Asean sedang mengambil langkah untuk membolehkan barangan dan perniagaan bergerak dengan lebih mudah merentasi Asia Tenggara sedang kumpulan serantau itu menggesa perhubungan ekonomi yang lebih rapat, kata Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong.

Menteri-menteri ekonomi Asean telah bersetuju untuk melancarkan perjanjian perdagangan barangan serantau yang dipertingkat lebih awal daripada jadual, kata beliau dalam satu catatan di Facebook pada 19 September.

Ia merupakan salah satu hasil utama daripada perbincangan pada hari pertama semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi Asean dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan yang diadakan di Manila, Filipina dari 19 hingga 22 September.

Perjanjian Perdagangan Barangan Asean (Atiga) itu mengawal perdagangan barangan di rantau ini, dengan peraturan yang bertujuan mengurangkan hambatan perdagangan dan memudahkan perniagaan menjual produk mereka di pasaran berbeza.

Perjanjian yang dipertingkat ini pada asalnya dijadualkan berkuat kuasa pada 1 Jun 2027, atau 18 bulan selepas ia ditandatangani, namun Asean kini mengambil langkah untuk membawa ke hadapan pelaksanaannya kepada penghujung 2026.

Encik Gan berkata pelancaran awal itu membolehkan barangan bergerak dengan lebih mudah merentasi sempadan dan memberi perniagaan akses yang lebih baik kepada pasaran di seluruh rantau ini.

“Hala tuju Asean adalah jelas, kita akan kekal bersatu dalam tekad kita untuk bersepadu dengan lebih mendalam di rantau ini dan mengukuhkan kerjasama kita di luar rantau ini,” kata beliau.

Langkah itu dibuat sedang Asean berhasrat mengukuhkan perdagangan dalam rantau ini di tengah-tengah ketidakpastian ekonomi sedunia.

Atiga yang dipertingkat berhasrat mengurangkan lagi hambatan kepada perdagangan dan menambah baik pergerakan barangan merentasi Asia Tenggara, termasuk menerusi peraturan yang dikemas kini mengenai prosedur kastam, rantaian bekalan dan langkah perdagangan lain.

Encik Gan, yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan (Perdagangan), berkata menteri-menteri ekonomi itu juga membentangkan asas untuk mengkaji semula Perjanjian Perdagangan Perkhidmatan Asean, sedang kumpulan itu berhasrat memastikan peraturan yang mengawal perdagangan perkhidmatan kekal seiring dengan perubahan dalam ekonomi.

Mereka juga membincangkan keperluan bagi perancangan yang jelas untuk melaksanakan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital Asean, yang dijangka ditandatangani apabila pemimpin Asean bertemu di Manila pada November.

Perjanjian ini berhasrat memudahkan perniagaan dan pengguna melakukan urus niaga merentasi Asia Tenggara, merangkumi bidang seperti e-dagang, pembayaran digital, aliran data rentas sempadan dan keselamatan siber.

Encik Gan berkata tumpuan kini harus diberikan kepada usaha mengubah cita-cita digital Asean kepada hasil konkrit bagi perniagaan dan pengguna di seluruh rantau ini.