Topik diikuti
Pergi ke BHkuBelia kongsi pandangan mengenai bahasa, budaya dan identiti Melayu
Podcast yang dihasilkan pelajar akan diketengahkan menerusi wadah NoTapis mulai 21 Ogos, beri masyarakat peluang dengar sendiri pandangan generasi muda
Penggunaan slanga dalam kalangan remaja, perubahan identiti Melayu serta persoalan sama ada permainan tradisional masih relevan dalam dunia moden merupakan antara isu yang diketengahkan dalam tiga podcast terbaik yang dihasilkan pelajar menerusi pertandingan Piala Podcast.
Podcast yang dihasilkan Institusi Raffles (RI), Madrasah Alsagoff Al-Arabiah dan Maktab Rendah Anderson Serangoon (ASRJC) itu akan diketengahkan menerusi wadah NoTapis mulai 21 Ogos bagi memberi peluang kepada masyarakat mendengar sendiri pandangan generasi muda mengenai bahasa, budaya dan identiti Melayu.
Piala Podcast yang diadakan buat julung-julung kali pada 2026 ini merupakan pertandingan anjuran Institut Millennia (MI) dengan sokongan Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC).
Acara tersebut menyediakan wadah bagi pelajar menghasilkan podcast dan mengetengahkan idea, sekali gus menggalakkan penggunaan bahasa Melayu dalam komunikasi digital.
Berita Harian (BH) ialah rakan media rasmi pertandingan tersebut.
Seramai 36 pelajar yang mewakili sembilan sekolah menyertai pertandingan itu.
Sebelum menghasilkan karya masing-masing, setiap pasukan mengikuti bengkel pada 31 Mei yang memperkenalkan mereka kepada asas penerbitan podcast, termasuk proses membangunkan idea, penulisan skrip, teknik rakaman dan penyuntingan audio.
Hasil pembelajaran itu kemudian diterjemahkan kepada penghasilan podcast yang dinilai berdasarkan kandungan, daya kreativiti, gaya penyampaian serta penggunaan bahasa.
Panel hakim terdiri daripada Penolong Profesor Jabatan Komunikasi dan Media Baharu Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Elmie Nekmat; mantan Editor Bersekutu (Editor Naskhah Kanan) BH, Cik Hanim Mohd Saleh; Penerbit Podcast BH, Cik Natasha Mustafa; serta Guru Kanan Jabatan Bahasa Melayu MI, Cik Zaibah Mohamed Amin.
Kumpulan lima pelajar daripada RI muncul juara selepas menewaskan lapan pasukan lain, sementara Madrasah Alsagoff dan ASRJC masing-masing meraih tempat kedua dan ketiga.
Juara: Institusi Raffles (RI)
Muncul sebagai juara, pasukan RI mengambil pendekatan kreatif menerusi podcast ‘Budi Yasa: Penjenayah Budaya atau Penyelamat Bahasa?’.
Episod itu menyentuh pengaruh seorang pempengaruh yang mencipta dan mempopularkan slanga Melayu di media sosial serta kesannya terhadap tabiat berbahasa golongan muda.
Namun, daripada membincangkan isu tersebut dalam format perbualan biasa, pelajar RI membawanya dalam bentuk ‘siasatan’ terhadap watak Budi Yasa yang dituduh sebagai ‘penjenayah budaya’ kerana mengubah bahasa Melayu dan mencipta perkataan baharu.
Menerusi beberapa watak dan keadaan, mereka mengetengahkan kesan penggunaan slanga tanpa mengira konteks, termasuk kemungkinan berlakunya salah faham antara generasi.
Podcast itu turut memberi ruang kepada pandangan bahawa bahasa perlu berkembang supaya terus relevan kepada golongan muda, khususnya dalam era apabila bahasa Inggeris mendominasi ruang digital dan perbualan harian.
Naib Juara: Madrasah Alsagoff Al-Arabiah
Persoalan tentang perubahan turut menjadi tumpuan pasukan Madrasah Alsagoff yang muncul sebagai naib juara.
Podcast mereka, ‘Adakah identiti Melayu semakin hilang, atau sebenarnya sedang berubah mengikut zaman?’, membincangkan sama ada identiti Melayu dalam kalangan belia Singapura kian pudar atau sekadar berkembang mengikut kehidupan moden.
Antara isu yang disentuh ialah kecenderungan sesetengah remaja menggunakan bahasa Inggeris serta pendedahan mereka kepada budaya luar.
Namun, pelajar turut mengetengahkan cara baharu generasi muda menzahirkan identiti mereka, termasuk melalui lagu Melayu, slanga dan kandungan media sosial.
Bagi mereka, identiti Melayu bukan sekadar pakaian atau makanan, malah merangkumi bahasa, nilai dan adab yang diamalkan dalam kehidupan harian.
Tempat Ketiga: Maktab Rendah Anderson Serangoon
Pasukan ASRJC yang menduduki tempat ketiga pula membawa pendengar kembali kepada congkak, batu seremban dan permainan tradisional lain menerusi podcast, ‘Permainan Tradisional: Memalukan atau Membanggakan?’.
Podcast itu bermula dengan persoalan mudah tetapi dekat dengan generasi muda: Apakah tanggapan mereka jika melihat sekumpulan remaja bermain congkak dan batu seremban di tempat awam?
Perbincangan kemudian membandingkan permainan tradisional dengan permainan digital seperti Mobile Legends dan Valorant, termasuk sebab pengalaman digital yang pantas dan interaktif lebih menarik kepada generasi yang membesar bersama teknologi.
Namun, permainan tradisional turut mempunyai nilai tersendiri, termasuk melatih strategi dan kesabaran serta menggalakkan interaksi secara bersemuka.
Daripada menolak teknologi, pelajar ASRJC mengusulkan supaya kemodenan dimanfaatkan untuk melestarikan warisan, misalnya dengan menghasilkan aplikasi permainan tradisional atau menganjurkan cabaran congkak dan capteh menerusi media sosial.
