Penduduk Sengkang Central boleh menikmati diskaun daripada lima kedai kopi dan pusat penjaja di kawasan kejiranan mereka sebagai sebahagian daripada inisiatif baharu untuk membantu penduduk menguruskan perbelanjaan harian.

Dari 29 Ogos 2026 hingga 28 Februari 2027, penduduk boleh membeli minuman terpilih dari serendah $0.50 di Pusat Penjaja Buangkok pada hari-hari tertentu di bawah program Sokongan Masyarakat Sengkang Central yang baru dilancarkan.

Penduduk juga boleh menikmati penjimatan kos daripada kedai lain seperti di Coffeeshop@278D Compassvale Bow, 266 Coffeeshop by Kimly, Happy Hawkers@267 Compassvale Link dan kantin Pusat Tukaran Bas Buangkok.

Demikian yang diumumkan Profesor Madya Dr Elmie Nekmat, yang merupakan Penasihat Pertubuhan Akar Umbi (GRO) GRC Sengkang semasa acara Lawatan Masyarakat Menteri (MCV) yang diadakan di Kelab Masyarakat (CC) Buangkok pada 29 Ogos.

“Penduduk Sengkang Central boleh membeli kopi O atau teh O di Pusat Penjaja Buangkok dengan harga 50 sen. Mereka juga boleh membeli set sarapan dengan harga $2.50, yang biasanya dijual dengan harga $3.60.

“Kami berharap ia dapat membantu penduduk Sengkang Central melebihi apa yang telah diberikan oleh pemerintah dalam meringankan beban kos sara hidup,” kata Dr Elmie.

Acara pada 29 Ogos itu dihadiri Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, yang menyertai Dr Elmie dan beberapa keluarga muda serta belia untuk mencuba pelbagai aktiviti bagi memupuk ikatan keluarga seperti bola sepak dron, bola pikel atau pickleball dan sukan ‘curling’ lantai.

Menurut Persatuan Rakyat (PA), aktiviti ini akan diteruskan melangkaui acara sehari itu melalui sesi kumpulan minat yang berlangsung di Buangkok CC untuk memberi keluarga lebih banyak cara meluangkan masa bersama, mengejar minat bersama dan membina persahabatan di kawasan kejiranan.

“Festival ini adalah untuk meraikan keluarga, bagi meningkatkan lagi masa berkualiti antara keluarga dengan anak-anak, dan untuk memperkenalkan aktiviti yang boleh dilakukan bersama golongan tua kita,” kata Dr Elmie.

Acara itu juga menampilkan Pesta Buku SingLit, yang memberikan peluang bagi penduduk bertemu dengan penulis, menyertai aktiviti bercerita, dan menggalakkan penduduk menggunakan kredit Pas Budaya SG untuk membeli buku yang layak.

Semasa acara tersebut juga, Dr Elmie turut memperkenalkan program bimbingan baharu yang dipanggil ‘Youths X First Moves@Buangkok CC’ yang akan menghubungkan belia berumur 16 hingga 25 tahun dengan mentor daripada pelbagai pekerjaan dan latar belakang.

Di bawah program ini, belia boleh mendapat nasihat daripada mentor tentang cara untuk mempersiapkan diri bagi alam pekerjaan, mengurus kewangan, membuat pilihan kerjaya, belajar daripada kegagalan dan membina keyakinan diri, kata PA.