadilah membuat keputusan untuk menukar kerjayanya dengan menyertai SAF sepenuh masa pada Mac 2020 – satu keputusan yang pada awalnya dianggap sebagai penuh mencabar.

“Semasa menjalani Latihan Asas Tentera (BMT), ia merupakan tempoh Covid-19 dan saya melihat bagaimana bekas rakan kerja saya membanting tulang menolong pesakit-pesakit di hospital.

“Masa itu pula circuit breaker (pemutus rantaian jangkitan Covid-19) dan saya terpaksa menjalani sebahagian latihan di rumah.

“Saya rasa gelisah kerana saya tidak dapat membantu di luar sana kerana terpaksa berada di rumah. Namun, teman-teman dan anggota keluarga memberi dorongan agar saya tidak putus asa dan terus berlatih kerana ia adalah apa yang saya inginkan.

“Mujur saya mendengar nasihat mereka kerana semasa kemuncak gelombang subvarian Omicron melanda pada 2022, SAF telah dikerahkan dan saya mendapat peluang untuk ditempatkan di Hospital Ng Teng Fong,” kata ME4 Fadilah, yang kini seorang pakar perubatan tentera bersama SAF.

Pada 27 Mei, ME4 Fadilah adalah antara 103 Adikung Kehormat (HADC) yang dilantik Presiden Tharman Shanmugaratnam di Istana semasa Upacara Pelantikan dan Makan Malam ADC.

Bagi ME4 Fadilah yang baru sahaja menyambut ulang tahunnya yang ke-33, sehari sebelum pelantikan sebagai HADC, tanggungjawab barunya ini merupakan salah satu impian yang dapat dikecapinya, sekali gus hadiah ulang tahun yang sangat bermakna sekali.

Apabila ditanya tentang pengorbanan yang harus beliau lakukan sebagai HADC, beliau berkata:

“Adakalanya majlis ataupun upacara yang berlaku di Istana berlangsung pada hujung minggu dan saya perlu menjalankan amanah saya walaupun ia bermakna saya tidak dapat meluangkan waktu bersama keluarga.

“Namun, ia merupakan satu penghormatan bagi saya untuk melibatkan diri dan mujur suami saya memahami tanggungjawab saya dan menyokong saya sepenuhnya,” kongsinya kepada Berita Harian (BH).

Keseluruhannya, seramai 107 Adikung (ADC) dilantik dalam upacara di Istana itu, termasuk empat Adikung yang menggalas tugas itu sepenuh masa.

Berucap pada majlis makan malam ADC, Tuan Presiden berkata ADC adalah pemimpin yang berkhidmat kepada warga Singapura, duta yang membuat tetamu kenamaan asing berasa dialu-alukan, dan contoh teladan untuk rakan sebaya mereka dalam perkhidmatan pasukan berseragam.

Beliau menambah bahawa anggota keluarga ADC memainkan peranan penting lantas berpesan kepada mereka:

“Walaupun terdapat gangguan pada masa peribadi dan keluarga anda, sokongan dan pemahaman teguh anda telah membolehkan lelaki dan wanita ini berkhidmat untuk negara mereka dengan martabat tinggi dan perasaan bangga.”

Majlis itu turut menyaksikan pelantikan buat julung-julung kalinya Adikung sepenuh masa pertama daripada Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), Mejar Fung Ka Kin.

“Ia adalah satu penghormatan untuk dilantik sebagai ADC pertama daripada SCDF.

“Peranan ini amat bermakna kerana ia menawarkan peluang untuk bekerjasama dan mengeratkan hubungan dengan pegawai daripada pelbagai perkhidmatan pasukan berseragam di serata negara, sambil memajukan misi Pejabat Presiden untuk mengukuhkan perpaduan negara,” kata Mejar Fung Ka Kin.

Laporan berkaitan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg