Pemerintah, masyarakat, individu perlu gabung tenaga kekal perpaduan sosial

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemerintah, masyarakat, individu perlu gabung tenaga kekal perpaduan sosial

Jan 26, 2026 | 8:23 PM

Pemerintah, masyarakat, individu perlu gabung tenaga kekal perpaduan sosial

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
IPS, panel, perbincangan
Panel perbincangan bertajuk ‘Mengharungi Cabaran terhadap Perpaduan Sosial’ di persidangan Singapore Perspectives 2026 anjuran Institut Pengajian Dasar (IPS) dianggotai (dari kiri) pengasas dan pengarah badan bukan pemerintah (NGO) The Whitehatters, Cik Shahrany Hassan; Profesor Kerusi Provost, Jabatan Geografi, Universiti Nasional Singapura (NUS), Profesor Elaine Ho; Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow; dan Ketua Program Keselamatan dan Strategi Global, Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Profesor Madya Razwana Begum sebagai moderator. - Foto ST

Mengekalkan perpaduan sosial dalam negara berbilang kaum seperti Singapura perlu diusahakan secara sengaja melalui usaha bersama pemerintah, masyarakat dan individu.

Gabungan dasar pemerintah seperti mewujudkan ruang bersama, pelaksanaan dasar serta dialog akar umbi untuk memupuk interaksi harian, di samping acara kemasyarakatan seperti sesi dialog dan aktiviti sukan, dapat membantu memupuk perpaduan antara warga Singapura dengan penduduk asing.

Demikian menurut anggota bagi panel bertajuk ‘Mengharungi Cabaran terhadap Perpaduan Sosial’ di persidangan Singapore Perspectives 2026 anjuran Institut Pengajian Dasar (IPS) pada 26 Januari di Pusat Ekspo dan Konvensyen Sands.

Anggota panel tersebut terdiri daripada Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow; Profesor Kerusi Provost, Jabatan Geografi, Universiti Nasional Singapura (NUS), Profesor Elaine Ho; pengasas dan pengarah badan bukan pemerintah (NGO) The Whitehatters, Cik Shahrany Hassan; dan Ketua Program Keselamatan dan Strategi Global, Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Profesor Madya Razwana Begum sebagai moderator.

Mereka menegaskan bahawa pendatang baru dan pekerja asing perlu berusaha untuk berkomunikasi dan mengambil bahagian dalam kegiatan masyarakat, manakala warga Singapura pula harus bersikap terbuka, memudahkan proses penyesuaian serta mendidik diri sendiri.

“Kita mempunyai bilangan besar pekerja asing, termasuk pembantu rumah asing, dan pada hari cuti mereka, mereka memerlukan tempat untuk bersantai dan bergaul.

“Apa yang sepatutnya kita lakukan ialah melihat sama ada kita boleh berintegrasi dengan lebih baik dengan mewujudkan lebih banyak ruang bersama dan bukannya sekadar menuntut ruang itu.

“Ia tidak selalu mungkin, tetapi kenyataan bahawa mereka berada di kawasan yang sering dikunjungi oleh rakyat Singapura, saya rasa bukanlah sesuatu yang buruk,” kata Encik Siow.

Selain itu, Dr Ho berkata dasar pemerintah menggalakkan pelbagai kumpulan etnik untuk mengekalkan budaya dan bahasa mereka sendiri, di samping membangunkan identiti sivik bersama sebagai rakyat Singapura.

“Saya ingin katakan bahawa dari satu sudut, tiada apa-apa yang menghalang pendatang baru daripada mengekalkan bahasa mereka sendiri, selagi mereka bersedia untuk berkomunikasi dalam bahasa yang sama bersama rakyat Singapura.

“Di Singapura, bahasa Inggeris adalah lingua franca, namun pada masa yang sama, mereka juga boleh mempelajari bahasa Mandarin, Tamil atau Melayu,” kongsi Dr Ho.

Justeru, memahami bahasa Singlish yang mudah boleh membantu merapatkan jurang antara penduduk tempatan dengan pendatang asing serta menyokong rasa kemasyarakatan dan identiti kebangsaan, tambah beliau.

Sementara itu, Cik Shahrany pula berkata perpaduan sosial dapat diperkukuh melalui program berstruktur, selamat, dan berasaskan aktiviti.

Beliau merujuk kepada siri ‘Ask Me Anything’ anjuran The Whitehatters yang bertujuan untuk menggalakkan pemahaman lebih baik tentang agama berlainan yang diamalkan di Singapura, serta sesi ‘Cook To Connect’ yang membolehkan rakyat Singapura mengenali pekerja asing menerusi sesi memasak bersama.

“Jadi, walaupun kita bercakap tentang dasar dan penyelidikan, saya rasa dalam kalangan masyarakat, kita perlu sentiasa menjalankan aktiviti yang menyatukan orang ramai, baik rakyat Singapura mahupun bukan rakyat Singapura, kerana apabila kita melakukan sesuatu bersama, di situlah wujud peluang untuk saling mengenali.

“Walaupun kedengaran sangat mudah, tetapi sebenarnya ia amat penting. Pendekatan ini lebih berasaskan pengalaman dan kegiatan, berbanding sekadar cuba mengenali mereka secara permukaan sahaja,” jelas Cik Shahrany.

“Saya ingin katakan bahawa dari satu sudut, tiada apa-apa yang menghalang pendatang baru daripada mengekalkan bahasa mereka sendiri, selagi mereka bersedia untuk berkomunikasi dalam bahasa yang sama bersama rakyat Singapura.”
Profesor Kerusi Provost, Jabatan Geografi, Universiti Kebangsaan Singapura (NUS), Profesor Elaine Ho.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg