DPM Gan: Iktiraf perbezaan, tumpu persamaan dengan warga baru
DPM Gan: Iktiraf perbezaan, tumpu persamaan dengan warga baru
Pemerintah terbuka perbaiki program integrasi warga baru, katanya di dialog anjuran IPS
Usaha merapatkan jurang antara rakyat Singapura dengan warga baru bukan sahaja memerlukan kita untuk mengenal pasti perbezaan yang ada, tetapi juga meluaskan persamaan dikongsi.
Langkah tersebut semakin penting, lebih-lebih lagi untuk mengekalkan teras kewarganegaraan Singapura.
Demikian menurut Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, semasa sesi dialog ‘Singapore Perspectives 2026: Persaudaraan’ anjuran Institut Pengajian Dasar (IPS) pada 26 Januari.
Encik Gan berkata demikian semasa menjawab pertanyaan tentang bagaimana Singapura boleh mengekalkan kebersamaan masyarakatnya meskipun terpaksa membawa masuk lebih ramai warga asing.
Beliau menjelaskan bahawa dengan jumlah kadar kesuburan (TFR) Singapura yang semakin merosot, warga asing perlu dibawa masuk untuk mengekalkan teras populasi warganegara.
“Bilangan bayi yang kita ada tidak akan mencukupi untuk menggantikan diri kita sendiri. Ini bermakna jika kita tidak berbuat apa-apa, teras warga Singapura akan mula mengecut saban tahun.
“Jika populasi warga semakin berkurangan, saya fikir kita akan kehilangan... banyak peluang untuk dapat melakukan banyak perkara.
“Jadi adalah penting bagi kita untuk mengekalkan teras populasi warga dan membolehkannya berkembang,” kata Encik Gan.
Sesi dialog itu dikendalikan oleh Pengarah IPS, Encik Janadas Devan.
Encik Gan akur isu integrasi perlu difikirkan apabila sesebuah negara membawa masuk warga asing.
“Adalah penting bagi kita, sebagai titik permulaan, untuk mengakui bahawa mereka (warga asing) berbeza daripada kita sebab mereka merupakan warga baru, yang sudah menghabiskan sebahagian besar kehidupan mereka dalam budaya yang berbeza dengan amalan berbeza, dan mungkin juga dengan nilai-nilai berbeza.
“Tetapi memandangkan mereka telah memutuskan untuk menjadi warganegara Singapura, mereka akur bahawa terdapat sesuatu yang sama antara Singapura dan mereka, mereka mahu menjadi sebahagian daripada persaudaraan yang lebih besar ini,” jelas beliau.
Justeru, cabaran utama masa kini ialah untuk “mengakui perbezaan yang ada tetapi pada masa yang sama mengembangkan persamaan” antara warga baru dengan warga Singapura sedia ada, katanya.
Menurutnya lagi, pelbagai program untuk mengintegrasikan warga baru sudah tersedia, bahkan pemerintah terbuka untuk melihat cara memperbaiki program-program sedemikian.
Dalam sesi dialog yang diadakan di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands itu, Encik Gan turut menjawab beberapa soalan yang diajukan para pelajar, ahli akademik dan karyawan.
Antara soalan yang diajukan termasuk sama ada naratif nasional boleh berubah daripada kisah awal Singapura sebagai negara yang terpaksa memikirkan kelangsungan hidup dan persaingan.
Menjawab pertanyaan itu, Encik Gan menegaskan bahawa persoalan kelangsungan hidup akan terus menjadi cabaran utama, lebih-lebih lagi apabila ruang kerjasama antarabangsa semakin mengecil akibat persaingan ekonomi global.
Meskipun begitu, beliau mengakui naratif masyarakat hari ini jauh lebih kompleks dengan wujudnya pelbagai garis pemisah, sama ada membabitkan kaum, asal usul, mahupun jurang pendapatan.
“Ketegangan akan sentiasa wujud. Bagaimana kita memastikan kita dapat bergerak ke hadapan sebagai satu masyarakat?
“Itu antara cabaran utama bagi generasi pemimpin baru, dan itulah sebabnya (Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong) menyatakan tentang masyarakat ‘Kita Dahulu’ sebagai salah satu naratif untuk membawa kita ke hadapan yang fokus terhadap pembangunan dan integrasi masyarakat,” ujar beliau.

