Divisyen Marin Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) masa hadapan akan dapat bertindak balas dengan cara lebih cepat, bijak dan selamat.
Ini disebabkan teknologi baru dan keupayaan yang dipertingkatkan dalam perancangan yang memerlukan prasarana lebih baik untuk menyokong dan menempatkan kemajuan itu dengan berkesan.
Demikian dinyatakan oleh Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, pada 15 November di majlis pecah tanah bagi ibu pejabat Divisyen Marin SCDF yang baru.
Dr Faishal berkata permintaan dan tanggungjawab Divisyen Marin SCDF akan meningkat seiring dengan waktu apabila lebih banyak kapal melalui perairan Singapura.
Bakal siap pada Mac 2026, ibu pejabat baru itu juga akan menampilkan Pusat Arahan Bersepadu (ICC) iaitu kemudahan canggih bagi pengurusan insiden maritim.
Komander Divisyen Marin, Penolong Pesuruhjaya (AC) Ryan Ong, berkata:
“Terdapat juga Pusat Arahan Bersepadu (ICC) yang canggih untuk meningkatkan pengurusan insiden kami bagi menyelaras insiden dengan lebih baik dalam SCDF dan di antara pelbagai agensi maritim.”
Menurut satu kenyataan media SCDF, antara ciri ICC itu adalah ia akan membolehkan kerjasama masa nyata dengan pihak berkepentingan maritim utama, termasuk Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA), Polis Pengawal Pantai Singapura, dan agensi pemerintah lain dalam menyediakan tindak balas yang lebih selaras.
Dilengkapi dengan sistem komunikasi canggih yang menyepadukan rangkaian satelit dan radio, ICC itu membolehkan komunikasi tanpa gangguan dengan kapal pemadam kebakaran marin, Kapal Permukaan Tanpa Pemandu (USV), Kenderaan Udara Tanpa Pemandu (UAV), serta aset lain yang dikerahkan di laut.
Di samping itu, terdapat alat visualisasi data yang menyeluruh bagi memberikan komander gambaran sebenar kecemasan yang sedang berlaku secara langsung.
Ia termasuk saluran langsung dari dron, kamera badan, sensor berasaskan kapal, serta Stesen Kawalan.
Ibu pejabat tersebut juga bakal menerima Pensijilan Platinum Green Mark – anugerah tertinggi daripada Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA).
Pembinaan Tuas MegaPort baru, yang dijangka menggandakan kapasiti pengendalian kontena menjelang 2040, turut menekankan keperluan bagi sistem respon marin yang lebih kukuh.
“Pada tahun-tahun akan datang, sektor maritim kita dijangka semakin sibuk,” kata Dr Faishal, merujuk kepada rancangan untuk mengembangkan armada marin SCDF daripada enam kepada 10 kapal menjelang 2029 dan menambah pangkalan marin di Singapura daripada empat kepada enam.
Divisyen Marin SCDF tambah Dr Faishal, telah memainkan peranan penting sebagai penggerak balas pertama kepada kebakaran maritim, menyelamat dan kecemasan perubatan sejak ia mula beroperasi pada 2012.
Beliau turut memuji tindakan pantas dan berkesan Divisyen Marin menangani kebakaran di kapal Med Atlantic di Selat Johor Timur pada 21 Oktober, dengan 30 pakar pemadam kebakaran marin SCDF berjaya mengawal kebakaran dan memastikan tiada korban jiwa.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg