Semua anak kapal di atas sebuah kapal yang berlabuh di Selat Johor Timur dan terbakar pada 21 Oktober selamat dan telah dikesan.
Mereka telah turun dari kapal itu dan dilaporkan selamat tanpa kecederaan, kata Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA) dalam satu kenyataan media.
Dalam satu hantaran Facebook pada hari yang sama, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyatakan pihaknya menerima laporan mengenai kebakaran tersebut sekitar 10.30 pagi.
Menurut laporan The Straits Times, tiga kapal bomba dan penyelamat marin SCDF, serta kira-kira 30 pakar memadam kebakaran daripada Balai Bomba Marin Brani dan West Coast dikerahkan ke tempat kejadian.
SCDF menggunakan sistem pemantau air untuk menyejukkan bahagian luar kapal.
Proses yang dikenali sebagai penyejukan sempadan itu membantu mengurangkan suhu struktur logam kapal.
Dalam pada itu, MPA menyatakan Agensi Makanan Singapura (SFA) sedang memantau keadaan dengan teliti dan telah menasihati penternak ikan di kawasan sekitar supaya “mengambil langkah berjaga-jaga yang diperlukan”.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg