Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

DPM Gan: Pertumbuhan S’pura perlahan sedang ketegangan perdagangan meningkat

Kecerdasan buatan (AI), pendigitalan dan peralihan karbon rendah beri peluang baru dalam ekonomi digital, hijau rantau ini
Mar 6, 2025 | 6:25 PM
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong. - Foto MDDI

Pergeseran perdagangan yang semakin sengit dan persaingan untuk pelaburan strategik dalam kalangan ekonomi utama akan mempengaruhi kadar pertumbuhan ekonomi Singapura tahun ini, kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong.

Justeru, ekonomi akan berkembang 1 peratus hingga 3 peratus tahun ini – lebih perlahan daripada kadar 4.4 peratus pada 2024, lapor The Straits Times.

Inflasi, bagaimanapun, mungkin kekal sederhana, dengan inflasi teras, yang tidak termasuk kos pengangkutan dan penginapan swasta, sekitar 1-2 peratus pada 2024, tambah beliau pada 6 Mac dalam perbahasan mengenai Belanjawan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI).

Namun ekonomi Asia akan terus berkembang, dan Asia Tenggara dijangka menjadi ekonomi keempat terbesar di dunia menjelang 2030, kata DPM Gan.

Kecerdasan buatan (AI), pendigitalan dan peralihan karbon rendah juga akan memberi peluang baru dalam ekonomi digital dan hijau rantau ini.

Sementara itu, apabila perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan rakan dagangan utamanya semakin sengit, aliran perdagangan global akan tersusun semula.

“Singapura boleh memanfaatkan peralihan dalam pengeluaran dan rantaian bekalan untuk menarik pelaburan baru dan mengukuhkan kedudukannya sebagai nod utama dalam aliran perdagangan yang dikonfigurasikan semula,” kata Encik Gan.

Singapura akan meningkatkan tumpuannya terhadap potensi pertumbuhan jangka panjang ekonomi melalui strategi empat serampang: mengukuhkan ketersambungannya ke rantau ini dan dunia; mengembangkan perusahaan yang kukuh melalui inovasi; memupuk persekitaran pro-perusahaan; dan melabur dalam warganya, kata beliau.

Singapura mesti melabur dalam penyelidikan dan pengembangan (R&D) untuk memacu inovasi merentasi industri.

Encik Gan menyentuh butiran bagi inisiatif untuk mengembangkan perusahaan yang kukuh melalui inovasi, termasuk memperuntukkan $500 juta daripada Belanjawan 2025 untuk membina kemudahan fabrikasi semikonduktor R&D nasional baru di Tampines.

Beliau juga berkongsi penambahan baru untuk menyokong pertumbuhan perusahaan, seperti Dana Pelaburan Jangka Panjang, yang akan menggunakan lebih $200 juta modal pemerintah dalam jangka masa yang lebih lama kepada perusahaan dengan trajektori pertumbuhan yang lebih panjang dan lebih kompleks.

Dana Pertumbuhan Kredit Persendirian baru bernilai $1 bilion yang disasarkan kepada perusahaan setempat yang mempunyai potensi pertumbuhan kukuh untuk menyokong mereka menjadi peneraju dalam industri turut diumumkan.

Singapura juga akan meningkatkan perdagangan digital dan memperbaiki akses kepada pasaran bagi syarikat-syarikat yang beroperasi di Asean.

Pertumbuhan ekonomi digital di seluruh rantau ini akan meningkat apabila rundingan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital Asean dimuktamadkan pada tahun ini, kata DPM Gan.

Sementara itu, untuk memainkan peranannya dalam perubahan iklim, Singapura juga perlu mengurangkan jejak karbonnya, sambil menampung permintaan tenaga yang semakin meningkat apabila ekonomi negara ini berkembang.

DPM Gan berkata Singapura mungkin menghadapi ketidaktentuan ekonomi dan juga gangguan pada bulan dan tahun akan datang, dan oleh itu mesti mengukuhkan lagi kelebihan daya saingnya melalui inovasi, integrasi yang lebih mendalam dengan rantau ini dan dengan dunia, serta pelaburan dalam membina perusahaan yang kukuh dan tenaga kerja mahir.

“Singapura boleh memanfaatkan peralihan dalam pengeluaran dan rantaian bekalan untuk menarik pelaburan baru dan mengukuhkan kedudukannya sebagai nod utama dalam aliran perdagangan yang dikonfigurasikan semula.”
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg