Topik diikuti
Pergi ke BHkuS’pura harus jangka gangguan bahan api susulan dari Timur Tengah, teroka Canada sebagai sumber alternatif
S’pura harus jangka gangguan bahan api susulan dari Timur Tengah, teroka Canada sebagai sumber alternatif
S’pura harus jangka gangguan bahan api susulan dari Timur Tengah, teroka Canada sebagai sumber alternatif
Singapura harus menjangkakan gangguan selanjutnya pada bekalan bahan api dari Timur Tengah berikutan konflik yang menjejas laluan perkapalan utama, kata Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, pada 19 September.
Bercakap kepada media pada akhir lawatannya ke Doha, Qatar dan Ottawa, Canada, Dr Balakrishnan berkata Singapura juga melihat Canada sebagai sumber tenaga dan makanan bagi Singapura.
Beliau berkata penutupan Selat Hormuz telah menjadi halangan yang amat besar bagi eksport gas asli cecair (LNG) dari Qatar, yang merupakan sumber utama LNG bagi Singapura.
Singapura setakat ini mampu menangani keadaan itu kerana ia mempunyai sumber yang pelbagai, tambah beliau.
Beliau turut menarik perhatian isu di sekitar Bab al Mandab, yang boleh menjejas eksport dari Arab Saudi.
Singapura akan terus memantau keadaan ini dengan teliti dan bekerjasama dengan rakan-rakannya, tambahnya.
Dr Balakrishnan turut menggambarkan Canada sebagai kuasa besar tenaga dalam bahan api fosil dan tenaga yang boleh diperbaharui, sambil menambah Singapura sedang melihat kemungkinan kerjasama yang lebih rasmi bagi perdagangan bekalan keperluan dengan negara itu.
Kedua-dua negara juga sedang meneroka peluang dalam kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital dan pembayaran digital.
“Semua ini masih di peringkat awal, namun kami berharap dalam tempoh dua hingga tiga bulan akan datang, beberapa perjanjian akan dimuktamadkan dan sedia untuk ditandatangani,” kata beliau.
Semasa lawatannya ke Canada, Dr Balakrishnan dan Menteri Ehwal Luar Canada, Cik Anita Anand, memeterai satu pengisytiharan bersama untuk mewujudkan rangka kerja kerjasama ekonomi.
“Ini akan mempertingkat kerjasama dalam bidang teknologi baharu, keterjaminan tenaga dan makanan, pelaburan dua hala dan daya tahan rantaian bekalan,” kata Encik Balakrishnan dalam satu hantaran Facebook pada 19 September.
Lawatan Dr Balakrishnan ke Ottawa merupakan lawatan pertama oleh seorang menteri ehwal luar Singapura ke Canada sejak 2013, menurut Global Affairs Canada.
Lawatan itu menyusuli lawatan Cik Anand ke Singapura pada Oktober 2025, apabila kedua-dua negara meraikan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik, serta lawatan Perdana Menteri Canada, Encik Mark Carney, ke Singapura pada bulan itu.
Di tengah-tengah ketegangan perdagangan dengan Amerika Syarikat, Canada kini sedang berusaha memperluas peluang ekonominya merentasi Atlantik dan Pasifik.
Dr Balakrishnan menarik perhatian bahawa Canada dan Amerika mempunyai hubungan istimewa serta kekal bersepadu rapat dari segi ekonomi, politik dan peringkat hubungan sesama rakyat.
Beliau berkata bukan peranan Singapura untuk terlibat secara langsung dalam hubungan antara kedua-dua negara jiran berkenaan.
Namun, adalah bermanfaat juga bagi Canada untuk meneroka peluang merentasi kedua-dua Atlantik dan Pasifik, ujar Dr Balakrishnan.
“Ini kerana Canada mempunyai barangan, perkhidmatan, produk dan sumber yang mendapat permintaan di seluruh dunia, dan Canada harus memaksimumkan peluang perdagangan dan pelaburannya merentasi Asia Pasifik dan di Eropah.
“Jadi, apa yang berlaku sekarang, dan hakikat bahawa tumpuan Canada kini diagihkan merentasi spektrum dunia yang jauh lebih luas, merupakan satu peluang, dan ia adalah satu peluang bagi kita di Asia, terutamanya bagi Singapura,” kata beliau.
