Mata wang dolar Singapura meningkat ke paras tertinggi baru, dengan ringgit Malaysia mencecah RM3.5086 bagi setiap dolar Singapura pada pagi Selasa.
Kadar tukaran berbanding satu dolar Singapura kali pertama mencecah paras RM3.5 sekitar 10.20 malam pada Isnin.
Kadar itu kemudian berubah-ubah tetapi pada umumnya mencapai paras melebihi RM3.5 semalaman sehingga 9.05 pagi pada Selasa.
Kadar tukarannya jatuh kepada RM3.4987 sekitar 9 pagi Selasa sebelum melepasi paras RM3.5 sekali lagi sekitar 10 pagi, lapor The Straits Times (ST).
Pengarah VS Money Changer, Encik Tajdeen Vanchilabbai, memberitahu ST:
“Ringgit telah turun beransur-ansur sejak satu hingga dua minggu lalu. Pelanggan kami telah membeli mata wang ini setiap kali ia jatuh dan menganggap ia adalah nilai (ringgit) terendah.”
Bagaimanapun, beliau tidak menjangkakan peningkatan mendadak dalam bilangan pelanggan di kedainya kerana permintaan terhadap ringgit telah dipenuhi.
“Tambahan, dengan musim cuti hampir tiba, sama ada nilai ringgit tinggi atau rendah, orang ramai akan tetap melancong. Jadi, permintaan (bagi ringgit) kekal tidak berubah,” tambahnya.
Minggu lalu, media melaporkan bahawa nilai ringgit telah terjejas oleh eksport lebih lemah dan perbezaan kadar tukaran yang semakin meluas dengan dolar Amerika Syarikat.
Sebaliknya, dolar Singapura disokong oleh lima pusingan mengetatkan dasar kewangan sehingga Oktober 2022.
Sebagai perbandingan, ringgit Malaysia didagangkan pada paras RM3.2743 berbanding dolar Singapura pada awal 2023.
Sementara itu, mata wang ringgit didagangkan bercampur-campur pada pagi Selasa berbanding mata wang Asia yang lain, lapor Berita Harian Malaysia.
Nilai ringgit mengukuh berbanding rupiah Indonesia dan begitu juga berbanding peso Filipina. Sebaliknya, ia susut berbanding baht Thailand dan lemah berbanding dolar Singapura.
Selain itu, Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Abdul Rasheed Abdul Ghaffour, berkata bank pusat itu akan melaksanakan sebarang langkah perlu untuk memastikan ringgit terus diselaras secara teratur, yang membolehkan urusan perniagaan dipermudah.
“Hampir semua mata wang di dunia menyusut berbanding dolar Amerika, terutamanya di negara pesat membangun termasuk Malaysia,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg