Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Australia, Encik Richard Marles, bertemu Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing pada 1 Jun.
Encik Marles, yang berada di sini bagi menghadiri Dialog Shangri-La, turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, semasa lawatannya.
Dalam pertemuan makan malam, Encik Chan dan Encik Marles menegaskan semula hubungan pertahanan dua hala yang rapat dan telah lama terjalin antara Singapura dengan Australia, yang turut merangkumi Mesyuarat Menteri Pertahanan Asean (ADMM)-Plus, dan Persetujuan Pertahanan Lima Negara (FPDA), menurut kenyataan Kementerian Pertahanan (Mindef).
Kededua pemimpin itu turut melahirkan harapan untuk memperkukuh kerjasama pertahanan di bawah fasa seterusnya bagi Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) kededua negara.
Kerjasama tersebut termasuk sokongan bagi akses lebih luas kepada kemudahan di negara masing-masing dan kerjasama lebih mendalam dalam sains dan teknologi pertahanan, serta logistik dan rantaian bekalan pertahanan.
Singapura dan Australia sebelum ini menyatakan hasrat untuk menandatangani CSP baru yang lebih meluas pada 2025, sempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara kededua negara itu.
Perjanjian baru itu akan dibina berasaskan “rekod kerjasama amat baik” yang telah dicapai sejak CSP pertama ditandatangani pada 2015, kata Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, pada Disember 2024 semasa mesyuarat Jawatankuasa Kementerian Bersama Singapura-Australia (SAJMC) ke-14 di sini.
ADMM-Plus, yang telah bermesyuarat setiap tahun sejak 2017, adalah sebuah wadah bagi Asean dan lapan rakan dialognya – Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Russia dan Amerika Syarikat – memperkukuh kerjasama keselamatan dan pertahanan di rantau ini.
FPDA pula ialah satu pengaturan antara Australia, Malaysia, New Zealand, Singapura dengan United Kingdom, yang mula dibentuk pada 1971 untuk melindungi pertahanan luar Singapura dan Malaysia, susulan pengunduran tentera British dari Singapura, lapor The Straits Times (ST).
Dalam pertemuan pada 1 Jun itu, Encik Chan turut merakamkan penghargaan atas sokongan Australia terhadap pembangunan bersama kawasan latihan tentera di Australia, yang akan memberi manfaat kepada angkatan tentera kededua negara itu melalui peningkatan kapasiti latihan dan peluang latihan lebih canggih.
Kakitangan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) akan mempunyai akses kepada kawasan latihan di Australia, dengan saiz sekitar 10 kali ganda lebih besar daripada keluasan Singapura menjelang 2028 apabila Kawasan Latihan Shoalwater Bay yang diperluas dan Kawasan Latihan Greenvale baru di Queensland siap dibina, kata SAF sebelum ini.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg