Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Inflasi teras S’pura jatuh mendadak kepada 0.8% pada Jan

Terendah sejak Jun 2021, berikutan kenaikan harga lebih kecil dalam semua kategori kecuali pengangkutan privet
Feb 24, 2025 | 4:51 PM
Inflasi teras mencecah paras terendah sejak Jun 2021, apabila ia berada di paras 0.6 peratus.
Inflasi teras mencecah paras terendah sejak Jun 2021, apabila ia berada di paras 0.6 peratus. - Foto ST

Inflasi teras Singapura terus turun pada Januari ke paras terendah dalam lebih tiga tahun, berikutan kenaikan harga yang lebih kecil dalam semua kategori kecuali pengangkutan privet.

Inflasi teras, yang tidak termasuk kos pengangkutan dan penginapan privet untuk mencerminkan perbelanjaan isi rumah Singapura dengan lebih baik, merosot kepada 0.8 peratus tahun-ke-tahun, daripada kadar yang disemak pada Disember iaitu 1.7 peratus.

Menurut The Straits Times, ini adalah yang terendah sejak Jun 2021, apabila inflasi teras di paras 0.6 peratus.

Ia juga jauh lebih rendah daripada 3.1 peratus yang dicatatkan pada Januari 2024.

Jabatan Perangkaan Singapura pada 24 Februari berkata Indeks Harga Pengguna (CPI) untuk isi rumah umum telah disemak tempoh dasar, daripada tahun dasar 2019 kepada 2024.

Ia berkata langkah itu diambil setiap lima tahun sekali untuk mencerminkan corak penggunaan terkini dan komposisi barangan dan perkhidmatan yang digunakan oleh isi rumah penduduk.

Inflasi keseluruhan terus merosot kepada 1.2 peratus tahun-ke-tahun pada Januari, turun daripada kadar 1.5 peratus disemak pada Disember.

Pada dasar bulan-ke-bulan, yang menunjukkan momentum dalam harga, inflasi teras jatuh sebanyak 0.2 peratus manakala inflasi keseluruhan jatuh 0.7 peratus.

Inflasi import Singapura dijangka kekal sederhana, mencerminkan jangkaan bekalan yang menggalakkan dalam pasaran komoditi makanan utama dan ramalan penurunan harga minyak sejagat, kata Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dalam laporan bersama mereka pada 24 Februari.

Mereka mengekalkan ramalan inflasi 2025 tidak akan berubah.

MAS mengekalkan jangkaannya untuk inflasi keseluruhan tidak berubah pada 1.5 peratus hingga 2.5 peratus, berikutan jangkaan peningkatan dalam inflasi pengangkutan privet.

Pada Januari, harga jatuh untuk dua kategori barangan – elektrik dan gas, serta runcit dan barangan lain.

Harga elektrik dan gas turun 2.9 peratus tahun-ke-tahun, selepas meningkat 2.4 peratus pada Disember.

Kos runcit dan barangan lain menyusut 0.6 peratus pada Januari, selepas kenaikan 0.5 peratus pada Disember.

Kejatuhan itu disebabkan oleh penurunan harga kasut yang lebih ketara, di samping kejatuhan harga barangan perubatan dan barangan peribadi yang lain.

Inflasi berkurangan untuk semua kategori lain – kecuali kos pengangkutan privet yang meningkat 2.8 peratus disebabkan oleh harga kereta yang lebih tinggi.

Ini membalikkan penurunan 0.9 peratus pada Disember.

Inflasi makanan menyederhana kepada 1.5 peratus pada Januari, daripada 2.3 peratus pada bulan sebelumnya apabila harga makanan yang disediakan meningkat pada kadar yang lebih perlahan.

Inflasi perkhidmatan turun kepada 1 peratus pada Januari daripada 1.6 peratus pada Disember.

Ini sebahagian besarnya disebabkan oleh kejatuhan kos pendidikan am, vokasional dan tinggi, serta perkhidmatan penjagaan pesakit luar dan pesakit dalam wad.

Inflasi penginapan susut kepada 1.6 peratus pada Januari daripada 2.1 peratus pada Disember, disebabkan kenaikan lebih kecil dalam kedua-dua sewa rumah dan kos penyelenggaraan dan pembaikan perumahan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg