Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dituduh kongsi video ‘vape’ rakan sekolah: Remaja dakwa diserang

Sep 2, 2024 | 4:24 PM
Seorang gadis mengalami pendarahan hidung, bibir bengkak dan lebam di kakinya selepas didakwa diserang.
Seorang gadis mengalami pendarahan hidung, bibir bengkak dan lebam di kakinya selepas didakwa diserang. - Foto SHIN MIN DAILY

Seorang pelajar sekolah menengah berusia 15 tahun dibawa ke hospital selepas dua rakan sekolah, yang menuduhnya berkongsi video rakan mereka yang sedang menggunakan ‘vape’ di dalam tandas sekolah, didakwa menyerangnya.

Kejadian itu berlaku selepas para pelajar dibenarkan pulang awal dari sekolah pada 29 Ogos, sebelum Hari Guru.

Pelajar itu memberitahu The Straits Times (ST) bahawa ketika dia berjalan pulang bersama rakannya selepas meninggalkan sekolah kira-kira 10.40 pagi hari itu, mereka dihalang oleh seorang pelajar yang meminta mereka pergi ke kolong blok, di mana ada sekumpulan rakan sekolah sedang menunggu mereka.

Pelajar itu berkata mereka menuntut untuk melihat telefon bimbitnya dan apabila dia enggan menyerahkannya, mereka merampas alat itu.

Kira-kira 10 orang daripada kumpulan itu kemudian mengheret pelajar itu dan rakannya ke tempat letak kereta bertingkat dan ditampar beberapa kali oleh seorang rakan sekolah perempuan selepas enggan memberi akses kepada telefon bimbitnya.

Remaja itu berkata rakannya meninggalkan tempat letak kereta itu selepas diarahkan kumpulan itu.

Pelajar yang menyerang remaja itu terus menamparnya sehingga cermin matanya terlepas dan hampir pecah, kata remaja itu, sambil menambah bahawa rakan sekolahnya itu kemudian menumbuknya secara berterusan, termasuk di hidung dan bibirnya.

Menggunakan fungsi ‘Face ID’ pada telefon bimbit remaja itu, rakan sekolahnya dapat mengakses telefon bimbit itu lalu mengambil beberapa gambar dan video di dalamnya.

“(Dia mahu mengambil) video saya berkongsi (video pelajar ‘vape’) dengan orang lain,” tambahnya.

Dia berkata pelajar yang memukulnya dan pelajar yang mengumpannya ke sana kemudian memaksanya melutut dengan menendang kakinya dan menuntut dia meminta maaf kepada pelajar perempuan yang terpapar dalam video ‘vape’ tersebut.

Ketika kumpulan itu beredar, remaja itu dapat menghubungi ibunya walaupun telefon bimbitnya rosak kerana dikatakan telah dipecahkan oleh rakan sekolahnya.

Ibunya menghubungi polis dan remaja itu dibawa dengan ambulans ke hospital.

Gadis itu memberitahu ST bahawa dia mengalami hidung berdarah, bibir bengkak dan kaki lebam.

Polis telah mengesahkan bahawa laporan telah difailkan dan siasatan sedang dijalankan.

Menjawab pertanyaan, pihak sekolah memberitahu ST bahawa pihaknya telah mengenal pasti pelajar terbabit dan akan mengenakan tindakan tatatertib sewajarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg