Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo, pada 19 Januari memberi amaran kepada orang ramai mengenai profil Facebook palsu yang menyamar sebagai dirinya.
Dalam satu hantaran yang dikongsi di platform media sosial rasminya, Cik Teo mengesahkan bahawa sebuah profil dengan nama ‘Josephine Teo Li Min’ sedang berleluasa di media sosial, mengajak orang ramai untuk berinteraksi dengannya.
Cik Teo berkata akaun tersebut bukan miliknya.
“Saya tidak menghantar jemputan seperti itu melalui akaun peribadi kepada orang ramai,” kata Cik Teo.
Dalam hantaran tersebut, beliau turut menggalakkan orang ramai untuk menyekat, atau block, akaun palsu itu dan melaporkannya kepada Meta (Facebook) untuk siasatan lanjut.
Menggelar tindakan itu sebagai pencurian identiti, Cik Teo berkata:
“Taktik penyamaran seperti ini bukanlah sesuatu yang baru.”
Beliau menambah: “Bersama, kita boleh membantu menjadikan ruang dalam talian kita lebih selamat.”
Ini merupakan kes terbaru dalam siri penyamaran identiti yang menyasarkan pemimpin Singapura, lapor The Straits Times (ST).
Pada Jun 2024, Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, melalui satu hantaran Facebook, memberi amaran kepada orang ramai mengenai iklan palsu dalam talian yang menggunakan video palsu mendalam atau deepfake dirinya.
Iklan itu cuba menipu orang ramai dengan mendakwa beliau menyokong skim pelaburan palsu tersebut.
Deepfake merupakan satu teknik pemalsuan dengan merubah rupa paras seseorang pada gambar atau video menggunakan gambar asli melalui kaedah tindan wajah.
Ia umumnya digunakan sebagai muslihat menyebarkan maklumat palsu, hasad dan menyeleweng.
Pada Disember 2023, Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Encik Lawrence Wong, juga menjadi sasaran video deepfake yang mempromosikan skim pelaburan palsu, dengan mengubahsuai rakaman temu bual media beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg