DPM Gan: Status S’pura sebagai hab penerbangan unggul dijangka pacu pertumbuhan ekonomi negara

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

DPM Gan: Status S’pura sebagai hab penerbangan unggul dijangka pacu pertumbuhan ekonomi negara

Feb 2, 2026 | 8:17 PM

DPM Gan: Status S’pura sebagai hab penerbangan unggul dijangka pacu pertumbuhan ekonomi negara

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong (kiri) melancarkan edisi ke-10 Pameran Udara Singapura pada 2 Februari. Bersama beliau ialah pengerusi Experia selaku penganjur acara, Encik Mervyn Tan.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong (kiri) melancarkan edisi ke-10 Pameran Udara Singapura pada 2 Februari. Bersama beliau ialah pengerusi Experia selaku penganjur acara, Encik Mervyn Tan. - Foto ST

Singapura akan terus memanfaatkan statusnya sebagai salah satu hab penerbangan unggul sejagat serta pangkalan pembuatan dan kejuruteraan lanjutan bagi memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Ini lebih-lebih lagi dengan berlatarbelakangkan peralihan geopolitik, dinamik perdagangan yang berubah serta risiko kepada iklim, kata Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong.

Berucap di majlis perasmian edisi ke-10 Pameran Udara Singapura pada 2 Februari, beliau berkata kestabilan dan kepercayaan yang dibina Singapura dalam sektor penerbangan dan aeroangkasa kian menjadi tunggak penting dalam persekitaran semasa.

“Singapura terletak di persimpangan aliran (perdagangan) global.

“Kita sudah membina kerelevanan dengan menghubungkan individu dan pasaran serta mengukuhkan keupayaan bernilai tinggi dan menyediakan persekitaran operasi yang stabil dan boleh diramal,” kata Encik Gan, yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan.

Sebagai hab udara terkemuka, Encik Gan berkata Singapura menawarkan kelebihan dari segi ketersambungan, skala dan kepadatan permintaan.

Beliau menukil Lapangan Terbang Changi sebagai contoh, yang kini menghubungkan lebih 170 bandar di seluruh dunia dan dijangka berkembang kepada lebih 200 bandar apabila Terminal 5 (T5) mula beroperasi pada pertengahan 2030-an.

Sebagai pangkalan pembuatan dan kejuruteraan lanjutan pula, beliau berkata Singapura membolehkan syarikat memperoleh nilai daripada aliran perdagangan sejagat.

Ini dilakukan melalui aktiviti pengeluaran, pembaikan, kejuruteraan dan inovasi bernilai tinggi yang bertapak di sini, ujarnya.

“Kesemua aspek ini saling memperkukuhkan satu sama lain,” kata Encik Gan ketika menyampaikan ucapannya di Pusat Konvensyen dan Ekspo Marina Bay Sands.

Beliau menyifatkan sektor aeroangkasa dan penerbangan sebagai “enjin pertumbuhan kembar” Singapura.

Sektor aeroangkasa mencatatkan perkembangan lebih kurang 20 peratus pada 2024, manakala Lapangan Terbang Changi mencatatkan rekod 70 juta penumpang pada 2025.

Menukil laman rasmi Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) pula, sebagai hab penerbangan sejagat, ia menyumbang kepada lebih kurang 5 peratus daripada Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) dan lebih 60,000 pekerja terlibat dalam sektor ini.

Bagi mengekalkan pertumbuhan dalam kededua sektor ini, Encik Gan menggariskan empat teras utama: mengukuhkan kerjasama, membangunkan tenaga kerja mahir, meningkatkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan inovasi, serta pelaburan prasarana jangka panjang.

“Sebab utama syarikat memilih (untuk tubuhkan perniagaan) di Singapura adalah disebabkan ekosistem yang membolehkan syarikat berkembang.

“Inilah sebabnya syarikat antarabangsa seperti GE Aerospace, Rolls-Royce dan RTX telah menubuhkan kemudahan canggih di Singapura,” katanya.

Ekosistem ini turut disokong oleh hampir 3,000 perusahaan kejuruteraan jitu tempatan yang membantu syarikat gergasi membina daya tahan.

Lantaran itu, ekosistem sedemikian akan diperluaskan, katanya.

Mengenai pembangunan bakat, Encik Gan berkata Singapura akan memperkukuhkan kerjasama sedia ada antara aspek pembelajaran dan pelaksanaan sebenar dalam industri.

Beliau memberi contoh program belajar sambil bekerja yang ditawarkan institusi pengajian tinggi dan kemudahan latihan di syarikat aeroangkasa dan penerbangan.

“Usaha ini memastikan warga Singapura dapat meraih pekerjaan baik dalam sektor sedemikian manakala syarikat memperoleh bakat berkebolehan,” ujarnya.

Singapura bakal terus memperkukuh ekosistem penyelidikan dan inovasinya.

Menyentuh usaha tersebut, Encik Gan memberi contoh kerjasama Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) dengan syarikat aeroangkasa Thales menerusi penubuhan Makmal Avionik Antarabangsa.

“Lebih daripada sekadar proses pembuatan, Singapura juga merupakan wadah bagi inovasi peringkat sistem,” ujarnya sambil menambah makmal sedemikian contoh kerjasama dalam pembangunan penyelesaian inovatif.

Berhubung pembinaan prasarana jangka panjang, Encik Gan berkata T5 sudah mula dibina di samping perluasan Taman Aeroangkasa Seletar di bawah fasa keempat JTC aeroSpace yang bakal menambah kawasan seluas 11,000 meter persegi - bersamaan sekitar dua padang bola sepak - bagi operasi kilang karbon rendah.

Beliau berkata: “Pelaburan ini bukan sekadar menambah kapasiti semata-mata.

“Ia memberi keyakinan kepada syarikat untuk memacu pelaburan jangka panjang, berinovasi dan berkembang dari Singapura.”

Edisi terkini Pameran Udara Singapura berlangsung dari 3 hingga 6 Februari dan menghimpunkan lebih 1,000 syarikat tempatan dan asing.

Sejak edisi kesembilan Pameran Udara Singapura diadakan pada Februari 2024, ia telah menarik komitmen pelaburan lebih $750 juta merentasi pembuatan aeroangkasa, perkhidmatan penyelenggaraan dan baik pulih, serta perkhidmatan selepas pasaran atau after-market service.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg